Friday 27 January 2012

Sejujurnya Cinta 3



.
.

Entah jam berapa, Nuraisha terjaga. Bilik tidur mereka masih terang-benderang, lampu tidak ditutup. Hujan lebat sudah berhenti, yang kedengaran cuma bunyi rintik-rintik dari langit yang menimpa bumbung rumah. Tup. Tup. Tup.


Dalam mamai Nuraisha menggosok mata yang kelat. Kipas cuma dipasang pada nombor dua, tetapi dingin malam terasa benar-benar menggigit. Tubuhnya sekadar disarung dengan t-shirt hijau milik Hashriq. Dia menoleh ke sebelah dan “memanjat” sedikit belakang Hashriq yang diselubungi selimut sambil menghulur tangan ke meja di tepi katil.


Telefon bimbit suaminya bergetar dan berbunyi, melagu-lagukan melodi tidak berlirik. Nuraisha mencuri pandang ke arah Hashriq. Lelaki itu terlungkup menyembunyikan muka ke bantal, langsung tidak bergerak. Hairan juga dia. Memang sudah sebulan mereka tidur berasingan, tetapi sepanjang tempoh mereka berkongsi katil dahulu, Hashriq mudah terjaga, kecuali kalau diganggu mimpi buruk. Dua-tiga kali dalam seminggu, tidur mereka dipintas tengah-tengah malam oleh mimpi buruk Hashriq. Entah apa yang mengganggu tidur suaminya, Nuraisha sendiri tidak tahu. Setiap kali ditanya, Hashriq pandai “membelok” ke jalan yang berliku-liku untuk mengelak dari perlu menjawab berterus-terang, tiba-tiba topik sudah ditukarnya.


Curiga dan cemburu Nuraisha terus menjadi-jadi sebelum membelek skrin telefon bimbit. Terlintas di fikiran tentang Farah Yusnita. Namun kini dia merenung telefon bimbit di tangan dengan hairan. Bukan Farah. Jauh sekali dari Farah. Dia mengelip mata. Nama “Tan Sri Darius” terpampang elok di atas skrin. Kalau difikir, mungkin tidak pelik usahawan ternama itu mempunyai nombor telefon Hashriq. Anak lelaki bongsunya Shahrul selalu mengekori Hashriq ke mana-mana. Cuma, apa urusan tengah-tengah malam begini mencari suaminya?


Nuraisha melekap telefon bimbit ke telinga.


“Hello?”


“Siapa ni? Hashriq mana?” Tan Sri Darius kedengaran curiga. Nuraisha naik cemas. Dia sedang bercakap dengan orang besar. Pengarah kepada syarikat multi-billion dollar yang cuma pernah dilihatnya di kaca TV dan di dalam surat khabar. Bapa kepada Encik Ikmal dan Shahrul. Datuk kepada anak muridnya Aileen. “Hello?” lelaki itu kedengaran lebih curiga, tambah-tambah membuat Nuraisha gugup.


“S-saya isteri Hashriq.” tanpa berfikir, Nuraisha memperkenalkan diri. “Hashriq tidur. Tan Sri nak saya panggilkan dia?”


Senyap. Sunyi. Agak lama, tiada sebarang reaksi dari hujung talian.


“Isteri Hashriq?” soal Tan Sri Darius kemudian. Nuraisha menggetap bibir, cuak. “Nuraisha?”


Naik bulat mata Nuraisha mendengar namanya disebut.


“H-ha’ah.” alamak. Takpe ke jawab “ha’ah” dekat orang besar? Tak kena dakwa ke?


“Panggil Hashriq.”


Dua patah saja perkataan yang disebut, Nuraisha hampir berdecit patuh. Dia segera menempel di belakang Hashriq. Bahu suaminya disentuh, kemudian dia terhenti. Dingin.


“Hashriq,” bisik Nuraisha sambil menekup tangan kiri ke corong telefon supaya suaranya tidak didengar oleh Tan Sri Darius. “Hashriq bangun, ada orang besar telefon ni!”


Suaminya diam. Bergerak punya perlahan, liat daripada normal. Apa ni? Baru sebulan tidur dekat sofa, takkan dah tak nak berpisah dengan katil? Nuraisha mengerut dahi. Bahu Hashriq ditepuk-tepuk lebih kuat, kemudian dia terhenti apabila menangkap bunyi rungutan dari mulut lelaki itu. Macam bunyi merengek pun ada. Perlahan, Hashriq mengalih muka dari bantal. Sekali lagi Nuraisha terhenti. Anak-anak rambut coklatnya lencun dek peluh. Wajahnya pucat.


“Apa dia?” soalnya lambat.


“Tan Sri Darius call.” Nuraisha menghulur telefon bimbit, bibirnya digetap risau. Tidak sihatkah suaminya? Kalau diikutkan sudah laju dia menembak soalan-soalan yang menyerbu benak fikiran, tetapi ditahan dahulu. Memberi peluang kepada Hashriq dan Tan Sri Darius untuk bercakap.


“Assalamualaikum.” mata biru Hashriq masih dipejam. Nuraisha tekun memerhatikan lelaki itu. Demam ke? Dia sedar, dia sepatutnya tidak mengambil peduli lagi, namun dia masih juga gagal melakukan hal tersebut. Dia masih lagi mengambil kisah. Dia masih lagi bimbang. Dia masih lagi risau. Andai diketahui Yasmin, tentu telinganya tertanggal dileteri dan dibebel oleh sepupu merangkap kawan baiknya itu. Kata Yasmin, jangan memasak lagi pun untuk Hashriq, buat tidak perasan saja lelaki itu masih tinggal di rumah yang sama. Setakat ini, Nuraisha belum berjaya lagi. “Sekarang tak boleh.” setelah beberapa saat mendengar kata-kata Tan Sri Darius di hujung talian, Hashriq menjawab. Nuraisha makin serius meneliti. Muka suaminya agak hilang warna, nada pun macam payah saja hendak bersuara. Mata biru Hashriq dibuka dan menjerling ke arah Nuraisha. Nuraisha menjuih bibir. Apa? Suka hati akulah nak pandang kau pun. Getusnya di dalam hati. “Pukul lapan.” kata Hashriq lagi. “Assalamualaikum.”


Sebaik lelaki itu menutup telefon bimbit, Nuraisha duduk bersimpuh di atas tilam. Dia menghulur tangan ke dahi Hashriq. Lelaki itu baring mengiring dengan sebelah pipi di atas bantal, mata birunya merenung senyap ke arah Nuraisha.


“Sejuknya.” satu demi satu, bahagian tubuh Hashriq disentuh. Dahi, pipi, leher. Nuraisha menggosok-gosok bahu Hashriq untuk dihangatkan. Lelaki itu tersentak kecil. “Apa?” soalnya cemas, menarik kembali tangan yang dihulur. Tanpa menjawab, Hashriq membelek skrin telefon bimbit. Nuraisha menjenguk sama. Sangkaannya tadi, masih tengah malam. Rupa-rupanya sudah pagi. Lima empat puluh pagi. Sudah dekat Subuh pun. Hashriq bangun. Lesung pipit di pipinya timbul tanda giginya digetap. Sejak sekolah menengah, ia merupakan salah satu “isyarat” yang diperhatikan Nuraisha untuk mengesan mood Hashriq. Ketika ini, dia tahu lelaki itu bukan sedang menahan geram. “Sakit? Mana yang sakit?” tanya Nuraisha, membongkok lebih dekat.


Hashriq turun dari katil. Dia menunjal sedikit dahi Nuraisha dengan jari telunjuk.


“Pergi gosok gigi.” katanya senada.


Nuraisha menekup mulut dengan tangan. Serius ke? Sebab nafas aku?


“Alah! Masa baru kahwin, kentut saya pun awak kata wangi!” getusnya penuh drama.


Terhibur, Hashriq tersenyum agak aneh.


“Ya? Bila aku cakap macam tu?” soalnya penuh minat. Nuraisha melempar sebiji bantal ke arah lelaki itu, ditangkap dengan mudah. Hashriq kembali semula ke katil. Tangan kirinya dihulur menyentuh perut Nuraisha. Kandungannya baru berusia tiga bulan, dia sudah perasan tabiat Hashriq yang suka “meraba-raba” perutnya tanpa meminta kebenaran. Tangan kanan lelaki itu meraih rambut ikal Nuraisha yang tidak disepit dan sekadar dibiarkan bebas melepasi bahu. Hairan, musykil, terkejut lagi terkesima, Nuraisha senyap. Dia masih duduk bersimpuh di atas tilam, memakai t-shirt hijau milik Hashriq yang agak labuh dan lebar di tubuhnya. Lelaki itu cuma berseluar pendek tanpa baju. “You’re the only one I want. Isha.” bisik Hashriq, mata birunya tidak beralih dari wajah Nuraisha.


Aih. Apa pulak ni? Jantung Nuraisha mula bergendang, lehernya jadi panas. Lapan tahun mereka bersama, dia sudah mengenalpasti beberapa kebiasaan Hashriq. Lelaki itu adakala “berderet” menggunakan bahasa ibundanya iaitu bahasa Inggeris, dalam dua situasi: 1) ketika dia benar-benar naik angin, dan 2) ketika dia tiba-tiba feelings.


Namun seingat Nuraisha “adegan-adegan romantik” cuma berlaku sepanjang tempoh tiga bulan pertama mereka berkahwin saja. Bulan keempat sudah tidak lagi, sudah “punah” sebaik Hashriq mengumumkan status Farah Yusnita sebagai teman wanitanya kepada ahli keluarga mereka. Pagi ini apa mimpi pula?


“Awak belum bangun ke?” tanya Nuraisha ketika Hashriq bergerak lebih rapat.


Lelaki itu terhenti, namun cuma sedetik. Nuraisha pejamkan mata sebaik bibir mereka bertemu. Memang terbukti, dia lemah apabila berhadapan dengan Hashriq. Setegas mana pun tekad yang ditanam untuk tidak mempedulikan lelaki itu, dia sentiasa gagal. Mungkin selepas bercerai nanti pun, dia cuma akan terus membujang menjadi ibu tunggal. Mungkin…


Beberapa saat kemudian Hashriq mengalih kepala. Mereka cukup hampir sampai nafas mereka mengelus pipi masing-masing. Saat itu pandangan mereka bertaut, entah macam mana tidak ada yang berbeza dilihatnya di dalam renungan Hashriq, sejak dahulu sampai sekarang. Bukankah sepatutnya sekarang dia akan tercari-cari “cinta” yang pernah menjadi miliknya, yang kini sudah berubah? Jadi kenapa dia langsung tidak perlu mencari? Kenapa masih begitu jelas “cinta” itu dilihatnya di mata biru Hashriq?


Pelik. Nuraisha bermonolog sendiri. Dia mengerut dahi. Buat apa difikir banyak? Nanti cuma mengecewakan diri sendiri.


Nuraisha tunduk dan melagakan kepalanya dengan kepala Hashriq.


Thump!


“Aduh.”


“Padan muka.” Nuraisha berguling ke sisi, kakinya dijulur ke arah Hashriq dan dikuis ke rusuk lelaki itu sambil ditolak-tolak. Dia terjerit apabila kakinya ditangkap. “Jangan…!”


“Siapa ajar kau cuit suami dengan kaki?”


Makin riuh suasana di bilik tidur itu. Tanpa belas kasihan, Hashriq “menyerang” tapak kaki Nuraisha dengan jari-jari. Sedaya-upaya Nuraisha cuba meloloskan diri, membuat “kuak-lentang” sampai senak perut dia ketawa.


“Dah…! Tak nak main dah!” protesnya sambil menggeliang-geliut. Dia merangkak untuk lari sebelum ditangkap semula. Tubuhnya dirangkul kemas, dipeluk erat. Dengan nafas yang termengah, Nuraisha terbaring di atas tilam. Hashriq berlegar di atasnya dengan senyum “nakal” yang selalu ditayang sejak zaman sekolah. Rasa geram dan marah terhadap lelaki itu kerana “kes Farah” terus lenyap dan lesap dari fikiran Nuraisha. Tidak terlintas langsung, seperti tidak pernah disebut. Semudah itu Hashriq memberi kesan kepadanya. Tidak perlu diputar-belit, memang seringkas itu. Apa orang kata? Kalau dah cinta… Nuraisha menghulur kedua-dua tangan, memaut tengkuk Hashriq. “Boleh bagi tahu saya kenapa?” soalnya lebih tenang. “Awak bosan dengan saya sebab kita dah lama sangat kenal ke?”


Senyuman Hashriq terus hilang. Ekspresi terkejut muncul di wajahnya sejurus soalan itu. Pelukan di pinggang Nuraisha mula dileraikan, tetapi Nuraisha memaut tengkuk lelaki itu lebih erat. Lama, mereka sekadar diam. Hashriq “tersekat” tidak dapat bergerak.


“Apa beza kau tahu pun?” soalnya senada.


“Saya cuma nak tahu.”


“Isha--”


“--saya nak tahu.” Nuraisha bertegas. Kemudian dia menambah, “Curang tak boleh ditolak-ansur, tapi saya akan cuba sedaya-upaya untuk tak belasah awak, tak kiralah apa pun alasan mengarut yang awak bagi. Sebab saya nak tahu.”


“Really.” mendatar suara Hashriq, tetapi ada senyuman kecil yang kembali terukir di wajahnya. Dia menghela nafas, seolah mencari kata-kata. Nuraisha mengelus anak-anak rambut coklat yang jatuh di dahi lelaki itu. Namun apabila ditolak, anak-anak rambut itu semua jatuh semula, hampir menutupi mata biru Hashriq. “Biarkan, diorang memang macam tu.” Hashriq menghembus nafasnya ke atas. Anak-anak rambut coklatnya bertiup sedikit, kemudian kembali degil menutupi dahinya. Nuraisha ketawa kecil. “Aku tahu kau boleh bangun balik.” katanya perlahan sambil tersenyum lagi. “Kau takkan bazir masa lama-lama pasal sesuatu yang tak berbaloi. Kau akan nangis kejap, moody kejap, lepas tu kau akan bangun balik. Aku tahu.”


Nuraisha terdiam mendengar. Begitu yang Hashriq fikir mengenai dirinya?


