Lantai marmar rumah tidak berpenghuni itu berdebu dek kerana sudah terlalu lama ditinggalkan sendiri. Kain-kain putih menutupi semua perabot di serata rumah. Habuk dan sarang labah-labah begitu banyak. Sesekali, angin malam bertiup masuk membuai langsir nipis yang menghiasi tingkap-tingkap empat segi di sudut rumah. Ada bahagian lantai marmar yang berkilau dipanah cahaya bulan di dada langit.
Kamera di tangan Mira masih dihala ke hadapan. Langkahnya diatur berhati-hati memasuki ruang tamu. Malap. Sunyi. Di tengah-tengah bilik, sebuah piano berona gelap kelihatan megah berdiri walaupun terlindung di balik kain putih. Kamera dihala ke sekeliling. Rolling, rolling… Bingkai-bingkai gambar yang tergantung pada dinding semua turut tersembunyi di balik kain putih. Angin malam yang berhembus sesekali mencuit dan mengintai imej-imej yang terlakar di dalam bingkai keemasan tersebut. Semua dirakam teliti menggunakan kamera. Walaupun agak seram apatah lagi disebabkan “sejarah gelap” yang diuar-uarkan penduduk sekitar mengenai rumah Romania ini, entah macam mana masih ada damai yang terasa. Mungkin, rumah ini sekadar menyimpan sebuah memori sedih. Getus hati Mira seraya berpaling.
“Mak!” serentak itu juga dia terjerit. Muka Zarif terpacak betul-betul di hadapannya sesudah dia menoleh. Tanpa bersuara, tangan budak lelaki itu dihulur mengalih kamera yang dipegang Mira dari wajahnya. “Berjalan tak ada bunyi tapak kaki!” desis Mira sambil mengurut dada.
“Seriously. Boring.” Zarif berlalu melepasi Mira, melangkah lebih dalam memasuki ruang tamu. Kamera dihala ke atas, menilik siling rumah. Rolling, rolling… Ada kristal-kristal chandelier yang tergantung dari siling itu yang bersinar disentuh cahaya bulan. Cantik. “Tak ada apa-apa pun kat sini.” suara Zarif memberi komen dari piano. Mira membawa arah kamera ke sana . Budak lelaki itu menarik kain putih yang menyelubungi alat muzik tersebut, kemudian dia menjemput diri sendiri duduk di bangku bertentangan. “Free performance. Nak lagu apa?”
Bibir Mira terus dijuh dengan tawaran yang tidak semena-mena itu. Biasa mereka bukan baik sangat di kelas. Malam ini pun “tuah” saja yang menyebabkan mereka sama-sama dihukum selepas kalah dalam sebuah permainan yang diadakan sempena sambutan hari jadi ketua kelas mereka yang diraikan bersama tengahari tadi. Pilihan hukuman pula cukup-cukup bertimbang rasa. Mereka dikehendaki masuk ke “rumah puaka” yang padan-padan pula terletak tidak jauh dari sekolah, tidak lain tidak bukan sebuah rumah lama yang direka-bentuk berciri budaya Romania.
Menurut kisah yang masih disebar penduduk sekeliling, rumah dua tingkat itu merupakan peninggalan sepasang suami-isteri di akhir tahun 50-an. Desas-desus yang masih terus menular adalah membabitkan sejarah gelap rumah tersebut di mana kononnya, si suami yang berbangsa Romania telah membunuh anak-anak dan isteri Melayunya pada satu malam bulan mengambang. Berdasarkan bukti yang dijumpai, pembunuhan itu dikaitkan pihak polis dengan upacara pemujaan Vlad III yang juga dikenali sebagai Dracula, iaitu pemerintah silam kerajaan Wallachia yang terkenal dek sikap sadis menyeksa tawanan.
“Lagu apa kau reti main?” soal Mira, kepalanya digeleng beberapa kali. Maklumat yang telah diberikan teruja oleh rakan-rakan kelas mereka tengahari tadi cuba dibuang jauh-jauh dari ingatan. Nanti makin difikir, makin takut pula dia. Tidak pasal-pasal boleh buat malu di hadapan Zarif. Mereka hanya diminta untuk merakam seluruh isi rumah dan ditunjuk kepada seluruh kelas. “Main aje lagu apa-apa, and then kita keluar.”
