Saturday 10 December 2011

Sejujurnya Cinta 2

.
.

Terkejut besar Farah apabila melihat sekujur tubuh yang entah macam mana tergolek di tepi keretanya Subuh itu. Bila masa pulak aku lenyek orang ni? Sejak dua hari lepas dia tidak berkesempatan pulang ke rumah dan sekadar bermalam di hospital, mengurus kes dan menyambut on-call. Subuh hari ini barulah dia mempunyai beberapa jam untuk balik berehat, tetapi rasa penat dan mengantuk terus lesap sebaik melihat tubuh lelaki yang terbaring di tepi tayar Proton Iswara miliknya itu.

“Encik?” Farah membongkok dengan hati-hati. Diperiksanya sekali lalu sama ada lelaki itu cedera di mana-mana. Ada kesan lebam di pipi kiri lelaki itu. Hidung Farah menangkap bau alkohol. “Encik?” panggilnya lagi dengan dahi yang sudah berkerut. “Mabuk rupanya. Tengok ha purse pun tayang free atas jalan, muka Melayu pulak.” bebelnya tidak berkenan.

Purse yang terbiar di atas jalan seolah mengumpan mana-mana pencopet, dicapai. Mykad yang terselit di dalam purse itu dibelek. Ikmal bin Tan Sri Darius. Farah memikir-mikir. Nama “Tan Sri Darius” seakan pernah didengar. Kemudian dia tunduk merenung lelaki mabuk itu sekali lagi, terkejut.

Muka iras-iras… Sah dah ni. Lagipun takkan ramai sangat orang nama Darius dengan pangkat Tan Sri kat sini. Farah mengeluh kecil. Telefon bimbit dikeluarkan dari poket sebelum keypad ditekan mencari nombor Shahrul. Lirik lagu “Larut” nyanyian Radja berkumandang di corong telefon, tetapi panggilan tidak berjawab. Hanya suara operator yang menyambut. Farah mencuba buat kali kedua, tetapi panggilan masih juga tidak diangkat. Tidur mati ke Shahrul ni? Abang lelaki itu yang masih tergolek di tepi kereta ditenung dengan ragu-ragu. Apa nak buat dengan dia ni?

Kebiasaannya, berjalan merupakan salah satu senaman yang paling digemari Farah, jadi keretanya sengaja diparkir beberapa kilometer daripada bangunan Hospital Indera. Kini menyesal pula memarkir begitu jauh. Andai jaraknya dekat, boleh juga dia memanggil sesiapa untuk membawa abang Shahrul itu ke hospital, paling tidak biar ditinggalkan di dalam stor sehingga lelaki itu bangun.

Takkan aku nak heret mamat ni sampai ke sana? Tak laratlah, jauh, aku pun penat… Mengantuk… Nak baring-baring… Farah bermonolog penuh dilema.

Akhirnya dia bangun membuka pintu penumpang belakang. Kalau diikutkan, mereka bukan kenal dengan satu-sama lain, namun hendak ditinggalkan Ikmal di atas jalan terasa kejam sangat. Kedai-kedai berhampiran masih belum dibuka, mana tidak jam baru menunjukkan enam dua minit pagi. Kalau ada kedai yang sudah dibuka boleh juga diminta simpati tuan kedai supaya menumpangkan Ikmal di mana-mana ceruk kedai.

Mahu tidak mahu, Farah menarik Ikmal dari atas jalan.  Ini berat badan ke berat dosa? Dia beristighfar sebaik curiga itu terlintas di fikiran. Jangan bersangka buruk Farah, tak baik…

Dalam payah, akhirnya Ikmal berjaya disumbatkan ke tempat duduk belakang. Nafas Farah termengah sebaik pintu ditutup. Tudung litup di kepalanya dibetulkan, kedua-dua tangannya ditepuk-tepuk membuang habuk. Selesai, dia berlalu masuk ke perut kereta.

Farah memakai earphone di telinga sambil mencari nombor Hashriq. Sambil menunggu panggilan diangkat, ibu jarinya diusap perlahan ke batu cincin yang sudah bertahun lama tersarung di jari manisnya. Setiap kali batu cincin itu disentuh, terasa tenang seolah-olah si pemberi cincin masih berada dekat. Keretanya dipandu keluar dari kawasan parkir.

“Assalamualaikum.” suara tidak mesra alam milik Hashriq menyahut di hujung talian.

“Waalaikumussalam, ni I jumpa abang Shahrul kat bawah kereta I.” lapor Farah tanpa bertangguh. Tiada jawapan yang datang dari Hashriq. “I serius ni. Dia mabuk.” kening Farah bertaut.

“Kau gelek dia?”

“Hish.” getus Farah. Ke situ pula. Tidak pasal-pasal dirinya menjadi penjenayah. “Maybe dia black-out masa cari kereta dia. I dah call Shahrul, tapi tak berjawab. Sekarang ni I on the way nak balik rumah, I sumbat dia kat belakang. Nak bawak pergi hospital dah malas. I nak tidur.”

“Bawak dia pergi rumah aku. Kunci ada dalam pasu.” kata Hashriq senada.

“Rumah baru you yang kosong tu ke?”

“Habis kau nak letak dia dalam mesin basuh kat rumah kau?”

Mata Farah diputar tidak berkenan. Orang sekadar bertanya, sinis sungguh balasan yang diberikan Hashriq. Selama mereka kenal, lelaki itu memang tidak mempunyai insurans mulut. Tambahan lelaki itu tidak mudah ditangani dan bukan senang untuk disukai. Hashriq tidak peduli untuk bersikap sopan atau ramah kepada orang. Malah selain Tengku Maisarah, hanya Nuraisha saja yang mampu membuat Hashriq senyum tanpa sebarang usaha. Cuma kebelakangan ini lelaki itu bertambah “pedas” setelah pembohongan yang dilakukan terhadap Nuraisha dan ahli keluarga mereka pada sebulan yang lalu.

“Alang-alang call ni, I nak tanya sikit. You pun bukan selalu dah muncul kat hospital sekarang ni. Macam angin, datang-pergi ikut dan aje.” komen Farah serius. “You ada nampak tak rantai I?”

“Maksud kau rantai silver yang ada loket jiwang bentuk hati yang Fitri selalu pakai.” mendatar suara Hashriq.

“Arwah bagi I, dah jadi rantai I.” Farah berdecit enggan mengalah. “Lagipun rantai silver dengan loket bentuk hati, tak sejiwang cara you melamar Isha six months back.” meleret-leret Farah menyindir. “Ada nampak ke tidak?”

Cuba check dalam perut patient yang kau baru operate. Mana tahu jatuh.” nada Hashriq sudah bertukar sarkastik.

Amboi.

“You better sopan-santun sikit dengan I Hashriq. I dah banyak tolong you, tahu? Tak pasal-pasal bulan lepas I jadi “perempuan jahat” bila mengaku ada hubungan dengan you.” sekadar hendak mengingatkan jasa yang telah ditabur, Farah kritis mengungkit. “Kalau ikutkan, I nak bagi tahu semua orang je pasal penyakit you--”

Klik.

Tanpa sekelumit pun sopan-santun yang dituntut, panggilan dimatikan oleh Hashriq ketika Farah masih tekun membebel-bebel. Huh. Farah mengerut dahi. Sampai ke hari ni aku musykil macam mana dia boleh jadi best friend dengan arwah Fitri.