“Jadi awak memang dah agak, walaupun saya naik gila pasal hal si Farah tu, awak memang dah agak saya takkan gila lama-lama?” soalnya, mengerut dahi. Hashriq mengangkat kening. Nuraisha menggetap bibir. Hendak mengamuk ada, bangga pun ada. Memang benar. Kecurangan Hashriq memberikan tanda, bahawa lelaki itu tidak berbaloi untuk terus ditangisi, untuk terus dibiarkan mempengaruhi dirinya. Lelaki “tanduk dua” seperti yang digelar oleh Yasmin. Mungkin kelak dia masih lagi akan mengingati Hashriq dari masa ke semasa, tetapi dia tidak akan membazir air mata dan waktu untuk lelaki itu lagi. Dia akan teruskan hidup. Dia boleh teruskan hidup. “Betullah tu.” Nuraisha mendongakkan kepala. Ditenung mata biru Hashriq dengan angkuh. “Awak dah buktikan awak tak berbaloi. Awak dah tak ada nilai lagi pada saya. Sebab tu saya, Nuraisha binti Abdul Rahman, boleh hidup bahagia walaupun awak dah tak ada. Saya boleh cari lelaki lain. Hmph! Small matter, no problem pun. Nyah kamu dari sini!” ikrar Nuraisha seperti mendeklamasikan sajak di akhir bulan Ogos.


Lambat, Hashriq mengukir senyuman “trademark” miliknya. Agak sinis, agak nakal, langsung tidak boleh dipercayai.


Nuraisha menjuih bibir. Tiba-tiba, terasa diperangkap pula. Jawapan yang diberikannya seolah jawapan yang memang diharap-harapkan oleh lelaki itu.




xXx





Sejak malam tadi sebelum masuk tidur, Yasmin sudah mempunyai hajat besar untuk Isnin keesokan harinya. Hajat mega untuk dilaksanakan hari ini, Yasmin hendak mencincang-cincang dan membakar-bakar “Tuan Muda Shahrul Hazmi bin Tan Sri Darius” di atas kesalahan membantu makhluk bertanduk dua, Muhammad Hashriq bin Abdullah, dalam merosakkan temu-janji yang dihadiri oleh Nuraisha pada malam kelmarin.


Namun hajat besar Yasmin itu terbantut. Sedang dia mengumpul fail-fail berkaitan selepas mesyuarat pagi, dua suara kedengaran bingit dari dalam pejabat Encik Ikmal. Telinga pekerja-pekerja terus “hidup” mencuri dengar butir-butir pergaduhan yang tercetus di dalam pejabat Penolong Pengarah itu. Tidak syak lagi, antara Encik Ikmal dengan Shahrul.


Walau apa pun yang digaduhkan dua-beradik itu, Yasmin tidak hairan sangat ia berlaku. Terkejut jauh sekali. Sudah sebulan dia menjadi setiausaha Encik Ikmal. Setakat ini saja, dia dan rakan-rakan sekerja yang lain sudah dua kali mendengar Encik Ikmal dan Puan Suraya bertekak. Dari dalam pejabat lelaki itu boleh didengar sampai ke luar. Lebih kurang macam ini juga. Menengking dan menempik, macam pekerja di luar semuanya pekak dan tuli.


Prang!!!


Mendengar bunyi kaca pecah itu, beberapa orang pekerja wanita menekup mulut dengan tangan. Ada pekerja lelaki yang bangun dari kerusi. Ada yang memanjangkan leher untuk menjenguk ke arah pejabat Encik Ikmal.


Yasmin memaling kepala ke arah pejabat, kedua-dua tangan memeluk tiga keping fail. Ini mungkin sudah lebih sedikit. Lain macam. Di dalam perang “perang” Encik Ikmal dengan Puan Suraya, tidak pernah lagi mereka mendengar bunyi kaca pecah. Tambah lagi, kali ini “perang” antara dua lelaki. Aish. Yasmin mengerut dahi. Risau pula kalau-kalau ada yang terbunuh.


“You nak pergi tengok ke?” tanya Rizal melihat Yasmin menuju ke arah pejabat, muka lelaki itu mula cuak.


“Yalah.” Yasmin siap menyinsing lengan baju. Konon-konon mampu membereskan adik-beradik yang sedang hangat bertekak di dalam. Jangan pandang sebelah mata. Ini pemegang tali pinggang hitam yang pernah melipat budak-budak lelaki di sekolah dahulu. Tidak pernah tewas lagi! Okey, pernah jugaklah sekali… Itu pun di tangan Hashriq, jadi tidak diambil kira pun tidak apa. Hashriq bukan makhluk Bumi. Rizal bangun dari tempat duduknya mengekori Yasmin, air liur ditelan cemas. “Kalau kau takut, tak payah ikut pun tak apa.” nasihat Yasmin ikhlas.


Dahi Rizal berkerut mendengar. Kemudian, seolah membuktikan dirinya lelaki sejati, dia berdehem dan melangkah mendahului Yasmin.


Eleh. Ego tercabar pulak. Yasmin membiarkan saja. Orang lelaki memang begitu. Poyo. Kalau tercampak ditendang Encik Ikmal atau Shahrul nanti, sendiri tanggung.


“Tarik balik!” suara Shahrul menengking dari dalam pejabat. Rizal baru saja menyentuh tombol pintu, dia terlompat sedikit ke belakang. “Tarik balik kata-kata Abang tadi! Kalau tak saya paksa Abang tarik balik!”


Yasmin menjuih bibir. Memang sah satu famili.


Kebiasaan, jika dibandingkan dengan “Tuan Muda Ikmal bin Tan Sri Darius” yang dingin dan selalu menayang muka singa, adik lelakinya Shahrul memang berbeza. Dia murah dengan senyuman, mudah diterima oleh para pekerja dan mesra dengan semua orang. Encik Ikmal tidak pernah mengambil peduli, tetapi Shahrul pula memberikan impresi yang berlainan. Dalam tempoh sebulan dia bekerja di Heavenly Holding, sebagai “anak Pengarah” pun Shahrul tidak lokek menghabiskan masa bersama para pekerja.


Namun kini terbukti, mereka memang adik-beradik, mereka memang satu famili. Angin-ribut yang pernah ditunjukkan Encik Ikmal sama saja dengan angin-ribut Shahrul sekarang.


“Tepi sikit.” Yasmin menapak melepasi Rizal yang masih terkulat-kulat. Pintu pejabat Encik Ikmal diketuk agak kuat tiga kali. Yalah. Tengah-tengah hangin, kalau gempa bumi pun belum tentu mereka perasan. “Bos?”


Suara Encik Ikmal dan Shahrul masih terus berbalas tohmahan, disusuli dengan “bunyi” penumbuk yang cukup mudah dicam oleh telinga Yasmin. Bunyi barang-barang berderetan jatuh ke lantai pula mengikuti. Mata Rizal naik bulat, makin gugup. Yasmin memusing tombol pintu dan bergegas ke dalam.


“You started this.” desis Encik Ikmal berang, tangannya ditekap ke mata kiri. Yasmin tersentak apabila kolar baju Shahrul ditarik kedua-dua tangan Encik Ikmal. Di belakang mereka, Rizal “berdecit” ngeri apabila Penolong Pengarah itu ditendang oleh adik lelakinya sebelum sempat melakukan apa-apa. Yasmin melopong. Pertama kali melihat Shahrul sekasar itu. Encik Ikmal tertunduk menekan perut, dia menyumpah di dalam bahasa Inggeris. “Dah cukup!” tempelaknya makin berang.


“What?” Shahrul mengeji, sinis. “Tarik balik kata-kata Abang tadi sekarang.”


Kedua-dua mereka “bersedia” untuk kembali ke gelanggang.


“Bos! Shahrul!” Yasmin memanggil. Shahrul sudah menapak ke arah Encik Ikmal untuk “memaksa” abangnya lagi. Tetapi kali itu, Encik Ikmal bertindak-balas. Sebuah tumbukan dilepaskan ke muka Shahrul. Sebaik adik lelakinya terundur, dia terus menyerbu. Rizal semakin panik. Yasmin meluru ke arah mereka berdua, namun tidak banyak yang boleh dilakukan. Skirt paras lutut yang dipakainya agak ketat menyukarkan gerak-geri, ditambah pula kasut tumit tinggi yang tersarung. Kalau tidak, dia sudah menghayun kakinya ke kepala Encik Ikmal dan Shahrul. Bergaduh seperti budak tadika. Memalukan. “Dahlah! Dahlah tu!”


Sudah ramai pekerja yang menempel di sekeliling pejabat, Rizal di muka pintu sudah terhimpit. Tidak perlu sebut. Tentu sekejap saja cerita ini tersebar. Penolong Pengarah dan adiknya bergusti. Anak-anak lelaki Tan Sri Darius berkick-boxing.


Dalam “kemeriahan” yang tidak cuba dihentikan oleh para penonton, Encik Ikmal menepis Yasmin ke tepi. Hampir tergolek Yasmin di dalam kasut tumit tinggi yang dipakai. Dia terjerit kecil. Shahrul menumbuk abangnya sekali lagi. Yasmin sempat tertanya-tanya. Macam tidak percaya, jaguh seperti dirinya ditolak dengan mudah! Ego jaguhnya tergugat memikirkan hal itu. Mungkin dia sudah terlalu lama tidak bergaduh. Tak boleh jadi…


“You’re disgusting!” bentak Shahrul. Dia meninggalkan Encik Ikmal yang tersandar di meja, seolah memutuskan sudah cukup aksi gelanggang mereka untuk hari itu. “Abang tolak perempuan. Pengelat.” cemuhnya jelik.


Yasmin terpinga-pinga apabila tangannya ditarik oleh Shahrul. Di tengah mata-mata pekerja lain, terkejar-kejar dia mengekori lelaki itu yang terus mengheretnya keluar dari pejabat.


Sepuluh minit kemudian, mereka berdua duduk “beriadah” di ruang luar Kafe Coke and Sundae. Kafe itu terletak di seberang jalan saja dari bangunan Syarikat Heavenly Holding. Waktu pejabat baru beberapa jam bermula, Yasmin resah. Tetapi Shahrul langsung nampak tidak kisah. Maklumlah, anak Pengarah. Lelaki itu menyedut straw di dalam gelas jus orennya, sibuk menekan keypad telefon bimbit.


Tak pasal-pasal aku kena culik pulak. Yasmin mengeluh kecil. Matanya menjerling sekilas ke bangunan syarikat, kemudian ke arah Shahrul yang masih leka bermain telefon bimbit.


Pelayan wanita yang mencatat pesanan mereka tadi nampak seakan hendak singgah lebih lama di meja mereka, tetapi tidak dipedulikan oleh Shahrul. Bukan pertama kali hal itu terjadi. Selama sebulan mereka kenal, ada saja wanita yang tersipu-sipu melihat Shahrul. Lelaki itu terlalu senang menghadiahkan senyuman. Yasmin tarik muka mengimbas. Kelmarin ketika mereka terserempak dengan Azril pun, pelayan yang mencatat pesanan mereka berlegar di meja mereka lebih lama dari yang diperlukan.


Kini mereka duduk saling menghadap. Yasmin menyedut jus epal dari straw, sambil-sambil tekun menilik muka Shahrul. Angin-ribut dah reda ke belum? Congaknya sendiri. Ada kesan luka di bibir lelaki itu, hadiah penumbuk Encik Ikmal.

“Bukan ke kau jumpa Bos tadi nak tanya pasal projek yang kau tak puas hati tu, yang kau cakap bagi pampasan tak setimpal pada pekerja? Tiba-tiba kau naik angin kenapa?” akhirnya Yasmin membuka bicara. Shahrul menayang skrin telefon bimbit kepadanya. “Apa dia?”


“Tengok.”


Yasmin mengalih mata dari muka Shahrul ke skrin telefon bimbit. Wajahnya terus panas, bagai terbakar. Lidahnya kelu. Gambar Azril dengan seorang wanita berpakaian seksi jelas terpampang.


“Apa benda ni?” soalnya tajam.


“Buah hati kau dengan bakal tunang pilihan famili dia.” tenang Shahrul menjawab. Sudah tiada tanda-tanda angin-ribut. Giliran dia pula menilik muka Yasmin. Makin panas pipi Yasmin dibuatnya. Nampak gaya, lelaki itu perasan tentang “angau” yang disimpannya terhadap Azril. Petang Ahad semalam dia dan Azril keluar bersama. Tidak ada pun Azril menyebut pasal bakal tunang. “Aku bagi tahu kau sebagai kawan.” kata Shahrul cermat.


Darah Yasmin menyirap.


“Ya ke?” soalnya menyindir. “Bukan sebab kau rasa funny tengok perempuan macam aku simpan feelings pada lelaki macam Azril?”


“Maksud kau?” dahi Shahrul berkerut.


“Aku ni tomboi, famili biasa-biasa je. Boleh pulak suka dekat anak orang kaya macam Azril, perasan nak dekat lelaki macam Azril.”


“Bila masa aku kata kau tomboi?” soal Shahrul lambat, matanya masih di muka Yasmin.


“Habis? Tak pasal-pasal kau inform aku pasal benda ni.” merah padam muka Yasmin memikirkan. “Kalau bukan sebab kau rasa aku ni funny, aku ni kesian, kenapa lagi?”


“Sebab kita kawan. Kalau aku jadi Azril, tak, sebagai lelaki, aku akan fikir dulu sebelum bagi tahu kau apa-apa. Kalau aku serius dengan kau, aku akan bagi tahu pasal “bakal” tunang aku tu. Kalau aku cuma nak main-main dengan kau, aku takkan cakap apa-apa.” Shahrul terhenti melihat riak menuduh yang tetap tidak berubah di muka Yasmin. Raut wajahnya bertukar jengkel. “Pada kau, kata-kata aku tak boleh dipakai langsung?” soalnya.


“Kau tak payah sibuk-sibuk, Azril bukan lelaki macam tu.” getus Yasmin.


Angin-ribut yang melanda pejabat Encik Ikmal tadi sudah kembali semula. Shahrul bangun dari kerusi. Yasmin mendongak membalas pandangan lelaki itu.


“Kau memang tak bagi perhatian.” katanya seolah kesal. “Aku tak label pun Azril tu lelaki yang macam mana. Bakal tunang dia tu “pilihan famili” so aku faham, dia mungkin tak ada pilihan. Abang Ikmal dengan Kak Suraya dulu pun kahwin atas aturan Tan Sri Darius, untuk bisnes. Kau dah nampak apa jadi pada diorang sekarang. Sebab tu aku inform kau awal-awal. Of course aku tahu berbanding Azril, kita kenal tak lama, aku tak harap kau sebelahi aku dari dia.” Shahrul mengukir senyuman pahit. “And lastly, aku tak pernah cakap kau tomboi. Pada aku, kau perempuan. Dari first time kita jumpa, aku pandang kau sebagai perempuan, aku suka kau sebagai perempuan. I just don’t want you to get hurt. Tapi of course kau tak pernah perasan.”


Kaku, Yasmin terdiam mendengar pengakuan sehabis jujur itu, terkejut. Tanpa sepatah kata lagi, Shahrul berpaling meninggalkannya di meja kafe.





 xXx





Saban hari bilik tidur itu diselerakkan dengan sengaja. Barang-barang ditarik dan ditolak sampai berterabur. Pasu-pasu bunga diheret jatuh sampai pecah berderai. Kalau diikutkan, meja dan kerusi yang ada pun hendak dicampak dan diterbalikkan. Cuma kudrat yang belum cukup kuat saja menjadi penghalang.