Zarif mengangkat kepala. Sebuah senyuman dituju khas buat Mira.
“Kau takut?” soalnya lambat, konon-konon aura pembunuh bersiri.
“Kau nak aku ketuk kepala kau dengan kamera ni?” sahut Mira semula.
Budak lelaki itu ketawa kecil. Jari-jemarinya dilalukan perlahan ke papan kekunci piano. Debu dan habuk yang melekat sekadar dikesat tidak endah ke seluar jeans. Satu demi satu nota-nota muzik berdenting mula dimainkan. Lancar dan lembut. Mira mengangkat kening, tidak sangka. Mata Zarif sudah dipejam dan ada sebuah senyuman yang terukir di wajah budak lelaki itu. Santai. Tenang. Melodi indah beralun memenuhi segenap isi rumah. Langsir nipis di tingkap terbuai dek angin seolah sama-sama menikmati muzik tersebut.
Sambil ikut senyum, Mira menghala kamera ke arah Zarif. Cute jugak mamat ni ya? Photogenic. Sesudah “pengamatan” itu terlintas di fikiran, Mira menggeleng-geleng lagi. Pipi ditepuk beberapa kali. Wake-up. Alert, alert. Tegasnya sendiri.
Melodi indah yang dimainkan Zarif mula turun tanda sudah hampir sampai di penghujung. Namun belum sempat ia ditamatkan, tanpa sebarang amaran bunyi sesuatu pecah terdengar bingit dari tingkat atas. Krang!!! Mira tersentak, hampir-hampir kamera di tangannya terlepas. Muzik dari piano terus mati, jari-jemari Zarif beku di papan kekunci.
“Bunyi apa tu?” budak lelaki itu mendongak ke tangga berlingkar di sudut ruang tamu. Mira menelan air liur. Tekaknya kering. Zarif bangun meninggalkan piano. Naik bulat mata Mira apabila budak lelaki itu mendekati tangga. “Jom naik.”
“H-hah?”
“Kata tak takut?”
Air liur ditelan lagi. Kali itu, Mira terasa seperti menelan pasir. Payah dan kesat. Separuh rela dalam terpaksa, demi membuktikan kegagahan dan menjaga ego perempuannya, dia mengekori Zarif memanjat anak tangga. Riaknya ditayang selamba sambil menghala kamera ke atas. Hakikatnya, ingin saja ditekup mukanya ke bahagian belakang baju sejuk Zarif. Tak sensitif mamat ni. Wujud ke budak perempuan yang tak takut langsung bab-bab rumah puaka?
“Kau tahu ke bunyi tadi tu datang dari mana?” tanya Mira sekadar untuk memecahkan sunyi yang menyelubung. Zarif tidak menjawab, entah dengar atau tidak. Budak lelaki itu fokus meninjau ke sana ke mari. Mira menggetap bibir sambil dalam diam melafazkan ayat-ayat Quran yang dihafal. Terdapat sebuah meja kecil yang agak antik buatannya disandarkan pada dinding bercorak. Sebuah cermin bujur tergantung di hujung koridor. Mira mengalih pandang. Bimbang terlihat apa-apa yang tidak patut dilihat di dalam cermin tersebut. Bukankah filem-filem seram banyak yang begitu? Ada saja “benda” yang berlalu melepasi cermin. “Tak ada apa pun?” gumam Mira, separuh berharap Zarif memutuskan untuk beredar. Mungkin kerana melihat dari lensa kamera, ruang malap yang diterokai mereka kelihatan benar-benar seram. Seolah bila-bila masa, ada sesuatu yang mungkin akan menerkam keluar dari kegelapan di ceruk-ceruk rumah. “Kita nak pergi mana ni?” soal Mira lagi.
Kreeek… Perlahan, bunyi pintu dibuka menjengah ke telinga mereka. Tangan Mira terbang sendiri mencari bahagian belakang baju sejuk Zarif, digenggamnya erat dengan matanya terus dipejam rapat. Tak nak tengok, tak nak tengok…!