Lampu trafik tiba-tiba bertukar merah. Farah tersentak. Keretanya dihentikan mengejut, mujur masih sempat sebelum apa-apa berlaku. Nasib baik…

Ikmal bin Tan Sri Darius hampir terguling jatuh dari tempatnya terbaring. Lelaki itu kedengaran mengerang kecil, sebelum menyambung “koma” akibat minuman haram yang entah diteguk berapa botol. Farah menghela nafas lega, kemudian sambil membetulkan tudung litup di kepala dia menjeling sekilas ke belakang melalui cermin. Rasakan. Getusnya, melampiaskan geram terhadap Hashriq sekaligus Ikmal yang tetap aman tidak menyedari apa-apa.

xXx
x
xXx


Bunyi kaca pecah dari tingkat atas mengejutkan Shahrul dari tidur. Matanya terus terbuka, seperti nangka busuk dia jatuh berdebuk menimpa lantai dari sofa. Sambil mengurut-ngurut bahu, separuh mamai dia mencapai telefon bimbit dan bangun meninggalkan ruang tamu.

Sebaik sampai di tingkat atas, dari tangga lagi sudah terdengar jelas suara Tan Sri Darius yang marah-marah. Belum sempat Shahrul melangkah ke bilik tidur bapanya, pandangannya menangkap kelibat Suraya di bilik tidur bertentangan. Pintu bilik tidur Suraya agak terbuka, kakak iparnya itu seakan tidak sedar atau mungkin tidak peduli, bahawa aksi 18 tahun ke atas yang sedang dilakukan tanpa segan silu dengan pengurusnya Zakuan ketika itu dapat dilihat oleh sesiapa yang melintas pintu bilik tidurnya. Kakak iparnya jarang-jarang balik disebabkan sesi penggambaran yang tidak menentu, mungkin mereka berdua baru sampai.

Langkah Shahrul dihala ke sana. Pintu bilik tidur Suraya ditolaknya kasar seluas mungkin. Kakak iparnya terjerit. Zakuan yang tidak berbaju tersentak apabila aktiviti mereka diganggu tanpa sebarang amaran.

“Kau keluar dari rumah ni sekarang.” Shahrul menuding ke tangga, pandangannya dihala tepat ke arah Zakuan.

Muka pengurus kakak iparnya itu merah padam menahan malu dan marah. Suraya pula panik, bersembunyi di bawah cadar putih. Entah apa yang disegankan, Shahrul kurang pasti. Tadi bukan main mencampak satu-persatu pakaian yang tidak menutupi kebanyakan bahagian tubuh pun. Berbaju atau tidak, lebih kurang sama.

“What is this Su?” bentak Zakuan sambil mengutip kemeja dan kotnya dari lantai. “Apa kena dengan budak ni? Sebelum ni tak ada orang kisah pun?”

“Rul, apa hal you ni?” Suraya mengerut dahi memandang Shahrul. “Ikmal pun tak pernah cakap apa-apa, you sibuk-sibuk ni kenapa?”

Shahrul tidak menjawab. Sebaik Zakuan melangkah keluar dari bilik tidur kakak iparnya, dia menutup semula pintu bilik tidur. Suara nyaring Suraya masih membantah-bantah dari dalam tetapi tidak dipedulikan. Zakuan berlalu ke tangga dengan muka yang terhina dan tersinggung. Shahrul tidak mengambil endah. Langkahnya dihala ke bilik tidur Tan Sri Darius.

“Aku nak ambik wuduk, aku nak solat Subuh.” kata bapanya sebaik Shahrul menjenguk dari muka pintu.

“Bukan ke Abang Hashriq cakap, sekarang Tan Sri dah boleh cuba buat sendiri?” soalnya masih berlegar di muka pintu. Tan Sri Darius membalas dengan jelingan tajam dari katil. “Kalau setakat pandang saya macam tu boleh bunuh saya, agaknya dah beratus-ratus kali saya mati.” komen Shahrul sambil menguap kecil.

“Baru aku perasan, mulut kau tak ada insurans sama macam mulut budak tu.” Tan Sri Darius membuat perbandingan, matanya mencerun merenung muka Shahrul.

“Well, walaupun satu dunia tak tahu, Abang Hashriq is my brother.”

Makin tajam Tan Sri Darius merenung.

“Kau belum habis jadi “pembela” untuk budak tu?” soalnya dingin.

Shahrul tersenyum pahit.

“Satu-satu orang yang betul-betul kisah pasal Tan Sri dalam rumah ni, adalah “budak” yang Tan Sri tak pernah sudi nak pandang tu.” katanya mencabar. “Apa pun yang Tan Sri pernah buat pada dia, tak pernah dia ungkit. Mana Abang Ikmal sekarang? Mana Kak Su? Mana isteri Tan Sri? Mana doktor-doktor yang Tan Sri bayar mahal untuk pulihkan Tan Sri? Tak ada. Satu-satu orang yang datang tak kira masa untuk jaga Tan Sri dalam sebulan ni, adalah Abang Hashriq.”

“Berhenti mengarut, aku nak ambik wuduk.” bentak Tan Sri Darius dengan suara yang makin meninggi, wajahnya merah padam menahan marah.

Malas bertekak pagi-pagi buta, Shahrul melangkah ke dalam bilik tidur bapanya itu dan membantu bapanya menaiki kerusi roda untuk ditolak ke bilik air. Mengantuknya sedikit-sebanyak masih terasa walaupun hampir hilang selepas menghalau Zakuan dari bilik tidur Suraya tadi. Selesai menolong Tan Sri Darius mengambil wuduk, Shahrul menolak kerusi roda bapanya ke bilik tidur semula.

Setahunya ini kali pertama Tan Sri Darius menyuarakan sendiri keinginan untuk bersolat tanpa diajak oleh Hashriq. Adakala, jadual yang dicipta abangnya untuk bapanya nampak seolah-olah mendera, tetapi memang ada peningkatan yang dapat dilihat dari hari ke hari. Menurut ibunya sebelum Hashriq mengambil alih menjadi doktor peribadi di rumah mereka, Tan Sri Darius langsung tidak mahu bangun dari katil apatah lagi meninggalkan bilik tidur. Kini sikap bapanya sudah kembali seperti dahulu ketika masih menerajui Heavenly Holding, malah mungkin lebih bersemangat, terutama dalam hal-hal memarahi orang.

Shahrul duduk di birai katil sementara menunggu Tan Sri Darius habis solat. Mata yang masih kelat digosok-gosok bagi menghalau rasa mengantuk. Ketika itu, pertembungan dengan Azril di Kafe Coke and Sundae petang semalam terimbas semula di benak fikiran. Waktu itu Yasmin tidak ubah seperti mentol yang tiba-tiba menyala. Bersinar-sinar mata Yasmin memandang Azril. Jelas sangat Yasmin “memuja” anak lelaki Datuk Razlan itu. Melihat reaksinya, Shahrul sengaja memberi peluang dan beredar dahulu membawa Aileen balik.

Sejak awal pertemuan mereka sebulan yang lalu lagi, Shahrul sudah perasan Yasmin tidak menganggap dirinya sebagai seorang lelaki. Mungkin di fikiran gadis itu, dirinya cuma kenalan yang tidak diberikan jantina pun. Shahrul senyum sendiri. Tengok Azril semalam dah confirm taste Yasmin macam mana. Type yang clean-cut, professional gentleman yang masuk kategori hampir pupus.

Shahrul tunduk menilik diri sendiri. Jaket kulit berwarna coklat, t-shirt merah dengan ayat “AMERICAN IDIOT, Green Day” yang terpampang di dada t-shirt dan jeans biru yang dipakai ditambah jam hitam yang tersarung di pergelangan tangannya langsung tidak menampakkan ciri-ciri seorang gentleman jika dibandingkan dengan Azril yang kemas berpakaian serba putih petang semalam. Seperti rocker jalanan versus prince charming gamaknya. Walaupun tingkah laku dan tutur kata Yasmin biasanya tidak sesopan Nuraisha atau kebanyakan gadis lain, jenis lelaki idaman Yasmin sudah terbukti tinggi melangit di dalam bayangan gadis itu. 100% bukan aku.