Mata Tan Sri Darius masih dihala tepat ke arah lelaki yang bersandar pada dinding bertentangan. Sudah hampir lima minit, seisi bilik sunyi dan sepi. Lelaki bermata biru itu menyilang kedua-dua tangan, kepala coklatnya diiring sedikit. Tidak ada riak tercabar di wajahnya biarpun ditenung tajam.


“Nak berhenti makan tengahari dulu sebelum sambung tengok saya macam ni?” akhirnya Hashriq bersuara.


“Aku dah cakap dari hari pertama lagi, aku tak nak kau jejak kaki dalam rumah ni. Kau tak faham-faham jugak kenapa?” Tan Sri Darius menggertak. “Kau tetap datang jugak ke rumah ni kenapa?”


“Tan Sri yang panggil saya hari ni.”


“Aku panggil kau untuk pecat kau!” hambur Tan Sri Darius. Amarah dan curiganya kian menebal. “Aku tahu kenapa kau tetap datang balik ke rumah ni. Kau “tolong” pulihkan aku sebab kau nakkan kepercayaan aku, kau nakkan status sebagai--” terasa jelik memikirkan perkataan itu. “--sebagai anak aku.” desisnya tajam.


Mata biru Hashriq tidak berkelip. Dia masih tidak berganjak dari dinding tempatnya bersandar, kedua-dua tangannya masih disilang merenung Tan Sri Darius.


“Saya datang sebab Puan Seri Matilda suruh saya datang.” akhirnya dia menjawab.


“Kau ingat aku bodoh? Kau cuma tunggu masa untuk malukan aku dengan keluarga aku depan semua orang.” Tan Sri Darius menuduh lagi. Mustahil dia akan percaya bulat-bulat dan bodoh-bodoh bahawa Hashriq langsung tidak berdendam kepada dirinya sekeluarga. “Kau berjaya masuk dalam rumah ni sebab si Matilda tu pendek akal panggil kau datang. Setakat ni kau berjaya buat si Shahrul tu berpihak pada kau.”


“Plot cerita dah semakin rumit.” Hashriq mengeluh kecil.


“Sampai bila-bila pun kau takkan dapat apa yang kau nak!” Tan Sri Darius membentak, berang dengan lelaki itu yang tidak terkesan tidak kira apa yang diucapkan kepadanya, tidak kira apa yang dilakukan kepadanya. “Masa kecik kau sampah, sekarang pun kau sampah. Kau cuma anak haram yang aku bawak balik dari England ke sini! Anak seorang pelacur yang lahirkan kau dekat tepi jalan!” Tan Sri Darius diserbu rasa jijik. Entah apa yang Shahrul sibukkan dari dahulu mempertahankan Hashriq. Lelaki itu asalnya tinggal di rumah setinggan yang sarat dengan kaki-kaki botol, kaki-kaki judi, sampah-sarap dan pelacur-pelacur kelas rendah sebelum dibawa ke Malaysia pada usia tujuh tahun olehnya. “Semua yang kau ada sekarang, semua sebab aku. Aku keluarkan kau dari lubang kotor dekat England tu dulu. Mak ayah angkat kau sendiri tak tahu apa-apa, isteri kau sendiri tak tahu apa-apa. Kau ingat mereka masih nakkan kau kalau mereka tahu?” Tan Sri Darius mencabar. Sepanjang herdikannya, Hashriq diam bersandar di dinding, seolah memberi ruang untuk dirinya menghambur semahu-mahu. Sikap lelaki itu yang tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi, tidak pernah melawan kata-katanya, membuat Tan Sri Darius lebih marah, lebih berang, lebih kuat ingin membentak. Andai Shahrul ada bersama mereka, sudah lain pun yang jadi. Anak lelaki bongsunya itu tidak boleh mendengar Hashriq dihina, satu rumah habis diterbalikkan. Hashriq sendiri saja yang tidak pernah bertindak-balas. “Diam, diam, diam. Dari dulu kau macam ni.” tempelak Tan Sri Darius.


Azan untuk solat Zuhur berkumandang dari telefon bimbit Hashriq. Dia menyeluk poket.


“Kita solat dulu, lepas tu Tan Sri makan, lepas tu kita sambung balik.” katanya ringkas.


Nafas Tan Sri Darius ditarik mengawal benci yang masih meluap. Dia membiarkan Hashriq menolak kerusi roda yang didudukinya untuk ke bilik air.


Pintu bilik tidur dikuak dari luar. Isterinya, Puan Seri Matilda berjalan masuk sambil mengangguk kecil kepada Hashriq.


“Tak apa, biar saya buat.” katanya sebelum mengambil alih di belakang kerusi roda.


“Tiba-tiba kau muncul ni, apa kau nak?” soal Tan Sri Darius, tahu benar isterinya cukup jarang menampakkan diri jika tidak menginginkan sesuatu.


“Semua orang boleh dengar suara Abang dari tingkat bawah. Malu.” kata Puan Seri Matilda dengan dahi yang berkerut. Dia menolak kerusi roda Tan Sri Darius ke dalam bilik air. “Dah cukup-cukuplah Abang buat dosa pada budak tu. Kalau bulan lepas, Abang nak angkat tangan pun payah. Hari ni dah boleh jerit-jerit. Semua sebab budak tu. Kalau si doktor dengan si jururawat yang Abang upah dulu tu, semuanya datang bila betul-betul perlu aje. Siapa tahan asyik kena jerit dengan Abang 24 jam? Budak Hashriq tu aje yang datang tak kira masa. Pagi-pagi buta, tengah-tengah malam Abang call, dia datang.”


Mendengar ceramah Puan Seri Matilda yang panjang lebar, mata Tan Sri Darius sudah mencerun memandang isterinya.


“Kau dah sukalah dengan budak tu sekarang?” soalnya. “Dah tak benci pada dia dengan mak dia? Dah tak geli? Kau nak ikut Shahrul si pembela tu jugaklah sekarang?”


Puan Seri Matilda terdiam tidak menjawab, riak mukanya jelas menahan marah. Puas hati Tan Sri Darius melihat. Isterinya tidak bercakap sepatah pun lagi dan sekadar menunggunya selesai mengambil wuduk. Kerusi rodanya kemudian ditolak semula ke dalam bilik tidur.


Ada dua sejadah yang sudah siap terbentang di atas lantai, menghadap kiblat di tepi katil. Mereka sama-sama terkejut. Tan Sri Darius merenung tajam ke muka Hashriq, tetapi lelaki itu tidak memandang.


“Saya pinjam dari Mama saya.” katanya sambil meletakkan sebuah beg kertas berwarna-warni di tikar sejadah. Puan Seri Matilda terpempan. Ada sepasang telekung putih yang terlipat kemas di dalam beg kertas itu. “Puan Seri cakap semalam, dia nak join kita solat.” Hashriq membalas renungan Tan Sri Darius yang tadi tidak diendah. “Ada bantahan?”


Mendengar kata-kata itu, Tan Sri Darius tambah terkejut. Matilda sendiri yang ingin solat bersama? Selama perkahwinan mereka, hal itu tidak pernah sekali pun berlaku. Mereka tidak pernah mengambil peduli. Setahunya, satu-satu ahli keluarga mereka yang menjaga batas-batas agama cuma Shahrul. Dari mana anak lelaki bongsu mereka itu belajar, Tan Sri Darius tidak pernah mengambil tahu. Namun sekarang, mendengar kata-kata Hashriq tentang niat isterinya yang ingin solat bersama, ada satu perasaan aneh yang meresap masuk ke hatinya.


“Habis tu kau tunggu apa lagi? Pergi ambik wuduk.” Tan Sri Darius menyuruh. Puan Seri Matilda yang masih kaku di sebelahnya terus terburu-buru ke bilik air. Dia sempat menangkap senyuman kecil yang diberikan isterinya kepada Hashriq. Tan Sri Darius mengerut dahi. “Kau memang penyibuk.” getusnya. Hashriq cuma menayang muka tidak bersalah. “Aku nak tahu. Sebelum Matilda cari kau bulan lepas, dah berapa lama kau berhubung dengan Shahrul?”


Sejenak Hashriq diam.


“Lama.” jawabnya kemudian.


“Dah bertahun-tahun?”


“Yup.”


“Maksudnya, kau yang ajar Shahrul benda-benda ni semua?”


“Nope.”


“Bukan kau yang ajar dia solat? Mengaji?”


“Nah.”


“Habis tu?”


“Habis.”


“Jangan nak loyar buruk dengan aku.” suara Tan Sri Darius naik beberapa oktaf. “Kau yang ajar Shahrul ke bukan?”


Hashriq nampak terhibur, seolah-olah sedar rasa ingin tahu Tan Sri Darius yang tiba-tiba membuak mengenai Shahrul. Selama ini, memang dia tidak pernah ambil pusing. Tan Sri Darius naik jengkel melihat cara Hashriq memandangnya. Lelaki itu memang penyibuk. Di dalam sebulan “berkhidmat” sebagai doktor peribadinya, Hashriq suka-suka hati membuat perubahan di dalam rumah mereka, di dalam keluarga mereka. Putih yang diminta Tan Sri Darius, hitam yang diberikan Hashriq. Ke hadapan yang disuruh, ke belakang yang dibawa.


“Tan Sri boleh tanya Shahrul sendiri.” kata Hashriq, kemudian dia menonong ke bilik air sebaik Puan Seri Matilda melangkah keluar.




xXx





Perjalanan di dalam kereta Volvo silver itu senyap dan sunyi. Sewaktu kereta meluncur di jalan raya begitu, ketika menunggu lampu merah bertukar hijau pun begitu juga. Sesekali, ada mat motor menyusup di celah kenderaan-kenderaan lain. Langit cerah dengan kepulan awan memutih dan sinar matahari yang tidak begitu terik.


Termasuk kali ini, sudah empat kali Nuraisha ditumpangkan Encik Ikmal dari tadika untuk balik ke rumah. Bukan dia selesa sangat, dia cuma mengalah apabila Aileen beriya-iya mengajak setiap kali Encik Ikmal datang awal menjemputnya pulang. Kebiasaan, Aileen menjadi kanak-kanak terakhir yang dijemput selepas berjam-jam menanti. Sejak bulan lepas barulah dia balik tepat pada masa, itu pun kerana Shahrul yang menjemput.


Kini duduk di dalam kereta Encik Ikmal, terasa seperti di tapak perkuburan. Walaupun bos kepada Yasmin itu memang tidak banyak bercakap dan tambah lagi tidak banyak tersenyum, seingat Nuraisha kali-kali yang lepas tidak sebegini “suram” keadaannya. Hari ini Encik Ikmal memakai kaca mata gelap. Ada sedikit kesan lebam di mukanya.


Tiba-tiba Aileen menjenguk dari tempat duduk belakang.


“Papa, Papa bergaduh dengan Uncle Shahrul lagi ke?” suara kecilnya agak nyaring bertanya.


Dalam senyap, Nuraisha menggigit bibir. Memang mudah menjadi kanak-kanak. Tidak perlu berfikir banyak andai hendak bertanya. Jika ingin tahu, semua disoal saja tanpa rasa bersalah, tanpa rasa janggal. Dari A sampai Z, dari 0 sampai infiniti.


Encik Ikmal tidak menjawab. Senyap dan sunyi terus menyelubung isi kereta. Naik kekok.


“Mm, Aileen, cuba tunjuk pada Cikgu buku latihan Aileen tadi. Kan sebelum balik Aileen ada nak tanya sesuatu?” Nuraisha terjun menyelamatkan keadaan. Tidak pasal-pasal berbincang kerja rumah budak tadika di dalam kereta. Mujur, Aileen akur dan membuka zip beg sekolah warna pink kepunyaannya. “Aileen nak tanya yang mana tadi?”


Lama-kelamaan, mereka berdua khusyuk membincangkan nama-nama haiwan di dalam bahasa Inggeris; reptilia, mamalia, yang bertulang belakang, yang tidak bertulang belakang… Sepanjang tempoh mereka berdiskusi, Encik Ikmal tetap diam di stereng kereta, memandu dan merenung ke jalan raya tanpa menoleh sekilas pun ke arah mereka. Entah apa yang bermain di fikiran lelaki itu. Sesekali Nuraisha mencuri pandang ke sebelah, tertanya-tanya.


Seingat Nuraisha, Yasmin pernah memberi komen. Kata sepupunya itu, kedua-dua Encik Ikmal dan Shahrul masing-masing memiliki satu lesung pipit; Encik Ikmal di pipi belah kanan, Shahrul di pipi belah kiri. Kata Yasmin lagi, disebabkan itu dia pernah terfikir bahawa kedua-dua lelaki itu ada sedikit iras dengan Hashriq. Apa yang berlainan, Hashriq memiliki sepasang. Yasmin siap tambah membuat spekulasi, mungkin sebab-musabab Shahrul begitu rajin mengekori Hashriq adalah kerana mereka “saudara jauh” yang mempunyai pertalian darah. Mana tidak, bisik Yasmin, Tan Sri Darius juga memiliki sepasang lesung pipit seperti Hashriq.


Ketika mendengar “analisis terperinci” itu, Nuraisha hampir-hampir percaya. Kemudian Yasmin ketawa dan menepuk bahunya seolah dirinya telah berjaya dipermainkan. Kata gadis itu, dia sekadar pandai-pandai mencipta kaitan, tidak mungkin hal itu benar. Malah kata Yasmin, mungkin Shahrul dalam diam adalah homoseksual, sebab itu dia selalu mengikut Hashriq, itu saja. Namun kalau ditanya Nuraisha… Padanya Shahrul lelaki sejati. Dia mungkin ada menyimpan perasaan terhadap Yasmin. Cuma Yasmin saja yang tidak perasan.


“Papa, tengok!” Aileen mengangkat buku latihannya kepada Encik Ikmal. Tanpa mengalihkan perhatian dari jalan raya, lelaki itu menurunkan buku latihan tersebut ke bawah. “Papa--”


“--tengah drive.” dingin suara Encik Ikmal.


Kedua-dua bahu Aileen terus jatuh tidak bersemangat, kepalanya yang bertocang dua ditunduk ke bawah.


“Bahaya buat macam tu, Aileen.” Nuraisha memujuk. “Nanti sampai rumah, Papa tengok.” usulnya sambil menjeling Encik Ikmal. Ada riak terkejut di wajah lelaki itu, sedar dirinya dimarahi. “Kan?” Nuraisha menggesa lebih tegas.


“Yalah.” sahut lelaki itu senada.


Nuraisha terimbas kata-kata Hashriq pada malam kelmarin.


“Bukan ke lagi bagus aku tak ambik? Kau boleh naik kereta Abang Ikmal kau.”