“Hebat.” komen Zarif bernada kagum. “Pintu kat belakang kau terbuka.”
Mak…! Psiko ke apa mamat ni? Pintu terbukak sendiri dia kata hebat! Mira bersungguh-sungguh memasang niat untuk membuka langkah seribu. Kamera yang dipegangnya terasa diambil dari tangan, dia dapat merasakan Zarif bergerak ke arah di mana pintu yang didakwa sudah terbuka itu. Hampir putus bibir Mira digigit cemas. Betul ke tidak mamat ni? Enggan melepaskan tangan dari baju sejuk budak lelaki itu, teraba-raba dia mengheret juga kakinya mengikut.
“Scene 1: mystery of the door.” suara Zarif kedengaran. Tidak syak dia sedang merakam “pintu misteri” berkenaan. “Boleh jadi angin yang tiup.” tambahnya membuat analisis, sudah persis merakam dokumentari.
Tapak demi tapak Mira mengekori Zarif ke dalam bilik. Matanya masih tidak dibuka, tetapi selepas beberapa saat lagi mendengar suara Zarif memberi komen terhadap itu dan ini, gemuruh Mira berkurangan. Dia membuka sebelah mata, dikecilkan merenung sekeliling dengan lambat-lambat. Angin menerobos masuk dari sebuah tingkap empat segi yang terbuka, dingin malam terasa menggigit. Mira menggosok kedua-dua lengan.
“Sah-sah angin.” omelnya lebih terniat untuk menyedapkan hati sendiri daripada mencari penjelasan. Zarif melirik ke arahnya sambil tersenyum. Berkerut dahi Mira melihat. “Apa dia?”
“Nope, nothing. Of course angin. Takkan hantu pulak…”
“Mulut tu.” heee. Mira menarik nafas dalam-dalam. Sabar… Tiba-tiba Zarif menanggalkan baju sejuk dan ditekup ke atas kepalanya. “K-kenapa pulak?”
“Kan dalam cerita, bila time malam sejuk-sejuk macam ni selalu hero bagi heroine pakai jumper dia?”
“Siapa hero siapa heroine?” getus Mira.
“Of course bukan kita.” Zarif ketawa perlahan, matanya kembali memerhatikan isi bilik, kamera dihala dari objek ke objek. “Kita masuk rumah puaka macam ni, kalau jadi hero dengan heroine, in the end salah seorang takkan dapat keluar hidup-hidup. Typical horror stories.”
Kening Mira bertaut.
“Tak boleh celupar lagilah?” getusnya, menyarung baju sejuk Zarif ke tubuh.
“That’s it.” Zarif menapak ke kabinet di penjuru bilik. “Scene 2: mystery of the broken… Glass?” kamera difokus kepada serpihan kaca yang bertaburan di karpet. “Kau rasa apa kes dengan rumah ni?” soalnya membawa kamera ke arah Mira.
“Entah.” dia hanya ingin beredar secepat mungkin.
“Hantu?” entah dari mana, tangan Zarif yang tidak memegang kamera memetik sebatang lampu suluh di bawah dagunya. Terlompat Mira melihat muka budak lelaki itu tiba-tiba bercahaya kelam. Zarif ketawa melihat lompatan kijang yang dibuat. “You think there are ghosts in here?” soalnya lagi.
“Bukan ke semua orang cakap macam tu?” Mira memeluk tubuh.
“Maybe.” Zarif kembali merakam sekeliling. “Atau maybe jugak, ada mat dadah yang main hide-and-seek dalam rumah ni.”
“Tinggi imaginasi.” mendatar Mira menyindir.
“Aku faham.” Zarif mengangguk-ngangguk. “Manusia lebih menakutkan dari hantu, so of course kau lebih berani berhadapan dengan hantu dari manusia.” sambil terpacak menghadap Mira, lampu suluhnya dihala lagi ke bawah dagu.
Mira mencebik. Menyindir balik nampak?
“Kalau betul ada mat dadah, bukan kita patut keluar cepat-cepat? By the way memang betul apa manusia boleh jadi lagi dahsyat dari hantu? Perangai manusia yang buang anak, yang dera anak, for examples.”