Telefon bimbit di tangan dibelek. Ada dua missed-calls daripada Farah dan empat belas missed-calls daripada Yasmin. Tidak syak lagi, Yasmin sudah mendengar cerita dari Nuraisha mengenai temu-janji yang digagalkan oleh Hashriq malam tadi. Shahrul menggosok belakang tengkuk. Dia tahu benar, dia bakal dicincang dan dibakar oleh Yasmin disebabkan hal itu nanti.

xXx
x
xXx


Kebiasaannya pada hujung minggu andai tidak mempunyai aktiviti di sekolah, selagi jam tidak menunjukkan dua belas tengahari Haikal cukup liat hendak meninggalkan katil. Kerap kali ibunya sampai mengugut hendak menyimbah dengan air panas, tidak pun bila telinganya hampir diseterika barulah dia mengheret diri sendiri bangun. Tetapi hari ini berbeza. Selepas sembahyang Subuh dia sudah bersiap-sedia. Beg diisikan dengan segala macam barang yang ingin dibawa, bahkan dua-tiga kali diperiksa semula kalau-kalau ada yang tertinggal. Kemudian sementara menunggu jarum jam menyentuh sembilan pagi, dia menghabiskan masa di ruang tamu, terpacak di depan TV mendengar ceramah agama bersama-sama ayahnya. Haji Firdaus hairan bercampur musykil dek perubahan mengejut itu.

Niat Haikal bertandang ke rumah Nuraisha hari ini adalah disebabkan dia hendak menghabiskan masa bersama guru tadika merangkap pujaan hatinya itu. Namun kini, niatnya yang bersadur segunung harapan nampak begitu kelam sekali.

“Boleh tahan.” komen Hashriq sambil mencapai sekeping biskut lagi.

Haikal diam tidak menjawab. Matanya merenung sepi ke arah biskut-biskut yang telah dibakarnya sendiri khas buat Nuraisha. Air mata, keringat dan darahnya semua telah dituang penuh gigih ketika menghasilkan biskut-biskut itu. Kini satu-persatu bukti cintanya lesap ke dalam mulut Hashriq. Tanpa segan tanpa silu, bahkan tanpa dijemput pun, lelaki itu selamba memakan biskut-biskut buatan Haikal. Kalau tahu begini takdir yang menimpa, biar disembur satu tupperware dengan Fumakilla atau Ridsect.

“Sorry Haikal, awak datang tak cakap dulu. Tak ada makanan nak dihidang pun kat rumah ni.” Nuraisha meletakkan dulang yang dibawanya ke atas meja. Tiga biji gelas, sebuah jug air, sepiring wafer coklat dan sepiring kuih-muih diangkat keluar dari dulang. Hashriq bersandar ke belakang sofa sementara isterinya menghidangkan apa yang ada. Haikal melepas nafas lega. Sangkaannya tadi, Nuraisha tidak berpeluang untuk merasa biskut-biskut buatannya. “Ini ke hasil tangan awak?” guru tadika itu sudah tersenyum menilik biskut-biskut di dalam tupperware.

“Cikgu rasalah, bagi komen membina.” jemput Haikal sambil berkalih duduk.

Di sofa bertentangan, mata biru Hashriq tekun memerhati muka Haikal. Dia mendengus perlahan. Senyum terhibur mula terukir di wajahnya melihat Haikal teruja menunggu komen. Budak lelaki tingkatan empat itu langsung tidak sedar dirinya yang ditilik dan diketawa. Penuh semangat dia menumpu seratus-peratus fokus kepada Nuraisha.

Guru tadika itu bertubuh kecil molek. Walaupun wajahnya tidak dihias secalit make-up, irasnya semulajadi menawan. Bibirnya merah seperti buah ceri yang masak ranum. Warna kedua-dua belah pipinya pula seakan memiliki blusher original. Mata coklat bundar miliknya seperti bersinar setiap kali dia tersenyum. Rambutnya ikal keperangan. Semua itu ditambah dengan sikap Nuraisha, menjadi faktor Haikal mengetepikan terus perbezaan umur mereka.

“Saya rasa satu.” Nuraisha mencapai sekeping biskut.

Haikal tekun menunggu. Hashriq bangun dari sofa. Dia mengesat t-shirt hijaunya yang mempunyai serpihan biskut. Kemudian dia tunduk ke telinga Haikal dan berbisik perlahan.

“Lap air liur tu.”

Terkejut, pantas Haikal memeriksa. Tangannya diangkat meraba mulut. Sambil tersenyum serba sinis Hashriq beredar ke bilik tidur, meninggalkan Haikal dan Nuraisha di ruang tamu.

“Mm sedap. Bolehlah saya tempah dengan awak bila nak raya nanti.”

Haikal tersengih menerima pujian itu.

“Cikgu lebih-lebih.”

“Betul ni.” kata Nuraisha bersungguh-sungguh, kepalanya diangguk sambil ketawa. Alahai… Jantung Haikal mula bermain tali skipping. “Awak bawak apa lagi?” Nuraisha menuding ke arah beg Haikal.

Beg yang separuh terbuka dicapai. DVD-DVD yang diangkut dari rumah dikeluarkan.

“Ni bagi Cikgu pinjam. Saya dengar dari Kak Yasmin, Cikgu suka tengok movie.”

Senyuman Nuraisha tambah mekar ketika dia membelek DVD-DVD Haikal. Jangan kata bermain tali skipping, kini jantung Haikal berlumba marathon. Terdetik lagi di fikirannya, macam mana suami guru tadika itu sanggup memandang wanita lain. Sudah beberapa kali Haikal menjamah masakan Nuraisha. Tiada sebarang masalah. Jadi dicampur dengan peribadi dan rupa paras isterinya itu, patut Hashriq sudah berpuas hati, malah mungkin tidak ada lelaki yang akan mencari wanita lain jika mendapat guru tadika itu sebagai isteri.

Mungkin benar kata Yasmin, Hashriq “bertanduk dua”. Luaran saja nampak elok, yang di dalam cuma Tuhan saja tahu. Lapan tahun mereka bersama, empat bulan mereka bergelar suami-isteri. Tiba-tiba tanpa sebarang amaran, Nuraisha diberitahu akan dicerai dan ditinggal demi wanita lain. Hati Haikal terasa seperti dihempap batu mendengar cerita itu, apatah lagi perasaan orang yang mengalami.

“Saya nak tanya sesuatu boleh?”

“Apa dia?” mata Nuraisha khusyuk membaca sinopsis di belakang DVD.

“Kenapa Cikgu setuju nak tunggu sampai anak Cikgu lahir, baru cerai dengan Doktor Hashriq?”

Nuraisha tersenyum kecil.

“Saya macam dah dapat agak awak nak tanya pasal tu.”

“Sorry.” gumam Haikal serba-salah. Dahinya berkerut memikirkan perkara yang menjengah benak fikiran. “Agak-agak… Mungkin alasan Doktor Hashriq nak tunggu anak Cikgu lahir dulu baru cerai sebab dia nak ambik anak Cikgu untuk dia jaga dengan girlfriend dia?” usul Haikal walaupun agak khuatir isu itu terlalu sensitif untuk diserkap-jarang sesuka-hati. Air muka Nuraisha berubah mendengar. Haikal berkalih duduk. Alamak. Lebih baik dia menutup mulut. “Saya mengarut je, sorry.”

Nuraisha kembali mengukir senyum.

“Tak apa.” katanya, tetapi ekspresi di wajahnya sudah tidak seceria tadi.