“Kesian Abang Ikmal kau.”


Dahi Nuraisha berkerut. Hubungannya dengan Encik Ikmal bukan baik sangat, mereka sekadar berinteraksi sebagai guru dan bapa saja. Entah dari mana Hashriq mendapat idea. Apabila difikirkan, lelaki itu seperti ada niat memasangkan Encik Ikmal dengan dirinya pula. Sedangkan Encik Ikmal sudah mempunyai isteri dan anak. Tidak masuk akal langsung. Entah apa yang difikirkan Hashriq.


Lamunan Nuraisha terhenti apabila menyedari Encik Ikmal sedang memerhatikan dirinya.


“Ya?” soalnya cermat, melirik sekilas ke arah Aileen di tempat duduk belakang. Anak muridnya sedang tekun mewarna gambar zirafah.


“Dua minggu lagi, Sabtu malam, ada sambutan majlis ulangtahun perkahwinan ibu dengan ayah saya.” kata Encik Ikmal. Nuraisha menunggu lagi, naik hairan. “Yasmin akan datang, staf Heavenly Holding dijemput hadir. Cikgu pun.”


“Oh.” hanya itu yang terpacul dari mulut Nuraisha. Terkejut. Dirinya pun dijemput hadir? “S-saya tak pernah pergi… Majlis macam tu.”


Tanpa dijangka, sebuah senyuman terukir di wajah Encik Ikmal.


“Majlis macam mana?” soalnya.

“Majlis yang ada… Orang-orang kaya.”


“Bukan ke suami awak anak Tengku?”


“Keluarga kami suka buat majlis kecil-kecil je, ajak saudara-mara dekat je.” Nuraisha mengukir senyum. Memang dia lebih selesa begitu. “Tengku Nizam dengan Tengku Maisarah sambut apa pun sedang-sedang je, ikut keperluan.” malahan, Hashriq sendiri tidak pernah melebih-lebih dalam hidup seharian. Kereta Gen-2 silver yang dipakai lelaki itu sekarang, dibeli menggunakan duit sendiri. Rumah mereka berdua pun dibeli menggunakan duit sendiri. Sedangkan Tengku Nizam asalnya hendak menghadiahkan sebuah rumah besar, tetapi Hashriq menolak. Tengku Maisarah sendiri pernah bersungut kepada Nuraisha, anak lelakinya itu “terlalu degil” hendak menerima pemberian mereka. Nuraisha menoleh ke arah Encik Ikmal. “Maksudnya keadaan Tan Sri Darius dah baik?” soalnya. “Shahrul tak banyak sebut, tapi saya ada dengar jugak pasal accident tiga bulan lepas.”


“Jadi Shahrul selalulah menyibuk dekat rumah Cikgu?”


“Tak menyibuk pun.” Nuraisha ketawa kecil. “Saya suka dia.” awal bulan lepas ketika mereka mula-mula kenal, agak aneh apabila Shahrul automatik memanggil dirinya kakak kerana lelaki itu memanggil Hashriq abang, tetapi lama-kelamaan Nuraisha selesa dipanggil begitu, biarpun dia tahu Shahrul tua setahun daripadanya.


“Apa yang Shahrul buat kalau dia datang rumah Cikgu?” tanya Encik Ikmal.


“Tak ada yang special. Duduk-duduk, bercakap, main game. Kadang-kadang dia kena buli.” Nuraisha ketawa lagi. “Hashriq pernah suruh dia vacuum satu rumah.” kemudian cepat-cepat Nuraisha menambah, “Tapi saya suruh Shahrul berhenti.” nanti tidak pasal-pasal Encik Ikmal mendakwa keluarga mereka di atas jenayah membuli adik lelakinya yang bukan calang-calang orang, anak Tan Sri.


“Dalam famili kami, Shahrul “pemberontak” yang paling payah nak dilayan.” bersahaja Encik Ikmal memberitahu. Nuraisha memasang telinga. Emak dan ayahnya cuma memiliki dua orang anak perempuan. Kakaknya Nurlisa, dan dirinya sendiri. Kakaknya suka-suka melabel dirinya yang baik lagi comel, sebagai “pemberontak” dalam keluarga mereka. “Shahrul lain dari yang lain, dalam famili kami. Kalau dia tahu dia takkan menang pun, dia takkan tunduk, dia tetap takkan berundur.” mendatar suara Encik Ikmal memberi komen. “Sesetengah orang mungkin kata sikap dia tu berani, tapi pada saya, dia cuma naif, mungkin jugak bodoh.”


Nuraisha menilik muka Encik Ikmal dalam-dalam. Pagi tadi ketika dia mendengar suara Tan Sri Darius di dalam telefon, ada satu firasat yang terdetik di hatinya. Entah kenapa dia terfikir, sesiapa yang membesar di bawah pengaruh lelaki seperti Tan Sri Darius mungkin tidak mempunyai zaman kanak-kanak yang sama seperti kebanyakan kanak-kanak lain. Mungkin agak menakutkan.


“Kat rumah, Uncle Shahrul selalu gaduh-gaduh dengan Atuk, dengan Papa.” Aileen pula menambah dengan muka kiut-miut dan tidak bersalah. “Dulu Atuk pernah pukul Uncle Shahrul dengan kayu golf. Dia kena jahit dekat kepala.”


Nuraisha termangu, terkejut dengan berita peribadi yang dibongkar kanak-kanak itu. Dia tidak tahu apa yang patut dibalas. Encik Ikmal pula berlagak seperti tidak mendengar apa-apa.


“Saya kena pakai formal ke dekat majlis ulangtahun tu nanti?” Nuraisha mengubah topik, walhal dia belum pasti sama ada dia patut pergi atau tidak.


“Pakai gaun cantik!” Aileen menyampuk lagi. Nuraisha tersenyum apabila anak muridnya melonjak-lonjak di atas kusyen. “Cikgu pakai gaun yang laaaaabuh, yang berkilat-kilat, yang kembang!”


Aish.


“Nanti kalah atuk dengan nenek Aileen, padahal diorang yang disambutnya.” komen Nuraisha, lucu.


Encik Ikmal sendiri mula nampak terhibur, dia melirik sekilas ke arah anak perempuannya.


“Lepas tu Cikgu menari dengan Putera!” sambung Aileen kian bersemangat. Hmmm. Siapa si Putera agaknya? “Putera Hashriq!”


Air muka Encik Ikmal terus berubah mendengar. Nuraisha nyaris tergigit lidah sendiri. Dia tahu, Aileen memang menyanjung dan memuja Hashriq. Murid-murid dan guru-guru lain di Tadika Gemilang pun semua kenal dengan Hashriq. Setiap kali ada aktiviti hujung minggu di tadika, andai tidak mempunyai urusan di hospital, Hashriq wajib menjemput diri sendiri hadir. Lelaki itu mungkin tidak mesra alam dengan orang lain, tetapi berbeza dengan budak-budak. Sesiapa yang melihat akan sedar, dia suka budak-budak. Budak-budak pun suka dengan dia. Cuma tidak sangka pula Aileen boleh melaung nama “Putera Hashriq” sebegitu selamba. Tidak padan langsung pun. Dia bukan putera. Dia samseng. Tanya saja bekas budak-budak Sekolah Menengah Amethyst, tidak pun guru disiplin yang sah-sah jemu melihat muka penyangak itu.


“Uncle Hashriq busy, dia tak boleh datang kot.” kata Nuraisha bagi membaiki keadaan. Dia perasan, walaupun Shahrul gemar mengekori Hashriq, lain cerita dengan Encik Ikmal. Ketika dua orang lelaki itu bertembung di tadika dahulu, bagai ada “aura gelap” yang menyelubungi mereka. Orang buta, pekak dan bodoh pun mungkin dapat mengesan, hubungan Hashriq dan Encik Ikmal tidak sebaik hubungan Hashriq dengan Shahrul, bahkan hubungan Shahrul sendiri lebih baik dengan Hashriq daripada hubungan Shahrul dengan Encik Ikmal. Fenomena itu membuat orang curiga, namun ia kisah yang benar-benar terjadi. Aileen sudah mempamer muka kecewa. “Alah tak apa, Uncle Shahrul kan ada nanti?” usul Nuraisha.


Kanak-kanak itu tidak terpujuk.


“Tapi, Aileen nak menari dengan Uncle Hashriq.” katanya sugul.


Nuraisha mencongak. Bila masa pula suaminya tahu menari?


“Uncle Hashriq mana pandai menari.”


“Dia pandai!” Aileen menarik senyum lebar. “Dia pandai main piano jugak.”


“Mana pulak. Gitar pun Uncle Hashriq tak pernah sentuh.” getus Nuraisha, membetulkan fakta. Sudah lapan tahun mereka kenal. Hashriq hebat bergaduh dan memang kaki pukul di sekolah dahulu, dia tahu. Hashriq pandai berenang, dia tahu. Hashriq tidak reti memasak, itu pun dia tahu juga. Jadi kalau Hashriq boleh menari dan bermain alat muzik, tentu sudah lama dia tahu. Aileen masih menggeleng dengan bersungguh-sungguh, tocang dua di kepalanya melibas-libas. “Ya ke?” Nuraisha musykil. “Ha. Aileen silap “Hashriq” ni, ni mesti boyfriend Aileen yang nama “Hashriq” jugak kan? Kantoi.”


Seronok benar anak muridnya ketawa.


“Bukanlah!” laungnya bersemangat.


“Kadang-kadang,” Encik Ikmal menyampuk tanpa diduga. “Dah kenal orang tu bertahun-tahun pun, belum tentu tahu semua pasal orang tu.”


Eh? Nuraisha mengelip mata. Bercakap dengan aku ke?


“Encik Ikmal kongsi falsafah dengan saya?” tegur Nuraisha, sengaja mengusik untuk meredakan suasana tegang selepas kes “Putera Hashriq” sebentar tadi. “Mesti banyak kerja dekat pejabat hari ni.”


Encik Ikmal sekadar membalas dengan senyum yang hampir tidak kelihatan. Senyuman dia memang mahal. Nuraisha bermonolog sendiri. At least kira senyum jugaklah tu.


“So, Cikgu confirm datang?” tanya lelaki itu.


“Mm,” Nuraisha berkira-kira. Entah Hashriq dijemput atau tidak. Dia melirik ke arah Aileen yang sudah kembali mewarna di dalam buku latihan. Kalau tanya Shahrul, tentu Shahrul tidak berfikir langsung pun, Hashriq sudah pasti dijemput sekali. Encik Ikmal tidak tahulah. “Suami saya pun boleh datang ke?” tanya Nuraisha. Dia diajak datang oleh Encik Ikmal, jadi lebih baik dia bertanya kepada Encik Ikmal. “Itu pun kalau Hashriq free.” tambahnya pantas.


“Ikut dialah.” ringkas saja Encik Ikmal menjawab.


Nuraisha kemamkan bibir. Nampak benar lelaki itu tidak menyenangi Hashriq. Entah apa sebab. Tetapi sekurang-kurangnya, dia sudah bertanya.




 xXx





Kucing Parsi berbulu oren mereka, Bartleby, sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Kucing itu dijumpai cedera di tepi pagar tiga bulan yang lepas, dibawa masuk, dirawat dan terus dijaga sehingga sekarang. Adakala Bartleby “menghilangkan diri” selama beberapa hari begini juga. Puas bermain, baru dia balik. Kadang-kadang membawa pulang kutu, tidak pun calar-balar yang “misteri” entah dapat dari mana.


Mereka baru selesai solat Isyak di ruang tamu. Bartleby tiba-tiba menonong melepasi tikar sejadah mereka. Sebaik menyalam dan mencium tangan suaminya, Nuraisha bangun melipat telekung. Bartleby sudah mengiau meminta makan.


Hashriq menjentik sedikit telinga kucing Parsi oren itu apabila Bartleby menggesel di kakinya, kemudian seolah membalas dendam, betis Hashriq dicekau dan digigit-gigit.


“Aduh. Apa ni?”


“Padan muka.” getus Nuraisha. Dia mendukung Bartleby yang cuba menjadikan suaminya lauk segera dan membawa kucing itu ke dapur. “Kita rebus ikan okey? Tunggu kejap ya…”


“Biar aku mandikan dia lepas ni.” suara Hashriq kedengaran dari belakang. “Guna mesin basuh.” tambahnya sadis. Bartleby mengiau nyaring. “Letak clorox. Pusing laju-laju.” nada Hashriq kedengaran lebih kejam.

“Auch! Awak diamlah, dia cakar saya!” gertak Nuraisha. Suaminya ketawa. “Jangan dengar cakap alien tu Bart.” pujuknya kepada Bartleby, telinga kucing itu digaru-garu.


Sebaik diletakkan ke lantai, Bartleby melompat ke atas kerusi di meja dapur. Nuraisha mengeluarkan periuk kecil dan membuka peti sejuk, mendapatkan dua ekor ikan kembung.


“Isha, phone kau mana?”


“Nak buat apa?” Nuraisha diserbu rasa curiga. Dijerlingnya Hashriq yang sedang bersila di atas lantai di tepi sofa. “Jangan harap saya nak bagi awak call Farah dengan phone saya.”


“Aku nak call Shahrul.”


“Phone awak mana?”


“Dalam bilik.”


“Habis tu?”


“Dia tak jawab aku call.” kata Hashriq senada.


“Dia busy kot.”


“Isha, sebelum aku rebus kau dengan ikan-ikan tu sekali, better kau bagi je phone kau sekarang.”


Nuraisha menjuih bibir. Ada hati nak rebus orang. Masak air pun tak reti!


“Dalam bilik, kat dalam laci.” getusnya.


Hashriq bangun mendapatkan telefon bimbit yang diidam-idam itu. Kemudian dia kembali semula ke ruang tamu dan baring selesa di sofa, tidak syak mendail nombor telefon Shahrul. Sambil-sambil menunggu ikan Bartleby, Nuraisha memasang telinga. Selepas beberapa saat, suara suaminya kedengaran ala-ala penculik budak mengugut emak dan ayah budak,


“Berani kau tak angkat bila aku call?”


Tidak perlu dibayang. Selepas ini, Shahrul tentu direbus dengan segala macam perencah.


“Kau kenapa?” tanya Hashriq lagi. Nuraisha merenung ke dalam periuk, dalam masa yang sama tekun mencuri dengar. “Kau kat mana?” diam. “Pergi balik rumah.” Hashriq menyuruh. Diam lagi. “Jangan nak merapu. Kalau tak nak balik rumah, datang sini. Kau dah makan ke belum?” naik cemburu Nuraisha mendengar. Ini bercakap dengan Shahrul ke, dengan Farah? Baik sungguh hubungan mereka berdua ya? Patut pun Shahrul setia di pihak Hashriq. “Datang sini.” kata Hashriq lagi. “Jangan banyak cakap. Aku bagi sepuluh minit untuk kau sampai.”