“Ah ya, exactly my point Cik Mira.” Zarif menjenguk ke tingkap. “By the way aku rasa mamat dadah tu dah cabut. Ouch. Mesti ada body-parts yang terkehel lompat dari sini ke bawah.” lampu suluh dihala ke kabinet di mana serpihan kaca tadi masih terbiar di situ. “And these are the evidences to support my suspicion.”
Mira tunduk mendekat. Di sebelah serpihan kaca, terdapat sebuah dulang silver dan bungkusan plastik-plastik makanan. Tulang-tulang ayam juga bersepah di karpet, dan bukti terakhir yang cukup nyata, adalah sebatang jarum suntikan.
“Hmm.” Mira mengangguk-ngangguk kecil. “Dah hilang suspen.” komennya tiba-tiba kesal.
“Kau patut lega.” Zarif menyuluh-nyuluh lampu ke muka Mira. Mira terjerit kecil mengelak serangan tersebut. “Kalau mat dadah tu perasan orang yang menyeludup masuk rumah ni tadi cuma budak-budak, aku tak rasa dia akan panik dan cabut. Mahunya dia buat kau jadi lauk.”
Mulut celupar. Mira menjeling. Dia berderap mengekori Zarif ke pintu.
“Habis kalau kau tahu ada risiko nak bertembung dengan mat dadah tu, apasal kau beriya nak naik tadi?”
“Kau terlalu pandang tinggi pada kepandaian aku. Siapa cakap aku syak ada mat dadah dalam rumah ni dari awal?” tanya Zarif. “50/50 aku ingat ada hantu.”
“Still kau beriya naik?” suara Mira tinggi beberapa oktaf mendengar.
“Of course. Siapa tak nak tengok hantu?”
Huish. Mira mengerut dahi sampai bercantum keningnya. Ditenung Zarif dengan rasa tidak percaya. Memang sah mamat ni psiko.
X
Sebaik-baik saja guru matapelajaran Sejarah mereka Puan Syazana melangkah meninggalkan kelas, pelajar-pelajar tingkatan 4 Dahlia terus kecoh mencetuskan suasana pasar malam. Budak-budak lelaki mengulang-tayang rancangan gusti yang ditonton, ada yang menjadi mangsa lakonan balik apabila diserbu dan diheret seperti adegan di gelanggang. Budak-budak perempuan ada yang membuat kerja rumah, ada yang tidak kurang berkongsi, mendengar, menyebar dan mencipta gosip.
“Demam lagi ke Mira?” tanya Aisyah mendengar batuk Mira yang berturutan mengganggu konsentrasi terhadap latihan Matematik Tambahan yang cuba diselesaikan. “Dua hari lepas time kau call aku tu, macam teruk je demamnya.”
“Mm.” Mira mencari tisu di dalam beg sekolah. Tiba-tiba seseorang menghulur sepaket. Sebaik mendongak, muka Zarif terpacak di hadapan. “Thanks.” sehelai tisu ditekup ke hidung yang sudah merah digosok-gosok.
“165.” Zarif menyampuk soalan Matematik Tambahan yang sedang diusahakan Mira. Jari telunjuknya dituding ke soalan demi soalan sambil tidak lepas menyebutkan angka-angka misteri. Sebaik diperiksa, ternyata angka-angka ajaib tersebut merupakan jawapan. “Aku ajar kau nanti.” suara budak lelaki itu kedengaran seperti suara orang diserang selesema, tidak ubah seperti suara Mira sendiri. Aisyah ketawa lucu. “Aaa--”
“Eh!” melihat Zarif sengaja mendekat ke arahnya untuk bersin, Aisyah mengelak sambil ketawa lagi. Mira senyap memerhatikan gelagat kedua-dua mereka, kepalanya masih berpusing. Kemudian ditilik Zarif dalam-dalam. Nampak gaya, budak lelaki itu juga tidak berapa sihat. “Zarif pun dah dua hari tak datang Mira, baru hari ni dia muncul macam kau.” Aisyah memberi info. “Demam jugak.”
Mira terkejut mendengar. Biar betul?