Haikal mengeluh kecil. Kalau di dalam filem, pada babak begini mungkin si hero sudah mendekati si heroine sambil mengutarakan janji-janji setia: “Saya takkan buat macam tu pada awak” dan sebagainya. Haikal cuma mengeluh lagi. Dia lebih tinggi daripada Nuraisha, jadi ketinggian mereka tidak dapat dipersoalkan. Namun setiap kali ingin bertindak lebih lanjut, hakikat umurnya yang belum pun mencecah lapan belas tahun membuat egonya sedikit-sebanyak tercabar. Terasa tidak layak memberi kata-kata semangat kepada seorang wanita yang jauh lebih dewasa dan mungkin lebih berpengalaman daripadanya dalam hal-hal jiwa dan raga. Kalaulah dulu aku lahir cepat sikit…

Ketika itu Hashriq menapak semula ke ruang tamu. Kelibatnya mematikan lamunan Haikal. Lelaki itu cuma berseluar track warna hitam dan bert-shirt lengan pendek warna hijau, tetapi dia tetap nampak seperti seorang model. Sambil menyarung seutas jam silver ke pergelangan tangan, dia berdiri di belakang sofa yang diduduki Nuraisha, kepala coklatnya didongak sambil mata birunya merenung Haikal. Muka yang ditayang tidak ubah seperti watak jahat di dalam filem.

“Aku pergi hospital kejap.” kata Hashriq tanpa mengalih perhatian dari Haikal. Mata Haikal berkelip beberapa kali, musykil kenapa dirinya ditenung penuh syak wasangka begitu. Nuraisha berpusing di sofa menghadap suaminya. “Aku hantar kau balik sekali. Aku tak percaya kau dalam rumah ni seorang-seorang dengan Isha."

“Hashriq.” tegur Nuraisha dengan dahi yang berkerut. Haikal yang baru meneguk air dari gelas tersedak mendengarnya. “Awak pergi hospital ada kerja, atau nak jumpa Farah?”

Mungkin Nuraisha tidak sedar, tetapi nada cemburu jelas terdengar di dalam suaranya. Haikal senyap tidak mencelah walaupun dia agak "terguris" menyedari perkara itu. Ternyata Nuraisha masih lagi menyimpan perasaan terhadap suaminya. Aku rasa makin depress fikir pasal benda ni. Gerutu Haikal sambil mengeluh panjang.

Ada check-up.” Hashriq menjawab endah tidak endah. “Kau tak tahu ke? Aku ada kanser.”

Selama berapa saat, isi rumah terus sunyi-sepi sejurus pengumuman itu. Kemudian cukup selamba Hashriq mengeluarkan sekotak rokok dari poket seluar track. Sebiji kusyen dari sofa terbang laju mencari kepala lelaki itu, dilempar oleh Nuraisha.

“Suka sangat cakap benda mengarut! Padan muka kalau nanti betul-betul dapat kanser!” tempelak Nuraisha marah.

Haikal melepaskan keluhan yang lebih panjang. Sesaat tadi, jelas benar Nuraisha betul-betul terkejut dengan gurauan Hashriq itu, bahkan ekspresi di wajahnya berubah habis dek panik dan takut.
Tanpa mengendahkan keletah isterinya, Hashriq menapak ke arah Haikal. Dua saat dia terpacak berdiri di hadapan Haikal. Dua saat lagi dia turun mencangkung di hadapan Haikal. Lima saat, dia tercongok betul-betul menghadap muka Haikal.

“Kau tahu tak, malam tadi Yasmin atur Isha pergi dinner dengan seorang mamat akauntan.” lapor Hashriq kepada Haikal, menjadi tali barut sekaligus batu api. “Baju mamat tu nampak mahal. Dia bagi bunga dekat Isha, dia bagi Isha makan udang galah.”

“Apa awak merepek ni?” makin bingit isi rumah dengan suara Nuraisha.

“Umur Isha sekarang dua puluh tiga, dah dekat expired. Umur kau baru dua belas tahun.” kata Hashriq sambil menggeleng seolah bersimpati. Batang rokok yang terjulur di mulutnya masih belum dinyalakan, ia turut bergerak-gerak tiap kali dia bercakap. “Kau dengan Isha tak ada future. Aku suggest kau cari yang lagi muda, yang tak bising macam dia, yang tak buta arah macam dia. Kan lagi bagus?”

Sejenak Haikal terkebil.

“Doktor Hashriq,” panggilnya. “Umur saya enam belas, bukan dua belas.” tahun ini dirinya tingkatan empat, bukan darjah enam.

“So kau tetap nak Isha lah ni?”

Hashriq.” Nuraisha mendesis.

Haikal menelan air liur. Terus-terang benar soalan yang diaju.

“Saya nak.” balasnya tekad. Mata Nuraisha membulat mendengar jawapan itu. Hashriq mengalih pandang ke lantai, senyum sinis trademark miliknya terukir perlahan di wajah. “Saya serius.” Haikal bertegas.

“Kalau macam tu,” sambil berdehem kecil, Hashriq menarik keluar sesuatu dari poket belakang seluar track yang dipakai. Sebuah notebook kecil dibuka dan ditilik sebelum dia bersuara lagi. “First requirement, kau kena ada harta.” katanya serius. “Second, kau kena ada kerja tetap. Bonus, kau kena lebih handsome atau paling kurang, sama handsome macam aku.”

“Apa dia?” tempelak Nuraisha. “Perasan betul! Kenapa awak yang tetapkan syarat untuk pasangan saya?”

“Be quiet, sweetheart.”

“Jangan dengar cakap dia Haikal."

Haikal berkalih duduk apabila Hashriq membaca lagi. Biar betik?

“Requirement paling top: rekod kesihatan kau mesti perfect. Kalau setakat ada asma pun automatik game-over.” Hashriq mendekat lagi. Suaranya diturunkan supaya Nuraisha tidak mendengar. “Aku takkan bagi Isha pada sebarangan lelaki. Lagipun aku dah ada calon untuk dia, so to speak.”

Sudah pelbagai perkara yang terlintas di fikiran Haikal sejak mendengar syarat pertama tadi lagi. Dia memberanikan diri untuk membalas renungan Hashriq.

“Siapa?” soalnya.

“Ikmal bin Tan Sri Darius.” Hashriq menarik batang rokok di mulut. “Umur dua puluh tujuh tahun, achievement Penolong Pengarah di Heavenly Holding. Ada rupa, ada harta, ada otak.”

“Tapi dia ayah Aileen.” gumam Haikal, terkejut. “Dia dah kahwin.”

“Maklumat tambahan: dia bakal cerai.” umum Hashriq bersahaja, mengejutkan Haikal lagi dengan berita itu. “At the very least, aku boleh respect semangat kau, tapi aku takkan buat lebih daripada tu. Mustahil aku akan bagi Isha pada budak kecik macam kau dan kau memang tak mampu nak lawan Ikmal.” komen Hashriq tanpa berselindung. Tiada gurauan di wajahnya ketika itu, mata birunya seakan memberi peringatan kepada Haikal. “Aku nak kau give up.”

“Apa yang awak berdua bisikkan tu?” Nuraisha semakin curiga.

Haikal tidak menjawab, tidak berganjak. Pandangannya masih lagi bertaut dengan Hashriq apabila lelaki itu bangun menyimpan semula notebook ke poket seluar.

xXx
x
xXx


Hon kereta ditekan berkali-kali. Panjang-panjang, berderetan kemudian pendek-pendek mengikut irama yang tidak sekata. Sudah semacam lagu, cuma mungkin kalau dijual pun tidak laku, kalau diberi percuma pun belum tentu ada yang menerima.

Cuaca pada hujung minggu itu baik. Mood Yasmin juga baik. Kedatangannya hari ini membawa seribu-satu cerita untuk dikongsi dengan Nuraisha. Jam menunjukkan sebelas setengah pagi. Selepas hampir seminit Yasmin mendera telinga jiran-jiran, akhirnya kelibat Nuraisha melangkah dari pintu rumah ke pagar. Sepupu merangkap kawan baiknya itu melambai supaya dia keluar dari kereta.