Tanpa menunggu jawapan dari Shahrul, telefon bimbit ditutup.


“Kenapa dengan Shahrul?” tanya Nuraisha.


Belum sempat Hashriq menjawab, telefon bimbit di tangannya berbunyi dengan suara Misha Omar yang melagukan “Bunga-Bunga Cinta” penuh syahdu dan gemersik.


“Assalamualaikum.” tanpa membelek skrin untuk melihat identiti si pemanggil, Hashriq menjawab bagi pihak Nuraisha. Keningnya diangkat. Kemudian dia menghulur telefon bimbit itu ke arah Nuraisha. “Anak perempuan Haji Mokhtar.” katanya.


Nuraisha mengatur langkah ke ruang tamu. Bartleby terjun dari kerusi dan melingkar-lingkar di kakinya, tidak sabar menunggu ikan yang dijanjikan. Hashriq bangun dari sofa dan menangkap kucing Parsi oren itu.


“Hello? Min?”


“Isha…!” Yasmin melaung dengan esak-tangis yang dramatik di hujung talian. “Kau tahu tak apa jadi pagi tadi? Kau mesti tak tahu…!”


Pulak.


“Apa jadi?” Nuraisha kembali semula ke dapur.


“Kejap lagi aku sampai, nanti aku cerita. Makhluk tanduk dua tu pun ada kat rumah ke?” Yasmin seolah menuduh. “Kenapa kebelakangan ni asyik nampak muka dia aje? Kalau dulu, sibuk memanjang kat hospital.”


Sebaik Yasmin mengungkit, barulah Nuraisha mula terfikir. Memang betul pun. Dahulu, Hashriq jauh lebih sibuk dari sekarang. Nama pun doktor. Namun kebelakangan ini dia lebih kerap berada di rumah. Kalau ya pun free, bukankah masa yang ada itu patut dihabiskan bersama Farah?


“Ha’ah, dia ada.”


“Welcome to the black parade, Min-Min.” suara Hashriq menyampuk, seolah tahu-tahu dirinya sedang diperkatakan.


“Jangan panggil aku Min-Min!” hampir pekak telinga Nuraisha dek jeritan Yasmin. “Suruh alien tu pergi mana-manalah Isha!” tuntut sepupunya.


“Tak apa. Kita duduk dalam bilik nanti.” Nuraisha memujuk.


Alih-alih, dua ekor ikan siap direbus dan dihidang kepada Bartleby. Nuraisha masih juga mendengar celoteh Yasmin tentang stres kerja di pejabat, kaki-kaki gosip yang menjadikan dirinya sebagai target, serta maklumat terbaru mengenai Azril yang disampaikan, tidak lain tidak bukan, oleh Shahrul. Kemudian ditambah pula dengan pertengkaran yang tercetus antara mereka berdua pagi tadi, disusuli dengan “pemergian” Shahrul yang meninggalkannya sendiri di Kafe Coke and Sundae. Kini Yasmin serba-salah, sedih, dan benar-benar terkejut. Sepanjang celoteh gadis itu, Nuraisha mendengar saja. Sejak awal-awal mereka kenal lagi dia sudah mengagak, ada yang “lain macam” dari cara Shahrul memandang Yasmin. Mungkin sesiapa yang melihat pun boleh perasan Shahrul ada hati terhadap Yasmin. Sepupunya saja yang tidak sedar.


“Okeylah,” Yasmin menghela nafas. Sudah hampir lima belas minit dia meluahkan perasaan tanpa henti. “Dah nak sampai dah ni. Sambung kejap lagi.”


“Okey, hati-hati drive.” pesan Nuraisha. Dia menutup telefon bimbit. Dilihatnya Hashriq sedang merenung dari sofa. Bartleby yang sudah kenyang kini melingkar di atas dada lelaki itu. “Apa?” Nuraisha mengerut dahi.


“Dia atur kau dinner dengan mamat mana pulak kali ni?” soal suaminya.


“Yasmin bukan cakap pasal saya.” Nuraisha menembak satu jelingan. “Dia sedih pasal Shahrul. Dia tak tahu Shahrul suka dia.” Nuraisha mengeluh. Tragis sungguh kisah mereka, cinta tiga segi. Tetapi Hashriq cuma merengus. “Awak ni tak ada feelings.” Nuraisha menuduh.


“Sedihnya aku Isha… Tisu sekotak mai.” suaminya bersketsa.


Ketika itu, cahaya kenderaan menyuluh ke pagar rumah mereka. Kereta sport merah milik Shahrul diparkir di lorong itu. Nuraisha tersentak. Dia lupa memberitahu Yasmin!


“Alamak.” getusnya. “Saya lupa cakap dekat Yasmin yang Shahrul pun nak datang.”


Tetapi nampak gaya, Hashriq tidak berkongsi kebimbangan yang sama. Nuraisha naik musykil. Sebuah senyuman yang penuh konspirasi mula terukir di wajah suaminya.




xXx





Kalau diikutkan, memang dia tidak menyentuh apa-apa selain omelette di rumah ketika sarapan pagi dan jus oren di Kafe Coke and Sundae bersama Yasmin saja sehinggalah ke saat ini, jam sembilan lima minit malam. Namun Shahrul langsung tidak lapar. Tambah pula apabila ditenung mata biru Hashriq yang seolah sudah bersedia menelannya hidup-hidup. Abangnya cuma berseluar track hitam dan bert-shirt putih dengan logo “I LOVE LANGKAWI” saja, tetapi dia nampak seperti bintang Hollywood. Tidak pun, samseng Hollywood yang ada rupa.


“Makanlah Shahrul.” kakak iparnya mempelawa sambil tersenyum ramah. Pinggan sudah diisi dengan nasi, lauk-pauk sudah terhidang. Dia pun sudah siap ditolak ke meja makan di dapur. Sambil mengeluh kecil, Shahrul mengangkat sudu. “Nanti kejap.” pintas Nuraisha sebelum dia sempat menyuakan sudu ke mulut. “Bibir awak luka, sakit ke kalau nak makan?”


“Dia lelaki. Biarkan.” mudah Hashriq memintas kebimbangan isterinya.


“Saya ambik ubat.” getus Nuraisha.


Shahrul tersenyum melihat kakak iparnya menjeling abangnya sebelum dia bangun meninggalkan mereka di meja dapur. Sebaik Nuraisha beredar, Shahrul kembali menilik pinggan. Sedar sangat mukanya sedang ditembak renungan Hashriq.


“Saya tak lapar.” sungutnya. “Serius saya tak lapar.”


“Sebelum aku suap kau, baik kau habiskan semua tu.”


Tanpa memprotes lagi, Shahrul menyua sudu ke mulut. Tiba-tiba suara yang cukup dikenali mereka melaung penuh bersemangat dari belakang.


“Aku dah sampai…!” pintu gril ditarik. Shahrul hampir tersedak. “Isha--” Yasmin terdiam. Shahrul duduk membelakangi pintu, namun tidak syak lagi gadis itu sudah perasan akan kehadirannya di dalam rumah. “--oh.” gumam Yasmin perlahan, janggal.


“Kau pun nak makan jugak?” tanya Hashriq lebih mesra daripada biasa.


“Tak nak.” nada Yasmin kedengaran curiga.


Shahrul tidak berpaling. Dia senyap membatu, sekadar terus mengunyah dan menyumbat nasi, sotong goreng dan sayur campur ke dalam mulut. Ayam masak merah di dalam pinggan ditikam-tikam, kemudian dicucuk dengan garfu dan digigit sebaik teringat dirinya masih lagi ditenung oleh Hashriq. Kini dia beriya-iya makan, barulah perutnya terasa lapar. Dia memang patut makan pun. Shahrul terus memenuhkan perut tanpa mengendahkan Yasmin.


“Dah sampai Min?” suara kakak iparnya kedengaran ceria. “Kejap, tunggu Shahrul habis makan. Aku nak letak ubat.”


“Kau pergi layan Yasmin. Biar aku ubatkan Shahrul.” mata biru Hashriq dikecilkan merenung Shahrul. “Kalau kau tak kisahlah.” tambahnya mendatar.


“Saya boleh letak sendiri.” gumam Shahrul. Seram.


“Awak ni menakutkan, Hashriq.” tuduh Nuraisha kepada suaminya. Dalam hati, Shahrul bersetuju. “Biar saya letak. Kau tunggu kejap ek Min.”


“Erm, yalah…” selepas beberapa saat, gadis itu menambah agak kekok, “Apa kata biar aku letakkan?”


Senyap. Sunyi. Cicak berdecap-decap di siling.


“Tak payah.” balas Shahrul. Ramai pula yang menjadi volunteer. Bukan cedera parah pun, setakat bibir pecah saja. Dia pernah kena lebih teruk daripada itu. “Saya letak sendiri je Kak Isha.” katanya sambil mengukir senyum kepada Nuraisha. “Akak pergilah borak-borak.”


“Okeylah.” Nuraisha meletakkan ubat yang dibawa ke atas meja dapur. Dia sempat menjeling kepada Hashriq. “Jangan buli Shahrul.” pesannya memberi amaran.


Hashriq mendengus, sedikit pun tidak tergugat dengan amaran yang diberikan isterinya. Shahrul ketawa kecil. Suara Nuraisha kedengaran lagi di belakang, mengajak Yasmin berborak di bilik tidur. Shahrul tetap tidak memandang, namun dia hampir dapat merasa belakang kepalanya yang mungkin boleh tembus ditenung mata Yasmin.


Dalam kes mereka, dia mengundur diri tidak bermaksud dia mengalah sebelum berperang. Dia bukan lelaki yang mudah berputus asa. Di dalam kamus hidupnya tidak wujud sentimen “berputus asa” pun. Cuma, dia sudah tahu lelaki macam mana yang menjadi idaman Yasmin. Lelaki itu pula sekarang sudah ada betul-betul di depan mata Yasmin dan nampak sama berminat untuk menghabiskan masa dengan gadis itu. Azril. Jadi pada Shahrul, tidak ada pihak yang patut kacau daun. Sebab itu petang kelmarin dia membawa Aileen balik dahulu ketika mereka melepak di Kafe Coke and Sundae dan bertembung dengan Azril. Dia sengaja memberi mereka peluang. Malah dia tahu, Yasmin memang gembira.


“Nasi belum habis, kau dah mengeluh tiga kali.” suara abangnya menjengah ke telinga. Shahrul mencapai gelas di tepi pinggan. Teh ais diteguk. Owh… Bibirnya yang luka terasa pedih. “Kenapa lagi kau gaduh dengan Ikmal?” tanya Hashriq.


“Mana Abang tahu saya gaduh dengan dia?”


“Aku tak rasa Tan Sri Darius boleh capai muka kau dari atas kerusi roda.”


“Ikmal was being a monkey.” getus Shahrul. “Dia dengan Tan Sri Darius tak ada kerja lain kecuali menyibuk pasal hal Abang.”


“Habis kau tak ada kerja lain kecuali jadi “Hang Shahrul” untuk aku?”


“Sebab Abang tak pernah balas balik!”


“Perlahankan suara.”


“Saya akan gaduh dengan diorang sampai diorang mengaku Abang sebagai satu famili.”


“Stop being so stubborn.” Hashriq menolak sedikit muka kucing Parsi berbulu oren yang sudah memanjat naik ke atas meja dan sedang mengintai ayam masak merah di dalam pinggan Shahrul. “Dah berapa tahun kau tak panggil Tan Sri Darius elok-elok?”


Shahrul buat muka.


“What do you mean?”


“Dah berapa tahun kau panggil dia Tan Sri?”


“Entah. Saya tak kira.” jangan harap dia akan memanggil lelaki tua yang degil itu sebagai bapa semula, kecuali lelaki tua yang degil itu mengaku Hashriq sebagai anak kandungnya di depan semua orang. “Abang tak payah bazir air liur. Saya akan ikut semua cakap Abang, apa yang Abang suruh semua saya akan buat. Kecuali kalau ada kaitan dengan Tan Sri Darius.”


Agak lama, Hashriq senyap. Shahrul ikut diam. Mereka berdua “bermain mata” saling merenung di meja dapur. Kucing Parsi berbulu oren tadi cepat-cepat mengambil peluang, menyambar ayam masak merah yang berbaki di dalam pinggan Shahrul, kemudian melompat turun dari meja untuk menikmati tangkapan tersebut.


“Tak ada guna kau degil pasal benda ni.” Hashriq bersuara semula, tenang.


“Abang degil, saya degil, Tan Sri Darius degil, Abang Ikmal degil.” jawab Shahrul. “Keturunan kita ada darjah kedegilan yang tak normal, don’t worry about it. It’s genetic.”


Ada sinar bahaya di mata biru Hashriq. Walaupun air muka abangnya masih tidak berubah, berdasarkan pengalaman, Shahrul tahu lelaki itu sudah mula meradang.


“Kau masih nak teruskan?” tanya Hashriq, menahan sabar.


“Saya ada rancangan. Abang tak payah cakap apa-apa lagi.”


“No. Aku kena cakap.” Hashriq tunduk ke depan meja. Kolar kemeja Shahrul ditarik dan digenggam kemas. “Cuma kau yang boleh mula baiki keluarga kau. Cuma kau yang peduli untuk mulakan. Stop being so damn stubborn and listen to me. Kau panggil Tan Sri Darius “papa” balik macam dulu. Jangan kurang ajar dengan mak ayah kau lagi. Jangan asyik nak bergaduh dengan Ikmal. Aku tahu kau kecewa, kau marah, but think, dalam sebelas tahun kau memberontak tak tentu hala, apa yang berubah? Nothing. Aku tahu apa kau nak. Kau nak keluarga kau sedar, tapi kau kena sedar jugak.” Hashriq menolak bahu Shahrul seolah untuk disedarkan. “Aku akan tolong kau, tapi cuma kau yang boleh mulakan. Give them a chance.”


Tekak Shahrul perit mendengar ucapan panjang lebar Hashriq. Walaupun lelaki itu bertanya tadi, rupa-rupanya dia memang tahu sudah “berapa tahun” Shahrul berhenti memanggil Tan Sri Darius dengan panggilan bapa. Sebelas tahun. Sejak tingkatan satu, hingga ke hari ini.


“Dia bukannya peduli saya panggil dia “papa” ke “pak cik” ke “atuk” ke.” kata-kata Shahrul seakan tersekat di kerongkong menahan emosi.