“Dah stop.” Zarif menarik pen di jari Mira. “Aku tahu kau problematic buat Math, nanti aku ajar. Aku ada something nak tunjuk.” katanya sambil menyeluk kedua-dua tangan ke poket seluar. “Ikut aku.”
Suka-suka hati label aku problematic buat Math. Demi menjaga maruah yang hampir tercalar dek kebenaran kata-kata Zarif, Mira berlengah-lengah.
“Pergi mana?” soalnya memeluk tubuh.
“Sana .” kepala Mira dan Aisyah sama-sama akur mengekori jari budak lelaki itu apabila Zarif menuding jauh ke langit biru di luar tingkap. Masih cerah dihiasi cahaya matahari. Jarinya dibelok ke meja paling belakang. “Tempat aku.”
Mira terbatuk beberapa kali lagi. Aisyah mengangkat bahu apabila dipandang. Tidak larat bercakap banyak, Mira bangun mengikut Zarif. Kelas mereka sudah benar-benar riuh mengalahkan medan perang. Sebuah telefon bimbit mendendangkan lagu rancak Britney Spears di atas meja Tina a.k.a “gadis tercantik sekolah” yang tidak segan silu menunjukkan minat yang ternyata “bukan cinta biasa” terhadap Zarif. Kini Mira sedar sangat gadis yang mempunyai senyuman manis itu sedang merenung penuh hasad ke arahnya, tetapi Mira buat-buat tidak nampak. Dia tidak memiliki sekelumit minat pun terhadap Daniel Zarif bin Datuk Ilham. Budak lelaki itu apatah lagi. Entah ada perasaan atau tidak, psiko semacam saja.
Sampai di tempat duduk Zarif, budak lelaki itu mengangkat beg sekolahnya dari kerusi yang kemudian ditolak ke arah Mira. Tanpa berbasa-basi, Mira menghenyakkan diri ke kerusi tersebut dan menampung dagu di dalam tapak tangan, kedua-dua siku di atas lutut, memerhatikan Zarif separuh mamai. Pening… Pening… Mata Mira perlahan tertutup.
Bunyi zip beg dibuka membuat Mira celik semula. Zarif mengeluarkan kamera yang telah digunakan malam dua hari lepas untuk merakam isi “rumah puaka” ketika mereka “mengembara” masuk ke sana.
“Maksudnya diorang semua belum tengok lagi rakaman rumah tu?” soal Mira.
“Nope.”
“Teruk ke demam?”
“Rasa macam kena ikat dengan rantai besi.” Zarif melirik sekilas ke arah Mira. “Aku mimpi pelik-pelik.”
Dengan dagu masih ditampung malas di tapak tangan, Mira mengelip mata mendengar. Dia juga bermimpi yang aneh-aneh dalam dua hari tersebut. Suhu badannya panas sampai emak dan ayahnya benar-benar bimbang, mana tidak dia tidak mampu bergerak langsung dan hampir tidak boleh bernafas, seksanya seperti dikurung di dalam tempat gelap dan sempit. Malah dia asyik meracau-racau menurut kata emaknya yang tidak tidur menjaganya.
“Aku pun.” lambat Mira menyahut. “Aku pun rasa macam kena ikat dengan rantai besi.” saat itu fikirannya terasa makin jelas dan kepalanya seperti lebih ringan. “Aku pun… Mimpi pelik-pelik.”
“Pasal rumah tu.” tambah Zarif.
“Pasal rumah tu.” Mira mengiyakan.
“Well.” Zarif duduk bersila di lantai di sebelah kerusi tempat Mira tercongok, kameranya yang dibuka diturunkan volume sehingga tiada sebarang bunyi yang kedengaran. Budak-budak kelas mereka masih sakan berceloteh dengan pelbagai gelagat. “Aku tak sure nak tunjuk pada diorang ke tidak benda ni.”
Perhatian mereka tertumpu kepada skrin kamera. Dari waktu mereka mula-mula menyeludup diri sendiri masuk melalui salah sebuah pintu belakang berdekatan dapur rumah Romania itu, sehinggalah sampai di ruang tamu. Keadaan masih malap. Langsir nipis masih dibuai angin sesekali. Bulan purnama masih menyinar di langit malam, menyilaukan kristal-kristal pada chandelier dan lantai marmar yang licin.