“Isha…!” laung Yasmin ceria dari tingkap yang diturunkan. Hon ditekan-tekan lagi. Namun senyuman lebarnya pudar habis sebaik terpandangkan Hashriq di pintu rumah. Lelaki berambut coklat bermata biru itu merenung Yasmin agak aneh, seolah melihat Doraemon yang muncul dari mesin masa di laci Nobita. “Hah kau!” gertak Yasmin lantas merentap pintu kereta.

Tanpa sebarang tanda-tanda tercabar, sebatang rokok dimasukkan lambat ke dalam mulut. Hashriq menunggu Yasmin berderap laju ke arahnya di pagar rumah. Ketika itu Haikal baru memakai kasut untuk keluar. Budak lelaki tingkatan empat itu menjadi ragu melihat Yasmin.

“Nasib baik tak ada jiran keluar bawak parang Min.” tegur Nuraisha mengerutkan dahi, tetapi perhatian Yasmin hanya tertumpu penuh kepada Hashriq.

“Apasal kau sibuk masuk campur Isha dating malam tadi hah?”

“Aku belum berkira dengan kau lagi.” Hashriq menuding rokok di tangan ke arah muka Yasmin. “Si pendek ni--” tangannya merangkul pinggang Nuraisha dan ditariknya rapat. “--masih isteri aku.” sementara Nuraisha sedaya-upaya cuba melepaskan diri dari rangkulan Hashriq, sedikit pun lelaki itu tidak terkesan dengan kudrat isterinya yang ternyata tidak dapat menandingi kekuatannya. “Next time kau masuk campur, aku campak kau ke loji kumbahan.”

“Takutnya.” mengejek Yasmin buat muka. Di Sekolah Menengah Amethyst dahulu, dia terkenal dengan “kegagahan” dan mempunyai reputasi brutal di dalam kelab seni pertahanan diri yang disertai. Cuma “budak baru” Muhammad Hashriq bin Abdullah satu-satu budak lelaki yang mencemarkan reputasi brutalnya apabila berjaya mengalahkannya dahulu, tetapi itu hal lapan tahun lepas. Sekarang satu jari pun aku boleh henyak dia! Getus Yasmin. “Kau nak lawan? Hah? Jom. Ingat aku ngeri dengan muka alien kau tu?” cabarnya. Hashriq mendengus dan ketawa seolah cabaran itu lawak antarabangsa. Haikal terpacak di latar belakang, menjadi penonton bisu. Nuraisha masih lagi menolak-nolak dada Hashriq supaya dirinya dilepaskan, tetapi tubuh suaminya tidak berganjak langsung walaupun sekadar merangkulnya dengan sebelah tangan. "Dahlah curang. Mengkhianat. Isha nak cari calon lain pun kau tak bagi.” Yasmin menempelak. “Haloba ke apa?”

“Kalau kau cari “calon” yang masuk akal, aku boleh consider. Tapi “calon” yang kau cari untuk dia semua macam perempuan. Kenapa tak cari yang “lelaki” macam kau?”

“Apa?!"

Di dalam hiruk-pikuk suara Yasmin dan Hashriq yang berbalas tohmahan sekaligus memercikkan air liur masing-masing ke serata arah, Nuraisha menekup muka dengan kedua-dua tangan. Sudah ada jiran yang menjenguk kepala dari pagar rumah masing-masing. Haikal pula buntu melihat kedua-dua Yasmin dan Hashriq walaupun hakikatnya dia sudah beberapa kali menyaksikan pertengkaran mereka. Apabila Hashriq berlalu ke kereta, Yasmin berderap mengekori.

“Masuk.” kata Hashriq kepada Haikal.

Kelam-kabut budak lelaki tingkatan empat itu menarik beg di bahu dan bergegas ke pintu penumpang hadapan. Yasmin pula menghadang laluan Hashriq di pintu pemandu.

“Nak lari?”

“Min, dia ada kerja kat hospital.” Nuraisha menarik lengan Yasmin. “Dahlah.”

“Senang-senang nak lepaskan dia?” mata Yasmin dikecilkan merenung Hashriq.

“Shahrul bagi tahu aku malam tadi, kau jumpa Azril.” tiba-tiba Hashriq membuka cerita. Melopong luas mulut Yasmin mendengar. Itu pun turut dilapor oleh Shahrul kepada Hashriq? Memang menggali kubur sendiri. Shahrul Hazmi bin Tan Darius, kau bakal aku cincang-cincang dan bakar-bakar lepas ni. Yasmin memasang niat. “Agak-agak kalau Azril tahu perangai kau yang “berapi-api” belum berubah-ubah jugak, dia happy lagi nak jumpa kau next time?” usul Hashriq penuh makna.

Terkumat-kamit Yasmin mencari balasan. Nuraisha pula kini tekun merenung Yasmin dek kerana dia belum mendengar berita itu daripada Yasmin. Mana tidak, mereka bertiga sama-sama tahu Azril bin Datuk Razlan adalah satu-satunya jejaka yang menjadi pujaan Yasmin di Sekolah Menengah Amyethyst dahulu. Tetapi entah apa bala, walaupun kini bertemu semula Azril rupa-rupanya anak kenalan Tan Sri Darius yang juga dikenali oleh Shahrul.

“Tak ada rundingan lagi dah! Aku mesti lenyapkan dia hari ni jugak Isha!” Yasmin meluru ke arah Hashriq, kedua-dua tangan dihulur untuk menyerang.

Nuraisha terus memeluk sepupunya itu. Haikal lebih suspen dari dalam kereta. Hashriq mendengus terhibur, keningnya diangkat melihat Yasmin “berenang-renang” meredah angin, kakinya tidak dapat menapak lebih dekat kerana dihalang oleh Nuraisha.

“Awak tengok apa lagi! Pergilah cepat!” gesa Nuraisha.

Jari-jari Hashriq dilambai kepada Yasmin sambil membuka pintu pemandu.

“C'etait une belle conversation mais je doir aller. Au revoir mademoiselle.”

“Dengar tu! Mesti dia kutuk aku tu Isha! Biar aku jahit mulut dia!” bangkang Yasmin bersungguh-sungguh, tetapi Nuraisha tetap tidak melepaskan pegangan. Kaki Yasmin dipanjangkan dan dikuis-kuis dalam cubaan hendak mencalarkan Gen-2 silver milik Hashriq. Mata Haikal makin bulat melihat keganasan yang kian menjadi-jadi itu. “Jangan lari! Makhluk tak guna…!”

Tingkap kereta diturunkan, Hashriq menayang kedua-dua belah lesung pipit kepada mereka, mengukir sebuah senyuman memikat.

“Assalamualaikum.”

Sudahnya, kereta Gen-2 silver milik lelaki itu dipandu selamat meninggalkan lorong rumah bersama-sama Haikal. Meninggalkan kedua-dua Nuraisha dan Yasmin yang sudah termengah-mengah seperti baru bertarung di gelanggang gusti.

“Apa ni Isha!” protes Yasmin sementara Nuraisha mengelap dahi yang sudah berkeringat.

“Letih…”

xXx
x
xXx


Agak lama, kipas siling yang berputar sederhana laju itu ditenung sebaik matanya dibuka perlahan. Otaknya kosong tidak memikirkan apa-apa, tetapi kepalanya berdenyut kuat mengganggu ketenangan yang cuba dicari. Sofa tempatnya terbaring bukan sofa import yang berada di bilik tidurnya, malah apabila dia menilik sekitar, ternyata ruang tamu tersebut bukan ruang tamu rumahnya yang berhias mewah dengan perabot antik dan perkakas mahal.