Seperti selalu, Hashriq faham apa yang bermain di fikiran dan di hatinya. Memang dia kecewa, memang dia marah. Ahli keluarganya sudah bergelumang dengan dosa sejak dia mampu mengingat lagi. Benar seperti yang dicemuh Ikmal dan benar seperti yang dikeji Tan Sri Darius. Dia berbeza dari ahli keluarga mereka yang lain. Dia tidak sanggup pura-pura tidak peduli apabila menyaksikan “maksiat” yang dibuat mereka. Dia pernah melihat ibunya sendiri membawa lelaki lain balik. Ketika itu dia hanya berusia sembilan tahun. Sebagai kanak-kanak, bukan sekali-dua dia dan Ikmal melihat bapa mereka mabuk. Bayangkan. Mereka memang hidup mewah, tetapi mereka rosak. Mereka tidak mempunyai sesiapa untuk dijadikan rujukan yang baik. Membesar dalam keadaan seperti itu, Shahrul tidak pelik sangat pun abang sulungnya Ikmal menjadi dewasa tidak ubah seperti bapa mereka. Dingin dan sama rosak. Tidak ada orang gaji yang berani memberi tunjuk ajar kepada mereka, yang berani menegur. Sekarang melihat Aileen, Shahrul tahu apa yang patut dilakukan. Kalau sampai dia terpaksa keluar meninggalkan rumah selepas ini, dia akan membawa anak saudaranya sekali. Mustahil dia akan membiarkan Aileen membesar dalam keadaan yang sama.


“Dah-dahlah. Nanti Isha cakap aku buli kau.” kata Hashriq. Shahrul ketawa kecil dan mengesat air mata geram yang mula tumpah di pipi. Dipandang Hashriq lama-lama. Entah skru mana yang tertanggal di dalam kepala Tan Sri Darius dan Ikmal. Mereka prejudis. Tidak pernah mereka sedar bahawa pihak yang membuat salah dan pihak yang menyakiti, bukan Hashriq tetapi mereka. “Kau pandang aku macam tu kenapa?”


Shahrul tersenyum.


“Saya adik awak.” katanya, melafazkan skrip yang diucap ketika mereka mula-mula “berkenalan” dahulu. “Tak kira apa, sampai bila-bila, saya adik awak.” katanya bangga.


Hashriq merengus.


“Sentimental.” komennya. “Bercakap pasal sentimental…” tiba-tiba abangnya nampak lebih berminat. Shahrul jadi ragu. “Kau dengan Yasmin dengan anak Datuk Razlan tu apa khabar?”


“Eh?”


“Lepas eh?”


“Ahem.” Shahrul berdehem kecil. Boleh sampai ke topik ini pula. “Kami baik-baik aje.”


“Jangan bagi jawapan skema pada aku.”


“Saya mengundurkan diri…” Shahrul memberi jawapan drama.


“Really. Apa yang kau nampak pada anak perempuan Haji Mokhtar tu?” Hashriq membuat muka berfikir. “Nak kata body lawa, biasa-biasa je. Nak kata muka lawa, biasa-biasa-biasa-biasa jugak. Hobby dia pun bukan menarik. Bila ada free time je, nak pukul aku. Bila ada time free je, nak pukul aku. Perangai macam beruang kena selumbar…”


“Agak-agaklah Abang.” rungut Shahrul. “Taste saya jugak tu.”


“Kau tak suka Farah?” tanya Hashriq. Air teh yang diminum nyaris tersembur dari mulut Shahrul. “Kau terkejut sangat kenapa?” abangnya mengerut dahi, hampir-hampir menjadi mangsa semburan.


“Saya anggap Kak Farah macam kakak.” laju Shahrul menjawab. “Dia rapat dengan Abang, macam Kak Isha jugak. Saya tak boleh anggap diorang lebih dari tu. Rasa pelik.”


Hashriq bersandar ke belakang kerusi sambil melalukan jari-jari ke kepala. Rambut coklatnya dipusar dan diramas seolah tenggelam berfikir, mata birunya merenung jauh.


“Aku kenal Farah masa form two. Sampai sekarang, dia dah single sembilan tahun. No boyfriend, no scandal, no nothing.” katanya membuka cerita. Shahrul automatik memasang telinga. Kebiasaan, teramat payah hendak mendengar abangnya menawarkan sendiri kisah silam. Sudah berbelas tahun mereka berhubung, Shahrul masih tertanya-tanya bagaimana hidup Hashriq di England dahulu sebelum dibawa ke Malaysia oleh Tan Sri Darius. “Kau tahu siapa Fitri?”


Shahrul mengangguk. Tengku Hakimi Fitri merupakan anak kandung Tengku Nizam dan Tengku Maisarah. Fitri dan Hashriq sebaya. Keluarga itu mengambil Hashriq sebagai anak angkat ketika mereka sama-sama berusia lapan tahun. Fitri meninggal dunia ketika dalam tingkatan empat. Maklumat itu bukanlah rahsia besar. Penyiasat peribadi Tan Sri Darius yang membekalkan info tersebut kepada Shahrul ketika dia mencari Hashriq dahulu.


“Ada satu frame gambar kat rumah baru Abang.” Shahrul mengimbas. “Gambar tu time sekolah kot, Abang dengan seorang budak lelaki, dengan Kak Farah tak pakai tudung… Budak lelaki tu Fitri, kan?” usul Shahrul, walaupun dia memang tidak perlu bertanya.


“Fitri was Farah’s first boyfriend, her first love.” nada Hashriq kedengaran jengkel. “So far belum ada lelaki lain yang Farah pandang. Dah sembilan tahun. Bukan setakat masih pakai cincin yang Fitri bagi, dia tak pernah cuba keluar dengan lelaki lain, dia tak nak. Ada satu bilik dekat rumah…” entah Hashriq sedar atau tidak mulutnya yang sudah terlebih berceloteh tentang cerita lama, Shahrul tidak pasti. Dia membiarkan saja. Peluang begini teramat jarang, dia memang ingin tahu lebih lanjut. “Ada satu bilik dekat rumah yang aku bagi Farah guna. Dia letak barang-barang Fitri. Penuh satu bilik dengan kotak, gambar, kanvas and everything yang ada sangkut-paut dengan Fitri. At least seminggu sekali dia mesti datang rumah untuk masuk bilik tu, tengok album-album lama and everything. It’s stupid. Semua orang dah puas cakap. Mak ayah dia dah makin risau. Dia buat derk.”


Shahrul diam berfikir. Jadi, arwah Tengku Hakimi Fitri adalah teman lelaki pertama Farah, cinta pertama Farah. Sudah sembilan tahun berlalu sejak kematian Fitri, namun Farah masih juga tidak mencari orang lain. Masih seorang. Masih sendiri. Masih sibuk menjaga perkakas milik kekasih hati yang sudah sembilan tahun meninggal dunia. Masih mengenang.


Shahrul menilik muka Hashriq dalam-dalam.


“Abang pun teman lelaki pertama Kak Isha.” usulnya. “Cinta pertama Kak Isha.”


Hashriq mencapai cawan di atas meja, tidak memberi sebarang komen.


So that’s why. Shahrul mencongak. Jadi itu sebab abangnya tekad meninggalkan kakak iparnya, walaupun masih ada kemungkinan untuk kanser yang dihidapinya pulih. Abangnya tidak ingin mengambil apa-apa risiko. Baik dilepaskan Nuraisha sekarang, baik dibiarkan Nuraisha fikir bahawa dirinya sudah “tidak bernilai” lagi kerana telah mengkhianat, kerana telah curang, supaya Nuraisha boleh memandang lelaki lain dan membina hidup baru. Abangnya tidak sekali-kali mahu mengambil risiko untuk Nuraisha melalui hidup yang sama seperti Farah. Biar dilepaskan sekarang, lebih selamat. Mungkin tindakan itu drastik, namun abangnya memilih apa yang dirasakan “terbaik” yang mampu dibuat untuk Nuraisha.


Shahrul mengerut dahi, tidak senang dengan hal yang baru yang disedarinya itu. Mungkin Hashriq tidak pernah menunjukkan apa-apa reaksi, tetapi kalau dia berada di tempat abangnya, tentu Tuhan saja yang tahu betapa perit dan pedih melepaskan perempuan yang disayangi. Kalau sampai abangnya betul-betul menghembuskan nafas terakhir sekalipun, Nuraisha tetap tidak akan tahu alasan sebenar kenapa Hashriq melepaskan tangan. Bahawa lelaki itu sejujurnya cinta.




xXx





“Tak apa ke biar diorang duduk dalam rumah tu berdua?” buat kesekian kali, Nuraisha menyuarakan kebimbangan.


Mana tidak, kedua-dua Shahrul dan Yasmin “ditinggalkan” begitu saja selepas Hashriq membawanya keluar dari rumah dengan pembohongan nyata “Mama cakap ada emergency, suruh kita datang sekarang” tanpa apa-apa penjelasan lain. Masih terbayang-bayang di dalam kepala Nuraisha muka panik dan dikhianati yang ditayang Yasmin tadi.


Nuraisha menoleh ke sebelah. Mereka berdua “meminjam” kereta sport merah menyala kepunyaan Shahrul. Kata Hashriq, saja hendak mencuba. Pandangan suaminya ditumpu tenang ke jalan raya, nampak sangat tidak risau langsung dengan “taufan” yang mungkin sedang melanda rumah mereka sekarang. Entah bagaimana dengan nasib Bartleby…


“Telefon Mak.” kata Hashriq tiba-tiba.


“Kenapa?”


“Tanya kalau Mak Ayah free, kita bawak jalan rumah Papa dengan Mama.” Hashriq menayang lesung pipit, mengukir senyum yang tidak boleh dipercaya. “Kita balik lepas pukul dua belas.”


Di tangan kiri Hashriq yang memegang stereng, key-chain Ninja Boys milik Yasmin “terjuntai” dari dalam genggamannya. Nuraisha membulatkan biji mata.


“Awak ambik kunci kereta Yasmin! Awak guna kereta Shahrul…” dia mengerut dahi. Jadi ini memang komplot untuk mengurung Yasmin dan Shahrul. Kedua-duanya kini tidak mempunyai kenderaan dan kunci kenderaan untuk balik. “Macam mana kalau ada pegawai cegah maksiat serbu rumah?” Nuraisha mula panik.


Hashriq ketawa. Seolah ia memang “tragedi” yang diharap-harap untuk berlaku.


“Kalau diorang nak balik jugak, diorang boleh call teksi. Kalau nak tunggu kita, diorang boleh duduk-duduk, tengok movie, makan ais krim, kemaskan rumah…”


Nuraisha menjuih bibir. Senang sungguh bercakap.


Tas tangan di riba diselongkar mencari telefon bimbit. Kebiasaan, tidak banyak pun yang dibuat emak dan ayahnya waktu-waktu begini. Tentu mereka bersetuju saja kalau diajak bertandang ke rumah Tengku Nizam dan Tengku Maisarah. Walaupun ahli keluarga mereka kini tahu bahawa hubungan mereka bakal tamat paling lama pun setahun saja lagi, tidak ada yang menunjukkan bantahan kalau mereka masih lagi ramai-ramai berkumpul seperti satu keluarga. Kakaknya, Nurlisa kini melayan Hashriq suam-suam kuku, tetapi hubungan mereka yang lain-lain semua masih baik. Nuraisha tahu, emak dan ayah mereka masih berharap supaya hubungannya dengan Hashriq dapat diselamatkan. Antara sebab, mereka sudah lama kenal. Sudah selesa dan memang suka dengan satu-sama lain.


“Waalaikumussalam, hai Mak! Isha ni!” Nuraisha terus bermanja-manja. Dia menjeling Hashriq apabila lelaki itu mendengus seolah mentertawakan dirinya. “Isha dengan Hashriq nak pergi rumah Mama dengan Papa ni, kalau Mak dengan Ayah nak ikut sekali, kitorang datang ambik sekarang.” lapor Nuraisha terperinci. Ibunya menyuarakan ajakan itu kepada bapanya yang mungkin sedang menonton TV. “Ha’ah kitorang on the way dah.”


Tanpa berfikir panjang, emak dan ayahnya bersetuju. Kata mereka tidak perlu dijemput, biar mereka pergi sendiri saja ke rumah Tengku Nizam dan Tengku Maisarah. Selepas beberapa saat lagi berceloteh dengan emaknya, telefon bimbit Nuraisha ditutup dan disumbat kembali ke dalam tas tangan. Beres.


“So?” usul Hashriq.


“Mak dengan Ayah cakap, jumpa kat sana.”


“Then kita singgah satu tempat dulu.”


Nuraisha mengangkat bahu, tidak kisah. Dia mula membelek radio.


Tiang-tiang lampu menyala terang di kiri dan kanan jalan. Langit malam cerah ditaburi bintang-bintang. Tiba-tiba bumbung kereta Shahrul terbuka meninggalkan kepala mereka. Nuraisha mendongak ke atas, rambut ikalnya yang tidak diikat berpusar-pusar ditiup angin. Kenderaan-kenderaan lain meluncur santai seperti kereta Shahrul yang dipandu Hashriq, tidak kurang ada yang memecut laju. Sesekali, motor-motor memintas di sebelah. Puas menukar-nukar siaran, Nuraisha bersandar semula di kusyen.

Kau pernah bilang
Aku yang terdalam
Kau simpan
Di dalam hatimu


Kau juga bilang
Dihembus nafasmu
Selalu
Kau sebut namaku


Tapi mengapa
Kau tinggalkan aku
Di saat aku buntu


Mata Nuraisha asalnya dipejam selesa. Namun makin lirik lagu yang berkumandang di radio dihadam di benak fikiran, dia makin pelik. Dia berkalih duduk. Aih. Macam mengena saja.


Terlalu indah
Yang pernah kau bilang
Ternyata salah
Ku mengenalmu


Lupakan aku
Jelas kau permainkanku
Aku tak mengapa
Kubiasa saja
Walau sedikit terluka


Nuraisha berdehem kecil. Tidak syak lagi. Lagu jenis inilah yang patut dinyanyikan sekuat-kuat hati kepada lelaki seperti Hashriq. Si pengkhianat. Si curang. Si mungkir janji. Nuraisha menjeling ke tempat duduk pemandu. Hashriq nampak gayanya buat-buat tidak sedar.

Punat radio ditekan Nuraisha sebelum lagu itu tamat, malas terlalu melayan perasaan. Satu demi satu siaran lain dibelek, dihentikan pantas sebaik menangkap muzik lagu “Jenny” dendangan Click Five yang baru bermula. Belum masuk pun baris pertama, Hashriq tiba-tiba ikut membuat muzik. Eh, eh. Dia join pulak. Nuraisha menoleh ke arah suaminya. Dalam musykil dan lucu, dia diamkan saja. Seingatnya dahulu selagi tidak dipaksa, dirayu dan diugut dengan rajuk dan air mata, jangan harap lelaki itu menyanyi.

“She calls me baby, then she won’t call me.
Said she adores me, and then ignores me.”


Mata biru Hashriq melirik ke sebelah.


“Isha. What’s the problem.”