Apa yang berbeza, kesemua perkakas rumah di ruang tamu itu langsung tidak ditutupi oleh sebarang kain putih seperti yang dilihat mereka pada malam tersebut. Permukaan piano berona coklat gelap berkilat disuluh cahaya bulan. Sofa-sofa empuk memakai sarung merah pekat dicorak dengan benang silver. Bingkai-bingkai keemasan yang tergantung di dinding mematerikan wajah-wajah yang berhias dan memakai persalinan serba mewah; persis kaum kerabat asing zaman dahulu kala, setiap pasang mata yang ada seolah-olah merenung tepat ke arah penonton di hadapan kamera. Seluruh isi rumah nampak seperti ia masih lagi berpenghuni.
“Kau OK?” suara Zarif bertanya, butang pause ditekan. Tubuh Mira seram-sejuk melihat rakaman tersebut, nafasnya terasa hampir tidak sampai. Dia memandang Zarif tanpa sepatah kata. “Maybe we’ll stop here.” usul budak lelaki itu. Mira menggeleng pantas. “Sure nak tengok lagi?” soalnya. Mira mengangguk. “Still,” kameranya ditutup dan ditimbang-timbang di sebelah tangan. “Maybe next time. I won’t like it kalau kau pengsan kat sini.”
“Macam menakutkan sangat je apa yang kau belum tunjuk?” Mira mengerut dahi.
“Not really.” Zarif tersenyum kecil. “Five seconds sebelum aku start main piano tu, recording goes pitch-black. Then bila elok balik, aku dah duduk dekat bangku depan piano, nampak layan gilalah buat performance.” dengusnya ketawa kecil. “The thing is, benda tu tak bunyi.”
“Hah?”
“Piano tu tak berbunyi. Langsung. Nothing. Aku tercongok tekan keyboard here and there, tersengguk-sengguk santai. But there was actually no sound.”
“Maybe sound dekat rakaman tu yang tak kena?” usul Mira.
“I went back to the house pagi tadi, sebelum datang sekolah.” Zarif mencongak, menayang muka musykil. “Dekat nak patah jari aku tekan keyboard. Confirm benda tu memang dah lama rosak. Tak bunyi langsung.”
Habis, apa yang kita dengar malam tu? Mira berpandangan dengan Zarif. Budak lelaki itu mengangkat bahu, kamera di tangan dibalik-balik di atas riba.
“Menakutkan.” omel Mira menggigit-gigit bibir, baru ketika itu jantungnya berdegup laju, seolah-olah kini secara rasmi mengiktiraf pengalaman paranormal pertama yang dialaminya sepanjang enam belas tahun hidup di dunia. “Nasib baik tak ada apa-apa jadi.”
“Tak ada apa-apa jadi? Really?” Zarif membuka botol air mineral yang dikeluarkan dari beg sekolah. “Demam ni apa? Mimpi pelik-pelik ni apa?”
“Mm.” Mira mencongak. “Agak-agak ada benda ikut kita balik rumah ke?”
“Don’t know, maybe.” botol air mineral disua ke mulut dan diteguk seolah sudah seminggu menahan dahaga, Zarif bersandar selesa di dinding.
Mira mengerut dahi. Budak lelaki itu langsung tidak nampak risau, malah berani lagi menjejakkan kaki ke rumah tersebut selepas apa yang dilihat di dalam rakaman.
“Kau ni dilahirkan tanpa perasaan takut ya?” soal Mira mencari kepastian. Tanpa berhenti untuk menjawab Zarif terus-menerus meneguk air di dalam botol. Kamera di riba budak lelaki itu dicapai, rakaman dicepatkan sehingga ke waktu mereka naik ke tingkat atas rumah Romania tersebut. “Agak-agak… Apa yang jadi dalam rumah ni?”
Mendengar soalan Mira, terpercik habis air dari botol Zarif apabila budak lelaki itu spontan mengalih botol dari mulut. Dalam geram gigi Mira digetap sambil dia memejamkan mata, mukanya tempias direnjis percikan air. Zarif ketawa menghulur sehelai tisu.