Sambil memegang kepala yang berat, Ikmal bangun duduk di sofa. Pipi kiri yang sakit disentuh dengan jari. Pandangannya dilalukan lagi ke sekeliling. Rumah itu cuma rumah satu tingkat seperti yang selalu dilihat di kawasan perumahan biasa. Ruang tamunya kosong kecuali sebuah meja makan, set sofa dan televisyen. Tingkap-tingkap yang ada pula hanya ditutup langsir ringkas berwarna biru muda.

Suara-suara dari dapur mengalih perhatian Ikmal ke sana. Shahrul? Dahinya berkerut mengecam suara adik lelakinya itu, diselangi suara seorang perempuan. Mereka sama-sama ketawa seolah berkongsi jenaka. Ikmal berkalih di sofa sebelum tangannya menyentuh sekeping sampul surat yang diselit di bawah bantal kusyen. Baru dia menarik sampul surat tersebut, seorang wanita bertudung litup berjalan masuk ke ruang tamu diekori Shahrul.

“Dah bangun?” soal wanita itu sementara adik lelaki Ikmal menayang muka tidak bersalah.

“Shahrul.” tegur Ikmal.

“Ya saya.” sahut Shahrul mendatar, seolah mereka tidak kenal pun satu-sama lain. “Ini Farah, dia yang kutip Abang masa Abang black-out tepi tayar kereta dia Subuh tadi.”

“Lama jugak awak tidur, dah dekat Zuhur sekarang.” kata wanita bertudung litup yang diperkenalkan sebagai Farah itu. Ikmal seperti pernah mendengar nama wanita itu sebelum ini. Lambat dia menyambut cawan yang dihulur kepadanya. “Air teh limau.”

“Rumah siapa ni?” soal Ikmal kepada Shahrul, tetapi soalannya tidak memerlukan jawapan. Sebuah bingkai mematerikan gambar Hashriq bersama Nuraisha di atas sebuah rak buku yang tadi tidak disedari Ikmal. Cawan yang baru disua ke mulut terus dialih semula. Jijik, benci dan amarahnya meluap hingga hampir tidak dapat dibendung. Dia bingkas bangun dari sofa. Pandangannya turut terhenti kepada sebuah bingkai lagi yang mematerikan gambar Hashriq, Farah yang tidak bertudung dengan seorang budak lelaki. Ketiga-tiga mereka mungkin berada di sekolah menengah ketika gambar itu diambil. “Awak rakan sekerja Hashriq yang “rampas” dia dari Nuraisha.” kata Ikmal menyedari identiti wanita bertudung litup itu.

Farah mengerut dahi mendengar nada menuduh di dalam suara Ikmal. Kemudian dia mengeluh dan mengangkat bahu, tidak menafikan apa-apa.

“Saya hantar Abang balik, saya ambik kunci.” Shahrul berpaling ke dapur seolah ingin cepat-cepat mengeluarkan Ikmal dari rumah itu dan menjauhkannya dari Farah.

“Siapa budak lelaki tu?” Ikmal menuding ke bingkai gambar kedua yang dilihatnya di rak buku. Di dalam gambar tersebut, seorang budak lelaki tersenyum dengan sebuah kamera tergantung di leher. Di belah kiri, Farah yang bertocang kuda turut tersenyum ceria sambil jari-jarinya mencantum bentuk “love” dengan jari-jari budak lelaki di sisinya.  Di belah kanan budak lelaki itu pula, Hashriq berdiri dengan headband merah tersarung di kepala, sebuah skateboard dipegang di tangan kiri. Ketiga-tiga mereka cukup selesa berposing. “Budak lelaki tu teman lelaki awak?” usul Ikmal apabila tidak mendapat reaksi dari Farah. “Habis apa jadi pada budak lelaki tu sekarang? Awak tinggal dia macam Hashriq tinggal Nuraisha?”

Masih senyap, Farah tidak memberi balasan. Apabila Ikmal mengalih pandang dari bingkai gambar, air muka wanita bertudung litup itu dilihatnya sudah berubah habis, kedua-dua tangannya digenggam kuat di sisi. Mungkin jika jarak mereka cukup hampir, sudah lama dia menghayun satu tamparan ke muka Ikmal, jelas benar dia sedaya-upaya menahan emosi.

“Saya kesian dengan awak.” bisik Farah tajam, kemudian tanpa sepatah kata lagi dia berlalu meninggalkan ruang tamu.

Maksud kata-kata itu langsung tidak dapat difahami, tetapi entah kenapa ia menaikkan kemarahan. Sampul surat di bawah kusyen ditarik. Ikmal membelek isi kandungannya sambil menolak ke tepi kata-kata Farah tadi. Cawan di lantai diambil dan dihirup sampai habis. Kebiasaannya dia tidak menyentuh air-air begini namun mungkin terlalu banyak minum malam tadi, terasa sedap pula. Cawan yang sudah kosong itu ditenung beberapa saat sebelum diletakkan semula ke lantai.

Tiga helai kertas yang dikeluarkan dari sampul surat dibelek satu-persatu. Ikmal membaca apa yang tertulis di dalam borang-borang hospital tersebut, makin lama dahinya makin berkerut. Nama penuh "Muhammad Hashriq bin Abdullah" tertera di atas borang, lengkap dengan butir-butir peribadi seperti ketinggian, berat dan jenis darah.

Daripada keputusan pemeriksaan yang dibuat, lelaki itu disahkan menghidap kanser leukemia.

“Abang.” panggilan Shahrul memintas lamunan Ikmal. Adik lelakinya menarik borang di tangannya dan dimasukkan semula ke dalam sampul surat, tetapi mereka sama-sama tahu tindakan itu sudah terlambat. “Saya hantar Abang balik.”

Bermacam-macam andaian mula terlintas di fikiran Ikmal.

“Nuraisha tahu?” soalnya.

“Tak.” ringkas Shahrul menjawab, langkahnya terus dihala ke pintu walaupun kelibat Farah tidak muncul-muncul dari dapur.

“Dia nak ceraikan Nuraisha sebab dia sakit? Dia tak ada apa-apa hubungan dengan Farah?” tanya Ikmal lagi. Shahrul tidak menjawab, pintu rumah dibuka, kereta tanpa bumbung berona merah terang miliknya berbunyi sebaik kunci dihala ke situ. “Shahrul.” Ikmal menarik lengan adik lelakinya.

“Apa dia?” Shahrul ikut meninggikan suara, raut wajahnya tidak berpuas hati membalas renungan Ikmal. “Abang teka betul. Then what?”

Tak sangka. Ikmal tersenyum. Puas. Lucu. Shahrul merenung seperti dirinya sudah tidak siuman apabila ketawanya berderai. Tak sangka. Ikmal menggeleng kepala. Sama ada berita ini datang dari “doa” yang termakbul atau malang yang memang padan menimpa Hashriq, dia tidak peduli. Sudah lama dia menanti “penghabisan” lelaki itu, akhirnya sampai juga. Bertahun lama dia mengharap “penamat” lelaki itu, akhirnya tiba juga. Moga-moga rawatan Hashriq "berjalan lancar" mulai dari sekarang.

“Dia memang layak dapat benda ni.” putus Ikmal sambil mengukir senyum.

“Saya tak pukul Abang sebab Abang masih mabuk.” kata Shahrul senada.

Ketawa Ikmal belum habis. Dia mencapai kot yang tergantung di lengan sofa sebelum mengekori adik lelakinya. Shahrul terus berlalu ke luar rumah tanpa mempedulikan dirinya lagi. Ikmal menoleh ke dapur. Farah tidak keluar menghantar mereka, tidak syak marah dengan kata-kata yang diucapkannya tadi.

Ikmal ketawa sendiri. Tak sangka. Mungkin sampai bila-bila pun Nuraisha tidak akan tahu, malah ibu bapa angkat Hashriq sendiri, Tengku Nizam dan Tengku Maisarah langsung tidak tahu-menahu tentang latar belakang “anak lelaki” mereka itu. Hakikat sebenar, hidup mereka tambah lagi hidup Nuraisha lebih baik diteruskan tanpa lelaki sekotor Hashriq.

“Kamu marah sangat kenapa?” tanya Ikmal, kepalanya sudah terasa ringan. Kot kelabunya disarung ke tubuh. Shahrul diam. Enjin kereta terus dihidupkan seolah ingin segera sampai di rumah untuk mencampak Ikmal keluar dari keretanya. “Hashriq tu cuma “hasil kerja” Papa dengan seorang pelacur kelas rendah dari England, that’s all.”

Shahrul masih tidak menjawab. Kening Ikmal diangkat. Selalu, adik lelakinya itu tidak pernah berdiam diri andai Hashriq dihina. Bertahun-tahun Shahrul menentang Tan Sri Darius dalam pelbagai perkara, terutama mengenai Hashriq. Malah Shahrul pulang ke Malaysia dari Amerika pada bulan lepas semata-mata kerana mendapat tahu Hashriq kini menjadi doktor peribadi Tan Sri Darius di rumah mereka. Kalau bukan disebabkan perkara itu, mungkin Shahrul tidak pulang menjejakkan kaki ke tanah air terus. Bertahun-tahun juga Shahrul sudah tidak memanggil Tan Sri Darius dengan panggilan bapa.

“Abang tahu apa orang-orang gaji kat rumah cakap belakang Abang?” soal adik lelakinya. “Diorang cakap, Tan Sri berjaya buat Abang rosak.”

“Habis kamu semua berfungsi?” sinis Ikmal membalas.

“Dahlah.” getap Shahrul, stereng digenggam kuat. “Kalau tak nak accident, tutup mulut.”

Mood Ikmal kini lebih baik selepas membaca laporan kesihatan Hashriq tadi. Dia sekadar mengukir senyum. Bumbung kereta import dari German milik Shahrul itu dipasang memayungi kepala mereka apabila hujan renyai-renyai mula turun. Matahari sudah bersembunyi di balik awan yang berarak mendung. Rintik-rintik dari langit merembes di tingkap kereta. Sesekali, ada mat motor yang menyusup di celah-celah kenderaan lain. Jari-jari Ikmal diseluk ke poket kot, terasa menyentuh sesuatu. Ditariknya keluar seutas rantai silver berloket hati. Dia belum pernah melihat rantai itu sebelum ini. Mungkin kepunyaan wanita yang dibawanya ke hotel dari bar malam tadi.

“Look.” Ikmal menayang kepada Shahrul. Adik lelakinya menjerling sekilas dengan kening yang bertaut. Ikmal menyarung rantai silver berloket hati itu ke leher sendiri. “Seems fit.”

Dia bersandar selesa ke kusyen kereta, memeluk tubuh dengan mata yang dipejam mendengar bunyi hujan. I hope you suffer before you die. Akan diucapkan kata-kata itu kepada Hasriq nanti, niatnya sambil tersenyum sendiri.

xXx
x
xXx


Langit malam gelap tanpa kehadiran bintang mahupun bulan. Bunyi hujan menderum menimpa bumbung rumah. Air mencurah-curah membanjiri longkang. Cicak berdecap-decap di atas siling. Sayup-sayup cengkerik dan katak saling menyahut di luar.

Jam di dinding menunjukkan lapan setengah malam. Sudah lebih dua puluh minit Nuraisha duduk di sofa tidak melakukan apa-apa. Televisyen yang dibiarkan terbuka sekadar bercakap sendiri. Pandangannya ditumpu ke mug putih di atas meja seolah-olah ia akan terapung atau bergerak sendiri jika ditenung begitu. Air milo panas di dalam mug sudah pun sejuk dibiarkan lama.

Nuraisha mencapai botol minyak wangi di sebelah mug. Minyak wangi dari Perancis itu pemberian ibu mertuanya, Tengku Maisarah. Penutup botol dibuka dan disembur sedikit minyak wangi itu ke nadi di pergelangan tangan dan di leher. Harumnya sedikit-sebanyak menenangkan perasaan. Kemudian tanpa berfikir, dia menyembur minyak wangi import itu hampir satu botol ke seluruh badan. Melepaskan geram.

Puas dia memikirkan kata-kata Haikal sejak pagi tadi. Makin difikir, makin dia curiga. Makin difikir, makin berserabut lagi berselirat fikiran dan perasaannya.

“Agak-agak… Mungkin alasan Encik Hashriq nak tunggu anak Cikgu lahir dulu baru cerai sebab dia nak ambik anak Cikgu untuk dia jaga dengan girlfriend dia?”

Siapa tahu, mungkin benar Hashriq mempunyai niat tersembunyi melewat-lewatkan penceraian mereka. Mungkin dalam diam, lelaki itu ada merancang hendak merampas anaknya untuk dimasukkan sekali ke dalam “keluarga bahagia” yang bakal dibina bersama Farah. Memikirkan perkara itu, darah Nuraisha terasa menyirap. Ingin ditampar muka Hashriq sekuat-kuat hati. Jangan harap. Mustahil dia akan membenarkan Hashriq mengambil anaknya untuk dijaga dengan wanita lain. Jangan harap. Bibir Nuraisha digetap menahan marah.

Sejak meninggalkan rumah konon untuk ke hospital pagi tadi, Hashriq belum pulang-pulang. Mungkin ketika ini pun lelaki itu masih leka bersama Farah. Mereka berdua bekerja di hospital yang sama. Hari-hari mereka berpeluang untuk bertemu. Luka di hati Nuraisha kembali pedih memikirkan hal itu. Selama ini bodoh-bodoh dirinya menganggap Farah sebagai kenalan lama Hashriq yang turut bekerja di Hospital Indera. Mentah-mentah dia diperdaya. Entah apa yang pernah dilakukan Hashriq dan Farah di belakangnya, dia tidak tahu. Entah sudah berapa lama, dia tidak tahu. Mungkin selama ini di belakangnya, dia menjadi pihak yang “dikasihani” kedua-dua mereka, pihak yang tidak tahu apa-apa dan “menghalang” hubungan mereka berdua.

Bunyi enjin kenderaan di luar rumah mematikan lamunan Nuraisha. Lampu hadapan kereta menyuluh melepasi pagar rumah apabila Gen-2 silver Hashriq dihentikan di depan pagar. Nuraisha terus berbaring di sofa, matanya dipejam berpura-pura tidur.

Bunyi kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci kedengaran, disusuli oleh bunyi pintu gril yang dibuka dari luar. Beberapa saat kemudian pintu gril ditarik tertutup semula.

“Isha?” suara Hashriq memanggil. Nuraisha diam mematungkan diri. “Isha bangun, masuk tidur dalam bilik.” suaminya menegur lagi. Kali itu suaranya lebih dekat sekadar di tepi sofa. Nuraisha masih melakonkan aksi tidur. Batuk Hashriq memecahkan suasana sunyi di dalam rumah itu. “Isha, ada lipas gemuk kat rambut kau.” kata suaminya di tepi telinga.

Meremang habis bulu tengkuk Nuraisha mendengar kata-kata itu. Kalau diikutkan dia sudah menjerit sampai gunung berapi pun boleh meletus membuakkan larva. Tetapi dia tetap tidak memberikan apa-apa reaksi. Dia tahu Hashriq bohong. Lelaki itu pernah menggunakan taktik yang sama sewaktu mengejutkannya dari tidur beberapa bulan yang lepas. Jangan harap aku nak bangun… Celik-celik tengok muka kau. Getus Nuraisha tekad. Dia hampir tersenyum puas apabila keluhan Hashriq kedengaran.

Namun sejurus itu juga Nuraisha kaku. Dahinya dikucup.

“Tak semua lelaki jahat macam aku. Tak semua lelaki… Kotor macam aku.” nafas Hashriq  terasa menghembus dekat di telinganya. “Jangan berhenti hidup, Isha.”

Belum sempat kata-kata lelaki itu dihadam, Nuraisha tersentak. Ehhh! Tubuhnya dicempung dari sofa. Dengan mudah dirinya didukung meninggalkan ruang tamu. Permainan “pura-pura tidur” itu serta-merta hilang seronok. Nuraisha membuka mata. Tangannya terus menolak dada Hashriq.

“Lepaskan saya!” tempelaknya lantang. Sesaat, Hashriq terhenti melihat Nuraisha yang ternyata masih lagi celik. Kemudian dia menyambung langkah. Bantahan Nuraisha tidak dipeduli. Dia membawa Nuraisha ke dalam bilik tidur. “Jangan sentuh saya! Lepas.” lebih tajam Nuraisha menuntut, sambil meronta untuk turun tangannya memukul bahu Hashriq.

“Bising betul.” tidak endah lelaki itu memberi komen. Sebaik tiba di tepi katil, Nuraisha diletakkan ke bawah. “Kau conquer sofa aku, patut aku yang mengamuk.”

Nuraisha mengesat-ngesat lengannya yang dipegang Hashriq. Setelah puas memikirkan kata-kata Haikal sejak dari pagi, dia tidak ingin dekat dengan Hashriq lagi.

“Esok kita cerai.” kata Nuraisha pantas apabila Hashriq mula berpaling ke pintu bilik. Dia duduk di katil apabila lelaki itu menoleh semula ke arahnya. “Awak ada cakap sebelum ni, lepas kita cerai rumah ni milik saya, jadi saya nak awak keluar dari rumah ni secepat yang mungkin. Saya tak peduli langsung awak nak buat apa dengan Farah, saya tak nak tengok muka awak lagi.”

Hakikatnya kata-kata itu masih terasa payah untuk diucap, tetapi Nuraisha kuatkan tekad. Adakala hatinya masih berbelah-bahagi, namun mulai sekarang dia cuma akan mengikut kata akal. Nasib anaknya yang bakal lahir ditanam kemas-kemas di benak fikiran supaya tekad yang baru dipasang itu tidak goyah. Tidak berbaloi pun dia terus mengharap. Tidak berbaloi pun dia terus ragu-ragu. Hidupnya pasti akan lebih baik selepas hubungannya dengan Hashriq ditamatkan, lebih cepat lebih bagus.

“Sebelum ni kau setuju nak tunggu sampai baby lahir.” kata Hashriq dari muka pintu.

“Saya ubah fikiran.” balas Nuraisha acuh tidak acuh, bahunya diangkat selamba.

“Rancangan nak cari suami baru ada kena-mengena dengan “perubahan fikiran” kau ni?” usul Hashriq lagi.

“Kenapa?” Nuraisha mencabar. “Awak masih nak kata tak boleh?”

“Benci sangat tengok muka aku sekarang?”

“Ha’ah.”

Mendengar jawapan itu, Hashriq diam. Mata mereka bertaut. Nuraisha tidak mengalih pandang walaupun jantungnya cukup laju berdegup. Melihat muka Hashriq, fikiran dan perasaannya bercampur-aduk. Akal dan hatinya bertelagah. Lapan tahun mereka bersama sebelum mereka bergelar suami-isteri. Baru empat bulan mereka berkahwin, namun sejak di sekolah menengah lagi mereka sudah berpasangan. Muhammad Hashriq bin Abdullah adalah teman lelaki merangkap cinta pertama yang dia miliki. Memang tidak dapat dinafikan hatinya masih lagi dipegang oleh Hashriq. Dia cuma mampu berharap berlalunya masa, satu hari nanti hatinya boleh diambil semula daripada lelaki itu.

“Kalau aku keluar, kau nak duduk dengan siapa kat rumah ni?” tanya Hashriq.

“Awak ingat saya ni budak kecik?” dahi Nuraisha sudah berkerut mendengar soalan itu.

“Aku boleh keluar, dengan syarat kau suruh Yasmin pindah masuk.”

“Yang awak sibuk mengarah saya ni kenapa? Suka hati saya nak tinggal seorang pun.”

Mata biru Hashriq dihala tepat ke muka Nuraisha. Rahang lelaki itu bergerak, lesung pipit di pipinya jelas kelihatan tanda giginya digetap bengang.

“Kau nak suruh Yasmin pindah masuk ke tidak?” soalnya.

Tak.”

“Kalau macam tu tahun depan baru kau tak tengok muka aku lagi.”

Nuraisha menjeling marah.

“Kenapa awak buat perkara ni jadi rumit?” tempelaknya. Suasana bilik tidur itu sudah bertukar tegang. “Kita dah nak cerai, saya suruh awak keluar dari rumah saya. Itu pun susah? Apa sebenarnya awak nak?”

“Apa aku nak?” suara Hashriq sama meninggi. Nuraisha terdiam apabila lelaki itu melangkah ke katil. “Kau tak patut tanya.”

Sebelum Nuraisha sempat memberikan reaksi, dengan jarak mereka begitu hampir, tangan Hashriq sudah terlebih dahulu mencapai mukanya. Mulut Nuraisha ditangkap mulut lelaki itu dalam satu kucupan yang seperti tidak pernah puas. Bunyi katil berkeriut menampung berat mereka apabila Hashriq naik menghampirinya.

Sentuhan jari-jemari Hashriq terasa dingin, namun nafasnya hangat. Tanpa sedar tapak tangan Nuraisha dilekap ke dada Hashriq, lelaki itu pula merangkul pinggangnya erat dengan sebelah tangan, sementara tangannya yang masih bebas menarik penyepit kupu-kupu di belakang kepala Nuraisha. Helai demi helai rambut ikalnya yang keperangan jatuh melepasi kedua-dua bahu, dipintal dan dimain perlahan oleh jari-jemari Hashriq.

Apabila dirinya dibaringkan ke tilam, melihat wajah Hashriq begitu hampir, Nuraisha tahu mereka bakal melakukan satu kesilapan. Walaupun dia sudah tekad untuk menggunakan kata akal, saat ini dengan mudah hatinya mengkhianat. Fikirannya kosong. Semua tidak dipeduli.

Tangannya dihulur menyentuh pipi Hashriq, tanpa terniat untuk membantah dia membenarkan lelaki itu bergerak lebih dekat ke arahnya. Anak-anak rambut coklat Hashriq yang hampir menutupi mata birunya diusap perlahan dari dahi lelaki itu, pandangan mereka bertaut dalam sunyi yang menyelubungi bilik tidur. Tanpa sepatah kata, tanpa sebarang ekspresi yang dapat dibaca di wajahnya, Hashriq turun mendekat. Mata Nuraisha kembali dipejam saat bibir mereka bersentuh lagi. Dipeluknya Hashriq seerat mungkin, tubuh lelaki itu cuba didakapnya sehampir yang boleh.

“Kali terakhir.” kata Nuraisha perlahan. “Ini kali terakhir.”

Di keheningan malam, hujan masih turun lebat membasahi bumi. Hashriq diam tidak menjawab.

.
.
.

4 comments:

  1. apa saja yang boleh dikongsi: terima kasih masih sudi membaca (:

    ReplyDelete
  2. please.... jgn bgi hasriq mati..... lgipun dier bad boy.... hehehe sye suker bad boy jdi hero

    ReplyDelete
  3. zawani mukhtar: Terima kasih membaca (: hehe insyaAllah? (;

    ReplyDelete