Sambil menekup tangan ke mulut, Nuraisha menahan gelak. Stereng kereta menjadi tempat “drum” oleh jari-jari Hashriq. Lirik seterusnya dikembalikan kepada Click Five.


“Tu je? Pendeknya?”


“Sakit tekak.”


Penipuan terserlah! Nuraisha tarik muncung. Sejak dahulu dia jarang memuji nyanyian Hashriq, tambah lagi memang jarang sangat pun Hashriq menyanyi. Kena merengek atau memaksa dan mengugut dengan rajuk dan linangan air mata, barulah Hashriq mengalah. Dia seperti menganggap ego lelakinya yang tinggi menggunung itu tercabar kalau dia menyanyi. Padahal kalau ditanya Nuraisha… Suara suaminya itu sebenarnya sedap didengar.


“Petang tadi Aileen sebut pasal awak menari dengan awak main piano.” luah Nuraisha sebaik teringat akan “misteri” itu.


“Hm.” pendek saja jawapan.


Nuraisha jadi curiga. Biar betul? Dia tidak sempat bertanya. Kereta Shahrul mula dihentikan. Sedar tidak sedar, mereka sudah sampai ke destinasi yang ditujui Hashriq. Ada deretan kedai, kenderaan-kenderaan lain yang sudah siap diparkir dan orang awam yang berlalu ke sana ke mari. Nuraisha merenung pintu kedai bertentangan. Butik Estetika. Isi kedai yang serba “bersinar” dapat dilihat dari luar.


“Kita nak pergi mana?” dilihatnya Hashriq sudah pun keluar dari perut kereta. Tidak sampai lima saat, pintu penumpang tempat duduknya dibuka. Nuraisha mendongak merenung lelaki itu, hairan. “Nak pergi mana?” ulangnya.


“Carikan kau baju.”


“Hah?”


“Kau cakap Encik Ikmal ajak kau pergi wedding anniversary. Event tu Tan Sri Darius yang punya, so baju kau kat rumah semua tak padan.”


Nuraisha masih melekat di kusyen kereta. Dia memaut lengan Hashriq dan sekadar menjenguk kepala ke luar pintu. Mencuri pandang ke arah “Butik Estetika” yang nampak penuh gemerlap nun di sana. Dia menggeleng-geleng.


“Tak naklah.” gumamnya cemas.


“Dalam tu semua baju, Isha. Bukan lipas.”


“Saya suruh Yasmin belikan je nanti.”


“Kau tak keluar dari kereta sekarang, aku dukung kau masuk. Satu. Dua. Ti--”


Tanpa bertangguh Nuraisha menarik lengan Hashriq dan melompat keluar, mengelak dari terpijak lopak air di atas jalan tar. Skirt labuh yang dipakainya ditepuk-tepuk sedikit. Hashriq mencapai tas tangannya yang tercicir di dalam kereta, kemudian menutup pintu.


Nuraisha dirundung dilema. Untuk satu hari saja pun dia akan ke majlis ulangtahun perkahwinan Tan Sri Darius. Perlukah sampai begini? Memang kalau difikir, ia akan menjadi majlis “orang-orang besar” yang mungkin dihadirinya sekali seumur hidup saja, tetapi…


“Saya cuma pernah masuk tempat macam tu dua kali je, ingat tak?” bisik Nuraisha. Dia melirik ke arah Hashriq. Ada senyuman kecil di wajah lelaki itu. Kedua-dua kali mereka ke butik begitu, ketika membuat persiapan bagi perkahwinan mereka. “Tak kena dengan sayalah aura tempat-tempat yang berkelip-kelip macam ni.”


“Tinggi imaginasi.”


“Heee.” resah dan gelisah, Nuraisha meramas lengan Hashriq yang dipeluk erat.


Seperti yang dijangka, pekerja-pekerja wanita di dalam kedai terus tersenyum “bersinar-sinar” dan mengangguk mesra kepada mereka sambil mempersilakan mereka untuk melihat-lihat. Nuraisha turut sedar lagi cemburu, perhatian pekerja-pekerja wanita itu seolah terlebih-lebih pula ditumpukan kepada Hashriq. Dia terus menempel lebih rapat di sisi suaminya.


“Ha, ini anak lelakinya Maisarah kan?” suara seorang wanita menegur. Nuraisha menjengukkan kepala dari belakang Hashriq. Seorang wanita yang mungkin seusia ibu dan ibu mertuanya sedang mengangguk-ngangguk kecil memandang Hashriq dari atas ke bawah. Seolah menilik produk yang hendak dibeli. “Ha!” senyumannya kian lebar melihat Nuraisha yang masih cuba bersembunyi. “Ini menantunya Maisarah! Sorrylah ya, Auntie tak dapat pergi wedding kamu berdua hari tu, ada urusan dekat Paris, tak sempat pulak nak balik.” jelasnya bersungguh-sungguh.


Nuraisha tersenyum kelat.


“Tak apa.” balasnya segan.


Wanita berambut perang itu mengiringkan kepala, menilik Nuraisha dengan senyum yang terlalu lebar.


“Maisarah dah bagi tahu dah, anaknya dengan menantunya nak tengok baju untuk pergi wedding anniversary kawan.” sambungnya lagi. “Don’t worry dear. Auntie dah sediakan awal-awal. Satu rak untuk kamu pilih.” katanya berkobar-kobar, membuat Nuraisha lebih gugup. Terasa seperti ada semut-semut yang merangkak di seluruh badan. Dia memang tidak berkenan dipakaikan baju-baju complex dan dipusing-pusingkan untuk dibelek. Tidak selesa langsung. “Mmm…” wanita itu berjalan mengelilingi mereka berdua, tidak syak menggeledah kotak fikiran bagi mencari apa yang sesuai untuk dipadankan dengan mereka. “Hashriq, Isha. Isha, Hashriq.” sebutnya berulang-ulang kali, seolah mengucapkan mantra.


“Sorry if I’m mistaken.” Hashriq bersuara. “Auntie Lydia?”


“Yes, that’s me.” wanita itu tersenyum seraya mengangguk. “Kali terakhir Auntie tengok kamu, masa pengebumian Fitri. Lepas tu kamu satu famili pindah.” katanya mengimbas. “Dah besar kamu hah. Handsome sungguh.” getusnya sambil berkongsi ketawa dengan pekerja-pekerja wanita yang sama tekun memerhati.


Disebabkan Nuraisha memeluk lengan Hashriq seperti memeluk bantal golek, dia dapat merasakan tubuh suaminya lebih kaku sebaik nama Fitri disebut. Dia tidak sempat mengenali arwah Fitri dan dia tidak tahu banyak pun tentang arwah Fitri, kecuali hubungannya sebagai anak lelaki kandung Tengku Nizam dan Tengku Maisarah, kawan baik Hashriq. Dia melirik ke atas, mencari muka Hashriq. Ekspresi wajah lelaki itu agak kosong, tidak dapat dibaca. Bunyi roda di atas lantai menjengah ke telinga. Nuraisha menoleh.


Wuah…! Nuraisha berundur ke belakang. Ini sudah melampau. Dua ampaian penuh dengan gaun-gaun aneka warna, pelbagai hiasan dan bentuk, ditolak oleh dua orang pekerja wanita yang setia menunggu. Auntie Lydia bertepuk tangan, semangat.


“S-saya…” Nuraisha menarik-narik lengan Hashriq, meminta diselamatkan.


Suaminya tidak memandang. Dia menuding ke arah sehelai gaun hijau.


“Tengok yang tu.”


“No problem. Jom, Isha.” Auntie Lydia menghulur tangan sambil tersenyum memandang Hashriq. “Nanti kita tengok suami kamu pakai kot, pakai tuxedo. Hai bertuah sungguh kamu Isha.” pujinya sambil menjerling lagi ke arah pekerja-pekerja wanitanya yang berlegar, mereka tersenyum-senyum sambil ketawa kecil memerhatikan Hashriq.


Bertuah apanya! Nuraisha bertempik di dalam hati. Alien planet Buri-Buri…! Sambil berlalu, dia menyelit satu cubitan ke pinggang Hashriq.


“Tsk…” suaminya mendesis sakit. Nuraisha menjegil biji mata. Padan muka. Orang dah kata tak nak tu, tak naklah. “Saya nak tengok yang tu jugak, and then yang tu.” Hashriq menuding ke arah dua helai gaun lagi. Nuraisha melopong. Daripada satu gaun yang perlu dicuba, sudah menjadi tiga gaun. “Have fun, sweetheart.” pesan suaminya, licik.


Mujur Nuraisha pantas meloloskan diri.


“Ambik yang ni je, saya suka yang ni.” katanya laju sambil mencapai gaun hijau tadi dari tangan pekerja yang memegang. Dijelingnya Hashriq sepuas rasa. “Berapa harga--” sebaik melihat tanda harga, terus Nuraisha menekup tangannya ke situ. “--erm, tengok yang lain dululah…” dekat gaji sebulan. Kus semangat!


Autie Lydia ketawa melihat gelagatnya.


“Don’t worry dear, ini hadiah.” katanya mesra. “Tapi yes, I think kamu patut tengok yang lain jugak. Banyak lagi ha kat sini ni, tak suka? Cuba tengok yang ni.”


Dengan muka yang panas, Nuraisha turutkan juga. Cepat-cepat dia menyimpan balik gaun hijau tadi. Huish. Cekik darah! Hashriq pula bersahaja membelek gaun-gaun lain yang tersangkut di sebelah. Kalau diikutkan, hendak ditendang lelaki itu sampai ke Brazil. Dua orang pekerja wanita yang membawa koleksi gaun-gaun tadi berkumpul di keliling suaminya, beriya-iya membantu. Nuraisha mencebik. Orang yang memakai gaun bukannya dia!


“Pick one, Isha.” Hashriq menyuruh. “Which do you like?”


Beberapa helai gaun diangkat oleh Auntie Lydia dan ditayang kepada Nuraisha. Mahu tidak mahu, dia mula fokus untuk membelek. Lebih cepat dia membuat pilihan, lebih cepat mereka keluar dari sini. Yang tu ke, yang tu? Hmmm. Makin ditenung, makin banyak pula yang menarik perhatian. Memang semua cantik-cantik pun.


“Kamu suka warna apa?” tanya Auntie Lydia.


“Hijau.”


“Patut pun suami kamu pilih dress hijau tadi. Luar dalam semua dia tahu, isteri sendiri kan…”


Merah padam muka Nuraisha mendengar. Luar dalam. Miang sangat bunyinya.


Sedang Nuraisha berdiri penuh konflik memerhatikan koleksi yang terpamer, Hashriq mencapai sehelai gaun.


“Come here.” dia menarik lengan Nuraisha dan membawanya ke sebuah cermin penuh di satu sudut kedai. Auntie Lydia dan pekerja-pekerjanya setia mengikut. Mereka berdua berdiri menghadap cermin yang berkilau dipanah cahaya lampu. Hashriq di belakang, Nuraisha di hadapan. Rambut ikalnya yang keperangan digenggam Hashriq menggunakan tangan kanan, diangkat tinggi di belakang kepala seolah-olah siap disimpul. Tangan kiri Hashriq meletakkan gaun yang diambil ke tubuh Nuraisha, sehelai gaun biru yang berhias ringkas, tetapi memang cantik dipandang. “Very nice.”


Wajah Nuraisha kian panas mendengar komen itu.


“Very nice!” Auntie Lydia pula menyerbu sambil bertepuk-tepuk. Pekerja-pekerja wanitanya mempamer riak cemburu sambil ikut bertepuk tangan. “She’s beautiful!” umum Auntie Lydia berpuas hati.


Dari belakang, Hashriq tunduk merapat. Nuraisha membulatkan biji mata. Pandangan mereka bertemu di dalam cermin.


“More than beautiful. She looks perfect.” bisik lelaki itu di telinga Nuraisha, cukup hanya mereka berdua yang mendengar.




xXx





Lapan tahun yang lalu ketika kali pertama Hashriq membawanya balik ke rumah untuk diperkenalkan kepada Tengku Nizam dan Tengku Maisarah, Nuraisha telah dibawa “melawat” ke setiap ceruk banglo dua tingkat milik pasangan itu. Setiap ceruk, melainkan isi sebuah bilik berkunci yang tidak pernah ditunjuk Hashriq kepadanya walau hingga ke hari ini, iaitu lapan tahun kemudian. Jadi kalau diberikan satu “permintaan” oleh Hashriq, dia mahu meminta supaya isi bilik itu ditunjuk kepadanya. Apa yang ada di dalam? Kenapa dirinya tidak pernah dipelawa masuk?


“Ha, Isha. Termenung hang malam ni.” Tengku Nizam menegur di dalam loghat Penang miliknya. Nuraisha ketawa kecil, malu ditangkap menggelamun jauh. Bapa mertuanya yang baru turun dari tingkat atas itu melabuhkan punggung di sofa bertentangan. Dia menoleh ke kiri ke kanan, tidak syak mencari Hashriq yang hilang. “Mana si budak bertuah tu?” soalnya.


“Ke dapur.” bapa Nuraisha menjawab. “Sampai-sampai je terus join Maisarah dengan Mida kat sana. Nak cuba-cuba memasak katanya.” lapor Encik Rahman sambil tersenyum lucu.


Nuraisha mencapai sebiji coklat di dalam balang. Nampak mahal. Selalu begitulah, kalau bertandang ke rumah mertuanya, memang coklatlah yang selalu diangkut dibawa balik. Entah dari mana muncul, ada saja stok di atas meja. Kadang-kadang pula, dia dipaksa membawa pulang pelbagai aksesori dan minyak wangi import. Tidak dipakai sangat pun. Dia bukannya jenis yang pandai melawa. Skirt labuh dengan blouse sudah cukup. Tidak pun, seluar panjang dengan t-shirt. Semua pemberian Tengku Maisarah masih tersusun rapi di dalam stor.


“Si budak bertuah tu mana pandai dia memasak, terbakaq jari.” komen Tengku Nizam, mempersoalkan motif anak lelakinya ke dapur. “Silap-silap terbakaq kita semua ni ha.” dia dan Encik Rahman sama-sama ketawa dengan jenaka yang tidak berapa lucu itu.


“Hish, Abang ni. Mulut celupar.” Tengku Maisarah menegur. Hashriq menonong di belakang, mengekori ibunya dan Puan Azmida dari dapur seperti anak angsa di dalam air. “Ni Mama ada beli macam-macam ni Isha, ingatnya nak hantarlah esok. Kamu pulak dah datang.”


Di atas meja, terhidang pelbagai jenis asam dan jeruk pelbagai warna dan reka-bentuk. Rambang mata Nuraisha melihat. Air liur mula berdecap-decap. Coklat dilupakan dahulu. Dia terus mencapai jeruk mempelam di dalam piring.


“Yang itu buatan rumah.” kata Tengku Nizam sambil mencapai sepotong.


“Apa Abang pulak yang makan? Saya buat untuk Isha.”


“Boleh Papa mintak satu ka?” dengan tertib Tengku Nizam meminta izin. Nuraisha mengangkat ibu jari. Lelaki itu pun menyumbat potongan jeruk mempelam yang diambil tadi ke dalam mulut. “Tu dia. Mmm…” bapa mertuanya mengunyah dengan mata yang dipejam penuh nikmat.


“Mmm…” Nuraisha meniru.


“Dah boleh buat iklan.” komen Puan Azmida disusuli ketawa Encik Rahman.


Hashriq berganjak menjauhkan diri daripada Nuraisha dan Tengku Nizam, seolah bimbang berjangkit. Nuraisha menjilat bibir sambil menayang potongan kedua kepada suaminya. Dia tahu, Hashriq boleh makan tempoyak, budu, cencaluk, belacan dan semua yang menentukan ciri-ciri “Melayu sejati” kecuali jeruk. Lelaki itu buat muka pelik dan mencampak diri sendiri ke sofa di sebelah Encik Rahman, sejauh yang mungkin daripada Nuraisha.


“Awak cubalah awak. Nah.” Nuraisha memujuk rayu, memasang agenda. Senyumannnya meleret ke telinga sambil mengangkat jeruk mempelam di garfu. Dicicah pula dengan asam yang dicampur sedikit gula dan lada. Mak aih. Slurp! “Nah, saya suap ni.”


“Ayah tengok tu dia. Tanduk dah tumbuh dah.” Hashriq mengadu. Emak dan ayah mereka mula tergelak. Hashriq melompat ke belakang sofa sebelum Nuraisha membuka langkah lagi. Sesaat kemudian, mereka berkejar di ruang tamu. “Isha.” getap suaminya, memberi amaran.


“Apanya? Meh lah sini sayang…” Hee. Hee. Jeruk mempelam di garfu terjuntai-juntai, melambai-lambai untuk dimakan. Nuraisha teruskan langkah, mendekati Hashriq. Lelaki itu melirik melepasi ke arah pintu gelongsor. Nuraisha menapak sedikit ke kiri, menghadang pintu tersebut sekaligus menutup laluan untuk suaminya lari. “Saya suap ni. Sedap ni. Okey?”


Perlahan, air muka Hashriq mula bertukar dari “cuak” kepada terhibur. Tiba-tiba gayanya yang tadi bersedia untuk menerkam ke pintu, berubah menjadi lebih tenang. Bersahaja. Santai.


“Whistle blow!” lelaki itu melaung. Nuraisha tersentak. Hashriq menyerbu ke arahnya dan terus “menyerang” untuk mendapatkan garfu. Sambil terjerit, Nuraisha berpusing, mengelak tangan suaminya yang nyaris-nyaris menggapai “rebutan” mereka. Tengku Nizam bersorak dari arah sofa. “Right, left, right, left.” kata Hashriq berkali-kali.


Berulang-ulang kali jugalah, Nuraisha terjengket ke kanan dan ke kiri mengikut arahan itu.


“Apa ni!”


“Surrender ke belum? Berani kau ugut aku dengan asam hijau yang tak sedap tu.” bisik Hashriq di telinga Nuraisha. Mereka separuh “menari” di lantai ruang tamu, diperhatikan emak dan ayah mereka yang tidak kering gusi ketawa. “Surrender, sweetheart?”


Berkobar-kobar, Nuraisha menggeleng dan menolak dada Hashriq dengan sebelah tangan.


“Tak surrender!” laungnya, dalam erti kata lain dia berikrar untuk melindungi “asam hijau yang tak sedap tu” bermati-matian. “Jeruk mempelam ni jeruk mempelam suci! Saya akan pastikan dia masuk dalam mulut awak tak kira apa pun yang jadi!”


“Langkah mayat Bartleby dulu.” putus Hashriq.


Lelaki itu menyerang lagi. Nuraisha terjerit lagi. Sekitar sofa mengelilingi emak dan ayah mereka, keluar-masuk dapur, berlari secara rambang, berlari di dalam bulatan, turun-naik beberapa anak tangga. Mereka bertempiaran ke merata arah seperti budak-budak tadika yang hiperaktif. Sehinggalah, Nuraisha si pelindung hampir jatuh bersama-sama jeruk mempelam suci berkenaan. Hashriq pantas menyambut, dengan garfu yang dipegang Nuraisha “tertikam” ke rusuk kiri.


“Alamak!” selamat di dalam pelukan suaminya, Nuraisha tergapai-gapai. Dia mendongak ke arah Hashriq yang berdiri kaku. Mata biru suaminya sudah bertambah saiz. Dia terus menarik-narik t-shirt putih lelaki itu. “Alamak! Saya tercucuk Hashriq!”


Emak dan ayah mereka berpusu-pusu bangun.


“Ya Allah!”


Hashriq mengelip mata. Barulah dia berganjak.


“Saya OK.” katanya dengan muka yang agak aneh. Garfu yang dipegang Nuraisha dialih daripada badannya. Nuraisha tekun meneliti. Nampak elok. Tidak ada yang berdarah. Cuma jeruk mempelam saja yang terkorban. Hashriq merenung jeruk mempelam itu yang melekat pada t-shirt putihnya. Kemudian dia “menggigil” sedikit seolah ngeri. “Alih benda tu dari aku.”


“Membazir aje.” getus Nuraisha. Emak dan ayah mereka mempamer reaksi lega. Jeruk mempelam yang terkorban itu dikutip dari baju Hashriq. “Dua-tiga hari ni, saya mesti buat awak makan jugak.” Nuraisha menggoyang-goyang garfu ke arah Hashriq.


“Apa buat macam tu, Isha.” Puan Azmida mengerut dahi. Dia membelek t-shirt putih Hashriq yang sudah dicalit kesan jeruk mempelam. “Teruk ke tercucuknya?”


Eleh. Isha cucuk dia sikit je mak. Nuraisha menjuih bibir. Hashriq menghadiahkan senyum kepada ibu mereka, kemudian dia melirik ke arah Nuraisha dengan sepasang mata biru yang berniat jahat. Lelaki itu meminta diri untuk ke tingkat atas menyalin baju. Nuraisha menyerahkan garfu kepada ibunya, kemudian berlari-lari anak ke tangga untuk mengikut.


“Hashriq, Hashriq…!” Nuraisha menyanyi-nyanyi, namun Hashriq tidak menunggu. “Tak luka pun kan?” soalnya agak geram.


“Of course not.”


“Hmph!”


Hashriq berhenti sebaik sampai di anak tangga teratas. Pipi Nuraisha dicubit dan ditarik seperti bermain plasticine. Mak…! Nuraisha memukul tangan suaminya beberapa kali. Sambil tersenyum sinis lelaki itu menyambung langkah.


Mata Nuraisha terpaku ke pintu sebuah bilik yang tidak tertutup rapat. Dia menoleh mencari kelibat Hashriq. Suaminya sudah hilang ke dalam bilik tidur untuk menyalin baju. Dia kembali merenung bilik yang terletak di hujung koridor itu. Ia satu-satu bilik yang belum pernah dimasukinya sepanjang lapan tahun bersama Hashriq. Selama ini, ia dikunci setiap kali dia bertandang ke rumah mertuanya. Pernah dia bertanya kepada orang gaji dan Tengku Maisarah. Menurut mereka, bilik itu kepunyaan Hashriq. Cuma Hashriq yang memiliki kunci. Memang Nuraisha agak “terasa” tidak pernah dijemput masuk, tetapi sejak awal perkenalan lagi Hashriq sudah memberikan impresi yang lain daripada budak-budak lelaki lain. Dia benar-benar perahsia. Jadi Nuraisha cuma menunggu, menghormati privasi biarpun dia sangat ingin tahu, walaupun keinginan itu makin membuak setiap kali dia melintasi bilik tersebut.


Mematikan lamunan, Nuraisha menoleh lagi mencari kelibat Hashriq. Tiada. Bibir Nuraisha digetap penuh dilema. Buat kali pertama, bilik di hujung koridor itu dilihatnya tidak berkunci! Lapan tahun, kemusykilan dan rasa ingin tahunya boleh terjawab kalau dia menjenguk ke situ sekarang.


“Dia si pengkhianat, si curang, si mungkir janji. So kenapa pulak aku tak boleh buat salah balik pada dia?” Nuraisha cuba mencari keadilan di samping menyedapkan hati. “Tengok je. Kejap je. Sikit je.” jantungnya mula bergendang. Dia menoleh buat kali ketiga ke belakang, mencari kelibat Hashriq. Masih tiada. Selamat. Dia memecut ke bilik misteri itu.


Gelap gelita. Nuraisha menapak masuk. Dalam cemas, dia menutup pintu, dikunci dan memetik suis lampu. Matanya melilau ke sekeliling. Bilik itu lebih luas dari yang disangka.


Ada kotak-kotak yang tersusun kemas di tepi-tepi dinding. Ada beberapa kabinet kecil dan dua buah kanvas yang terpacak di sebelah satu sama lain. Di hujung bilik, berdekatan tingkap gelongsor berbentuk empat segi, berdiri sebuah piano coklat gelap yang berkilau dek cahaya lampu. Bekas gitar atau mungkin violin, tergantung pada dinding. Sebuah beg panjang warna oren terang disandarkan pada salah satu kabinet.


Namun apa yang paling menarik perhatian Nuraisha bukanlah itu semua. Nafasnya seolah tersekat melihat “hiasan” yang memenuhi isi bilik. Gambar-gambar. Foto-foto Hashriq, Farah dan Fitri yang dicamnya melalui bingkai gambar di tingkat bawah, yang pernah juga dilihatnya di dalam album gambar simpanan Tengku Nizam dan Tengku Maisarah. Melalui foto-foto yang memenuhi segenap bilik ini, barulah dia sedar. Arwah Tengku Hakimi Fitri dan Farah kekasih.


Tombol pintu berpusing dari luar.


“Mama?” suara Hashriq kedengaran. Air mata Nuraisha sudah menitik-nitik jatuh ke lantai. Hatinya perit. Perasaannya berkecamuk. Sekarang dia faham. Tanpa mempedulikan Hashriq di luar, dia sekadar berdiri diam di dalam bilik itu. Akhirnya, seolah menyedari siapa yang berada di balik pintu, Hashriq memanggil sekali lagi, perlahan, “Isha?”


“Awak diam!!” pekik Nuraisha sambil menangis semahu-mahu. Dia jatuh terduduk di lantai.


Tombol pintu bergerak lagi, lebih kasar sampai hampir tercabut.


“Isha, bukak pintu.” suara Hashriq kedengaran lebih kuat.


“Saya dah faham dah sekarang. Saya dah tahu.” tuduh Nuraisha teresak-esak. Hashriq diam di luar, menunggu. “Awak suka Farah lama sebelum awak jumpa saya lagi! Tapi dia suka Fitri! Lepas tu--” makin difikir, kepala Nuraisha jadi sakit. Seluruh hubungan mereka tiba-tiba sudah tidak masuk akal lagi. “--tak lama lepas Fitri meninggal, awak jumpa saya. Tapi sekarang, lepas bertahun-tahun, Farah balas cinta awak. Jadi awak pergi pada dia, sebab awak memang masih sukakan dia.”


Mendengar teori Nuraisha yang terperinci, ketawa Hashriq pecah dari luar. Namun lelaki itu juga kedengaran separuh gila seperti yang dirasakan Nuraisha sekarang.


“Imaginasi kau memang tinggi.” getapnya menahan sabar. “Bukak pintu ni.”


Nuraisha tidak berganjak dari lantai. Air matanya lebih laju membasahi pipi. Dipandang sekeliling bilik. Gambar ketiga-tiga Hashriq, Farah dan Fitri penuh di atas dinding, di atas kabinet, hampir di setiap ruang yang ada. Di atas permukaan piano, bahkan turut dipin di atas kanvas! Tidak syak lagi sudah bertahun-tahun Hashriq menyukai Farah dan sekadar menggunakan dirinya sebagai pengganti. Buktinya, bilik ini. Buktinya, masih banyak yang tidak diketahuinya mengenai Hashriq, yang tidak dikongsi lelaki itu bersamanya. Dia tidak tahu pun Hashriq “pandai menari” dan “pandai bermain piano” andai tidak mendengar dari Aileen petang tadi. Benar kata Encik Ikmal. Sudah bertahun-tahun kenal pun, belum tentu sudah tahu semua tentang seseorang. Pada Hashriq, dirinya tidak cukup penting untuk diberitahu segala-galanya. Lapan tahun, barulah jelas. Tiba-tiba Nuraisha terasa tidak ada apa-apa pun yang berlaku antara mereka. Mungkin tidak ada yang bernilai pun pada lelaki itu.


Di luar, Hashriq sudah tidak menggoncang tombol. Pintu bilik dirempuh. Tiga kali hentakan, ia berdentum terbuka. Dia melutut di depan Nuraisha yang masih terduduk di lantai.


“Jangan sentuh saya!” Nuraisha menepis tangan kasar Hashriq.


“Isha--”


“--saya tak nak dengar! Diam!” Nuraisha menutup kedua-dua telinga dengan tangan.


“Barang-barang dalam bilik ni bukan aku punya.” tegas Hashriq.


“Mestilah bukan! Awak kumpul barang-barang Fitri dengan Farah! Awak ni menjijikkan!”


Lama, mereka diam tanpa bersuara lagi.


“Kita balik.” kata Hashriq kemudian.


“Tak. Awak hantar saya balik. Awak jangan berani masuk.” getap Nuraisha. “Saya akan campak semua barang awak keluar, awak ambik dan jangan tunjuk muka depan saya lagi mulai hari ni.” Nuraisha bernafas kencang menahan benci. Hashriq dipandang tajam. “Saya menyesal jatuh cinta dengan awak, saya menyesal. Awak ni menjijikkan.”

5 comments:

  1. Macam best ja...
    jangan lambat sangat sambungggg kkk
    berterus terang ja lah wahai en. hubby .....

    ReplyDelete
  2. sambunglah lagi please.........

    ReplyDelete
  3. menarik sedeh,kalut,marah,terharu ,benci n lastly sume rase ade dalam novel ne dek!rase cam puas sngt akak telaah crite ne dek.leh wat emosi akak huru hara dek.good job dek n so great...tlg sambung ye dek kalu leh laju3! hehe.........

    ReplyDelete
  4. Novel ni mmg takde niat nak sambung ke? Sbb sy bace novel ni mmg best sgt. Lawak nye lawak. Marah nye marah. Sedih pon sedih. Stail penulis pon slumber jd sy enjoy bace. Plot lagilah. Susah nak cari plot yg golden macam ni :3 sy hrp sgt2 penulis update cite ni pleaseee pleasee :DDD

    ReplyDelete