“Kau tak nak tahu?” soalnya pula. Mira merenung curiga. “Maybe kita boleh seludup masuk lagi ke rumah tu--”
“No. Way.” Mira menujah kembali kamera Zarif. “Aku waras. Kau yang psiko.”
“Worth a try.” Zarif mengangkat bahu, bersandar semula di dinding. “Doakan aku selamat.”
“Gila.” getus Mira. “Memang tak takut?” soalnya dengan dahi yang berkerut.
“Kenapa nak takut?”
“Hantu.”
“That’s just mainan syaitan.” sebiji buah epal merah dikeluarkan Zarif dari beg sekolah. Mira menyambut apabila dihulurkan kepadanya. Budak lelaki itu menaikkan kaki kanan dan selamba ditumpang ke kerusi pada bahagian kecil yang tidak diduduki Mira. “Bila fikir pasal Tuhan as the creator of everything, as the most powerful of all aku rasa… Hmm.” Zarif memikir-mikir. “Aku rasa tak takut dengan benda lain. Because you know, apa pun bendanya God is able to deal with it tanpa petik jari pun. Apa pun yang jadi, God sees it all. Everything.”
“Meaning kenapa nak takut dengan benda lain? Cuma kena takut pada Tuhan?”
“Exactly.”
“Tapi buat apa kau sibuk dengan benda-benda macam ni? Kau cari pasal sendiri.”
“Hmm.” Zarif menggigit buah epal yang telah dikesat ke kemeja. “So aku tak patut pergilah ni?” kepalanya dialih menghadap Mira. Mira menggeleng. Sebuah senyuman diukir budak lelaki itu seolah ada makna. “Are you by chance worried about me?” soalnya.
“Please.” mata Mira diputar ke siling kelas. “Tina kau nak campak mana?”
“Kenapa dengan Tina?”
Mira mengeluh. Satu kelas tahu malah ramai yang geli hati dengan Zarif yang langsung tidak perasan dirinya menjadi buruan Tina. Dipandang budak lelaki itu dalam-dalam. Terbit rasa bimbang di hati Mira. Bukan apa, kalau cemburu seorang perempuan pun boleh tidak disedari, inikan lagi bahaya makhluk-makhluk halus yang mungkin benar menghantui rumah Romania itu.
“Jangan pergi rumah tu lagi.” Mira memberi arahan. Zarif menggigit epal di tangan sambil mengangkat kening. “Aku cuma tak nak tengok muka kau masuk paper as a missing person and then ten years later time aku dah kerja apa semua, dapat news rangka kau ditemui dalam cerobong asap.”
Ketawa Zarif pecah.
“Tinggi imaginasi.” komennya.
“Jangan pergi.” tegas Mira.
Masih duduk selesa di lantai bersandar pada dinding, Zarif sekadar senyum, kemudian dia mengaduh perlahan apabila kepalanya menjadi mangsa ketuk Mira menggunakan buah epal.
“Adoi… Ya, ya aku tak pergi.” sahutnya mendesis kecil. Riak wajahnya tiba-tiba bersinar seolah mendapat idea bernas. “Rakaman yang ada ni tunjuk pada diorang semua. Mesti tersebar punyalah macam-macam cerita. That’ll be interesting too.”
“Suka hati kaulah.” Mira mencapai botol air mineral Zarif dari lantai. Sambil terbatuk kecil dia bangun ke tingkap mencuci buah epal. “Asalkan kau tak ambik risiko jadi missing person and tersangkut dekat cerobong asap.”
Apabila diingat-ingat kembali, makin seram-sejuk Mira mengandaikan apa sebenarnya yang berlaku. Rakaman yang dibuat mereka itu ternyata memberi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah Romania tersebut, tambah lagi dengan sejarah gelap yang didakwa menghantuinya. Apa pun, dia tidak sudi dan tidak ingin melibatkan diri. Bagaikan semut kepada gula, perkara-perkara paranormal seperti itu semulajadi menarik minat orang, namun pendapat Mira, kita tak kacau dia, dia tak kacau kita.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment